25.6.09

GODAAN DUNIA

Dalam melayari kehidupan kedestinasi kemurniaan fitrah, berbagai dilema mewarnai fenomena perjuangan hidup. Cubaan yang melanda kadang kala bagaikan sembilu yang menghiris kalbu sehingga menjadi kenanagan hingga akhir hayat. Semuanya menjadi memori dalam minda sehingga ianya terpahat dan menjadi sejarah dalam hidup.
Peristiwa silam merupakan kenangan yang diukir insan dengan tinta sejarah, menghiasi dan mengisi relung hati serta sanubari. Setiap goresan ukiran bukan sekadar fatamorgana tetapi merupakan realiti yang telah ditetapkan Ilahi. Namun iman dan keyakinan akan rahmat dan perlindungan Allah membuatkan kita perlu tabah mengharungi godaan dunia,seperti doa Nabi Ibrahaim ketika baginda berangkat pulang dan terpaksa meninggalkan isteri dan anaknya, baginda berkata : " Ya Tuhanku, kutinggalkan sebahagian keluargaku di lembah yang tidak ada tumbuhan ini, di sisi rumah-Mu Baitul Haram. Ya Allah, hendaklah mereka mendirikan solat, ciptakan hati manusia senang kepada mereka, serta berilah mereka rezeki buah-buahan, semoga mereka berterima kasih"
(Ibrahim : 37)

Kepiluan dan titisan air mata mengisi ruang-ruang kedukaan insan yang diuji oleh Allah. Bagi yang sabar mendapat rahmat dan yang ingkar mendapat kehinaan. Bagi orang yang beriman ia akan menyerahkan dirinya kepada perlindungan Allah sahaja.

KEPENTINGAN ILMU

Ilmu pengetahuan memainkan peranan penting dalam hidup kita di dunia dan menjamin kebahagiaan di akhirat. Ia memberi sumbangan yang besar kepada manusia dan kemanusiaan. Semua ilmu yang ada dan diketahui adanya adalah ilmu Allah swt, yang mana kita disuruh menuntutnya tidak kira dari siapa sama ada guru itu orang Islam atau yang bukan Islam asalkan ilmu itu berguna bagi kita. Sabda Rasulullah s.aw :

Ertinya : "Ambillah ilmu (hikmat) itu dari mana-mana tempat yang ia keluar selagi ilmu itu tidak merosakkan kamu"

Dengan ilmu kita dapat membentuk keperibadian sebagai hamba Allah yang sejati dan dapat menguatkan keimanan dan ketakwaaan tanpa ada perasaan curiga pada kesucian Islam. Tanpa ilmu seseorang itu tidak dapat melakukan amal ibadatnya kepada Allah dan tanpa ilmu seseorang itu menjadi hina di sisi masyarakat.

22.6.09

TAUBAH

Adakah manusia tidak pernah terfikir ataupun tidak mahu memikirkannya kemana kita selepas mati ? Ada kalanya, baik dari apa jua golongan sama ada yang berilmu atau tidak, yang kaya atau miskin bahawa seseorang itu tidak dapat mengelakkan dirinya daripada terjerumus di dalam melakukan dosa.

Walaupun Muhammad ibn Abdullah itu seorang pesuruh Allah SWT namun beliau sendiri boleh tergoda. Al-Agharr Al-Muzzani menyatakan bahawa Ar-Rasul SAW bersabda : "Sesunnguhnya ada masanya hatiku tergoda, dan aku bermohon keampunan kepada Allah seratus kali sehari".

Kecil atau besarnya dosa seseorang itu akan menjadi satu penghindaran baginya untuk berada di bawah naungan Allah SWT. Hakikat ini hanya dapat di hayati oleh mereka yang tidak ada keraguan lagi tentang kebenaran Hari Pembalasan.

USRAH

Usrah adalah satu usaha untuk melengkapkan diri serta menyediakan da'i (caller) dan 'amil (worker) Islam yang berwibawa. Dalam ikatan usrah ini tiga perkara perlu dipelihara serta diambil berat untuk menjayakannya.

1. Berkenalan

2. Bersefahaman.

3. Berseimbangan



Imam Hassan al-Banna menyatakan berkenalan di antara satu sama lain merupakan rukun pertama bagi pengertian usrah. Perkenalan ini perlu berasaskan semangat dan cintakan agama Allah. Kita hendaklah menyedari dan memahami pengertian 'ukhuwah (persaudaraan) sebagaimana yang dikehendaki dalam Islam. Allah berfirman :



Ertinya : Dan berpeganglah dengan tali Allah semuanya dan janganlah kamu berpecah belah ...



Rasulullah s.a.w bersabda :



Ertinya : Orang mu'min bagi orang mu'min itu laksana bangunan yang sebahagiannya memperkuatkan sebahagian yang lain.



Bersefahaman ialah tafahum atau bersefahaman yang membawa maksud setiap orang mu'min perlu berpegang dengan kebenaran iaitu dengan cara mengerjakan apa yang diperintahkan oleh Allah dan meninggalkan apa yang dilarang. Setiap orang mu'min hendaklah memeriksa diri sendiri sama ada ia benar-benar taat kepada perintah Allah atau sebaliknya.



Berseimbangan atau takaful ialah dasar memelihara nasib sesama sendiri supaya jangan ada orang yang terbiar atau terlantar. Oleh itu hendaklah mengamalkan dasar takaful ini dengan cara yang bersungguh-sungguh untuk sama-sama menolong memikul bebanan sesama kita. Dasar ini merupakan tunjang iman dan intisari ukhuwah sejati. Untuk mengamalkan takaful ini kita hendaklah sentiasa bertanya khabar, ziarah menziarahi dan tolong menolong di antara satu sama lain. Sabda Rasulullah s.a.w :



Ertinya : Kalau seseorang dari kamu berjalan kerana hendak menolong saudaranya adalah lebih baik baginya daripada ia beri'tikaf sebulan di majidku ini.

19.6.09

PERINGATAN DARI AL-QURAN

Konsep Pendidikan



1. Prinsip utama bertitik tolak dari pengertian manusia sebagai insan dan khalifah Allah s.w.t di bumi ini. Manusia dicipta sebagai makluk yang cukup istimewa jika dibandingkan dengan makluk-makluk lain di atas muka bumi ini.



2. Prinsip pendidikan sepadu

i. Memahami penciptaan manusia dari perspektif Islam.

ii. Memahami sumber ilmu dalam Islam.

iii. Memahami martabat ilmu dalam Islam.

iv. Pengisian ilmu menjurus kepada pembinaan akal, roh dan jasad manusia.

v. Perkembangan ilmu mestilah berpaksikan Tauhid.



Imam Al-Ghazali menyatakan " Dengan akal manusia menerima amanah Allah dan dengan akal manusia akan sampai ke sisi Allah".



Al-Quran dan Hadith adalah sumber utama (wahyu) dalam membina dan menyuburkan manusia. Bagi memantap dan menjana manusia muslim yang sejati , pengalaman dan pemikiran manusia berasaskan kawalan hukum-hukum syara' di satukan untuk menerusi amanah sebagai khalifah di mukabumi ini.



Ilmu pengetahuan adalah terlalu kecil dan kerdil , jesteru itu manusia perlu sentiasa menambah ilmu untuk bekalan di dunia dan di akhirat. Ilmu naqli mengenai aqidah, syariah dan akhlak, tidak dapat dicapai melainkan dengan perantaraan wahyu dan hidayah dari Allah. Ini kerana kebenaran yang terkandung di dalamnya adalah mutlak, tinggi dan di luar jangkaan pemikiran dan pancaindera manusia.

18.6.09

PENTINGNYA AQIDAH YANG SATU

Apa sebabnya aqidah itu penting :

a. Ma'rifat kepada Allah Taala iaitu membina semangat untuk menuju ke arah kebaikan.
b. Ma'rifat kepada Malaikat iaitu mencontohi mereka.
c. Ma'rifat kepada Kitab-kitab iaitu memberikan arah yang hendak dituju.
d. Ma'rifat kepada Rasul-rasul iaitu memperhiaskan dengan akhlaq yang ditunjuki oleh mereka serta cara dakwah mereka.
e. Ma'rifat kepada hari Akhirat iaitu mengajak manusia berbuat baik dan maninggalkan maksiat.
f. Ma'rifat kepada Qadha Qadar Allah iatu memberikan bekal kekuatan dan kesanggupan untuk menempuh
kehidupan.

Aqidah merupakan roh bagi setiap manusia yang hidup di atas mukabumi ini, dengan berpegang teguh padanya ia akan hidup dalam kehidupan yang baik tetapi dengan meninggalkannya matilah semangat kerohanian manusia.