30.7.09

HATI SEORANG IBU


Islam amat memuliakan ibu. Justeru , Allah s.w.t telah mewajibkan anak-anak memuliakan dan menghormati ibu sekalipun berlainan pegangan agama. Allah s.w.t secara tegas mengharamkan segala bentuk penderhakaan kepada kedua-dua orang tua selagi ibu bapa berada atas landasan syarak. Ini ditegaskan oleh Allah s.w.t dalam firman-Nya yang bermaksud :

"Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada keduanya sekalipun perkataan 'ah' dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi katalah kepada mereka perkataan mulia." (Surah al-Israa' :23)

Fahamilah ibu bapa adalah perantara yang menyebabkan kita berada di dunia ini. Mereka terlalu berkorban tenaga, masa dan harta demi kebahagiaan anak-anak. Sedarilah bahawa jasa ibu bapa tidak boleh ditukar ganti dengan kemewahan atau kebendaan. Gembirakanlah mereka kerana sesungguhnya jasa dan pengorbanan ibu bapa amat besar dan tidak mungkin dapat dibalas.

Imam Bukhari telah meriwayatkan sebuah kisah daripada Said bin Abi Burdah tentang seorang lelaki Yaman yang bertawaf sambil mendukung ibunya dengan penuh cermat. Sesudah selesai tawaf, beliau bertanya kepada Ibnu Umar : Apakah dengan khidmat dan pengorbananku ini telah dapat membalas jasa bakti ibuku?. Jawab Ibnu Umar : Tidak, apa yang telah kamu lakukan tadi tidak akan dapat menebus jasa ibumu sekalipun sekadar hembusan nafas ketika kesakitan melahirkan kamu.

Janganlah kita sesekali menderhaka kepada ibu bapa kerana perbuatan seperti itu akan mendatangkan kecelakaan di dunia dan di akhirat. Hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud :
"Amat malanglah! Dan amat malanglah. Maka Rasulullah ditanya : Siapakah orang yang amat malang itu wahai Rasulullah ? Baginda menjawab : Seseorang yang mendapati kedua ibu bapanya atau salah seorang daripada keduanya telah tua namun dia masih gagal memasuki syurga ( lantaran gagal berkhidmat kepada mereka )."

29.7.09

RINDU AKAN KEBENARAN

Dalam mengharungi liku-liku kehidupan ini, aku terlalu rindukan kepastian dalam menghadapi berbagai masalah terutama mengenai hukum dan bentuk amal ibadat yang sebenar. Mungkin kita tertanya-tanya mengapa orang turut mengambil bahagian dalam masaalah khilafiyah dalam masyarakat? Padahal Islam diturunkan oleh Allah bukan untuk menyusahkan hamba-Nya, tidak untuk diperdebatkan sehingga membawa bencana. Kita tahu bahawa Islam adalah agama yang membawa kepada kedamian dan ketenteraman jiwa. Mengapa kini kita sering mendengar dan melihat percanggahan pendapat dikalangan ulama sehingga mengelirukan masyarakat Islam.

Dalam hal ini, kita jangan bertaklid membuta tuli sahaja, yakni menerima apa sahaja yang disampaikan oleh ulama-ulama tanpa memeriksa sumber dan alasan-alasannya dari Al-Quran dan Sunnah.

Perhatikanlah peringatan dari Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Abu Daud dari Irbaadl Bin Saariyah iaitu sabda Rasulullah s.a.w :"Sesungguhnya siapa yang akan hidup daripada kamu dibelakangku, maka dia akan melihat pendapat yang berlain-lainan di antara ahli agama maka diwaktu itu hendaklah kamu memperhatikan Sunnahku dan Sunnah para sahabatku yang benar-benar dapat petunjuk dan hendaklah kamu berpegang teguh kepada Sunnah itu dan jangan dilepaskannya".

Dalam Surah An-Nisa' : ayat 59

"Jika kamu berselisih, berlain pendapat maka kembalilah kepada Allah dan Rasul-Nya, iaitu kepada al-Quran dan Sunnah" Kepada ilmuan agama yang bijak pandai cuba perhatikan firman Allah SWT yang bermaksud :
"Allah menghendaki kelonggaran bagimu dan tidak menghendaki kesempitan bagimu"

Selanjutnya Rasulullah s.a.w bersabda :

"Permudahkan dan jangan kamu sukarkan dan Allah menyukai keringanan dan kemudahan bagi manusia"

Marilah kita sama-sama mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan iklas dan bersungguh-sungguh, semoga amal ibadat yang kita lakukan akan diterima oleh Allah. Alangkah baiknya kita membicarakan perkara-perkara yang boleh menambah dan menguatkan keimanan kita kepada Allah dari membicarakan pemasalahan furu' (cabang) bukan masaalah pokok.

RAMADHAN KU TUNGGU KETIBAANMU




Firman Allah bermaksud :

“Bulan Ramadhan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi pertunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan pertunjuk, dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah”
(S.al-Baqarah :185)


Ramadhan kini kau tiba lagi bagi mentarbiah diriku menjadi penyabar, kuat beribadat, penyayang, dermawan hatta bertaqwa kepada-Mu ya Allah. Kesempatan bersua denganmu Ramadhan aku memperhambakan diriku kepada-Mu ya Allah, Yang Maha Esa dengan melaksanakan segala perintah dan meninggalkan larangan-Mu.

Kesempatan bersua denganmu Ramadhan, inginku singkapkan peristiwa bersejarah dan bermakna bagi seluruh umat manusia, iaitu peristiwa nuzul al-Quran pada malam Jumaat, 17 Ramadhan tahun ke-41. Turunnya al-Quran telah mengubah manusia dari zaman jahiliah yang dipenuhi kegelapan kini disinari cahaya, dari kesesatan kepada kebenaran, hidup bertuhankan hawa nafsu kepada hidup bertuhankan Allah SWT.

“Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah dan Tuhanmulah Yang Maha Mulia yang mengajarkan (manusia) dengan perantaraan qalam. Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya”.
(S.al_Alaq :1-5)


Ya Allah, sesungguhnya ada masanya hatiku tergoda dengan keduniaan, aku memohon keampunan-Mu Ya Allah kiranya dosa-dosa itu menghindarkan aku dari berada di bawah naungan dan rahmat-Mu.Sabda Rasulullah s.a.w : "Tatkala Allah mencipta makluk-Nya sewaktu berada di Arsy, Dia mencatit di dalam kitab-Nya : Sesungguhnya RahmatKu mendahului Kemurkaanku"
Riwayat Muslim


Wahai sahabatku, adakah kita tidak memikirkan atau sama sekali telah lupa dosa yang kita telah lakukan? Lupakah kita tentang kebenaran Hari Pembalasan dan adakah sekali melakukan dosa maka selama-lamanya tercatat sebagai penghuni neraka?


Wahai sahabat, Ramadhan tahun inilah peluang kita untuk berubah untuk kembali kepada Allah yakni kembali kepada jalan hidup yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Jangan kita menyesali sesuatu perbuatan itu hanya setakat lafaz dimulut sahaja. Sebaliknya ia merupakan satu pertukaran sikap dan pendirian (hijrah) dalam hidup kita.


Oleh yang demikian, berubahlah untuk kebaikan dan kebahagian kita di dunia serta akhirat. Riwayat Imam Thabarani : Ikutilah keburukan dengan kebaikan maka kebaikan akan menebus keburukan tadi. Anas menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda : "Setiap cucu Adam melakukan dosa, dan orang berdosa yang paling baik ialah mereka yang selalu bertaubat". Bertaubatlah sebelum kita dijemput Allah buat selama-lamanya.Sesal dahulu pendapatan sesal kemudian tidak berguna.


Salam Ramadhan