18.11.09

Jumpa Lagi

Kini tiba masa pelajar yang berada ditingkatan 5 meninggalkan sesi persekolahan.Setiap ada pertemuan pasti ada perpisahan....
kata2 itu mungkin tak asing bagi kita..tapi tetap akan berlaku perpisahan...
2 tahun mereka berada di SMTK, teman2 dari berbagai negeri dan daerah namun ikatan kekeluargaan dan persahabatan kian kukuh dan akrab akan terurai....

Perpisahan pasti terjadi dalam setiap pertemuan. Sedih, haru dan bangga bila berlaku perpisahan kerana memang rakan menjadi tempat kita meluah perasaan dan orang paling rapat ketika berada berjauhan dari keluarga.

Ingat , perpisahan ini hanyalah berbeza dari segi tempat dan jarak tetapi hubungan agama tidak akan terputus dan terurai sama sekali. Jangan sesekali pertemuan dan ikatan diakhiri dengan hasil yang menyakitkan. Biarlah pertemuan dan perpisahan mendapat keredhaan dari Allah swt. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud : "Tidak sempurna iman seseorang kamu, sehinggalah ia kasihkan saudaranya sebagaimana ia mengasihi dirinya sendiri."

16.11.09

Penantian UPSR


Tinggal beberapa hari lagi keputusan UPSR akan diumumkan. Debaran ibubapa dan guru kian terasa. Semua orang yang tersayang tidak sabar lagi menunggu keputusan ini. Ada ibubapa yang bertanya dan menghantar sms untuk memastikan tarikh bilakah keputusan ini diumumkan. Sama ada anak-anak yang menduduki peperiksaan ini berjaya atau tidak... berilah mereka peransang dan kata-kata yang boleh memberi mereka motivasi untuk meneruskan pengajian ke peringkat menengah.

Kalau anak kita berjaya berilah peransang untuk mereka terus berjaya kerana kejayaaan ini baru permulaan bagi mereka dan masih banyak lagi peperiksaan yang perlu mereka duduki nanti. Bagi anak yang kurang mendapat keputusan yang baik, ini bukan bermakna mereka akan terus gagal. Berilah peluang kepada mereka untuk berjaya dalam pelajaran. Ibubapa memainkan peranan penting dalam membimbing anak-anak untuk berjaya. Jangan sekali-kali menunding jari menyalahkan anak-anak, mereka masih muda dan belum mengerti apa-apa matlamat untuk hidup. Ada setengah anak tahun 6, cita-cita seperti lirik lagu... bila ditanya besar nanti nak jadi apa... mereka menjawab saja-saja kerja itu yang dia tahu.

Setiap orang berkehendakkan kejayaan yang cemerlang tetapi perlu diingatkan keupayaan anak-anak tidak sama. Jangan cuba bandingkan anak kita dengan anak orang lain yang berjaya kerana itu boleh menyebabkan anak kita terguris hati dan menjadikan mereka orang yang cepat putus asa.

Percayalah kepada takdir Allah swt, kita hanya merancang tetapi Allah yang menentukan. Allah swt tidak pernah menghampakan hambanya yang berusaha dan berkeyakinan (bertawakkal)kepadaNya untuk berjaya. Doa adalah senjata orang mukmin, maka gunalah senjata ini setelah kita berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mencapai impian kita. Pada rakan-rakan yang mempunyai anak-anak yang menduduki UPSR tahun ini, iringilah doa kejayaan anak-anak kita. Apa juga keputusan yang akan diperolehi oleh anak-anak nanti, kita terimalah dengan redha. Pada anakku, baba sentiasa doakan kejayaan kamu. Moga berjaya....

12.11.09

Bekalan hidup

Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah swt kerana memilih kita untuk membicarakan soal bagaimana untuk kita kembali kepada Islam yang sebenar. Islam yang syamil, kamil dan mutawazin. Anugerah Allah swt ini perlu kita jaga dan pelihara dengan bersungguh-sungguh kerana mungkin ia adalah anugerah pertama dan terakhir dari Allah swt dalam kehidupan kita di atas mukabumi Allah ini.
Oleh itu segala peluang yang ada perlulah kita gunakan semaksima yang mungkin tanpa mensia-siakannya.Janganlah kita mengambil sikap tidak kesah, masih leka dan relax serta tidak serius dalam membuktikasn keikhlasan kita sebagai hamba Allah yang sebenar-benarnya. Oleh yang demikian, dalam rangka kita untuk menjadi hamba Allah yang sebenarnya, maka perlu jelas akan hakikat penglibatan atau iklasan kita pada Allah swt.

Sahabat/sohibah, dihadapan kita adalah akhirat. sama ada kita berjaya dengan sebenar-benarnya atau kita rugi ia bergantung kepada kehidupan kita di dunia.Jendela seerah memaparkan bagaimana pengorbanan Zainab al-Ghazali al-Jabaili. Kegigihan, ketegasan, sifat pengorbanan dan jihad beliau begitu ketara sekali sehingga beliau menerima seksaan melebihi seksaan seorang lelaki. Begitu sayangnya pada Islam beliau sanggup berkorban demi agama tercinta.

Oleh yang demikian, marilah kita bersama-sama membentuk dan mewujudkan suasana kehidupan Islam yang sebenar. Moga kita mendapat berkat dan pertolongan dari Allah swt dan meredhai kehidupan kita sehinggalah kita bertemu dengan akhirat.

10.11.09

Amanah Yang Belum Selesai

Alhamdulillah, segala puji hanya layak untuk Allah s.w.t, Penguasa dan Pencipta seluruh alam semesta. DariNya kita datang dan kepadaNya jua kita akan dikembalikan. Selawat serta salam untuk junjungan Rasulullah s.a.w serta ahli keluarga dan para sahabat baginda.


Rasulullah s.a.w dan para sahabatnya, telah mengajak kita untuk beriman dan beramal , kemudian mengumpulkan hati-hati ini di atas dasar kasih sayang dan persaudaraan sehingga dengan itu terkumpullah kekuatan aqidah kepada kekuatan penyatuan sebagai jemaah.


Harapan dan masa depan Islam terletak di atas bahu kita sebagai pemuda-pemudi Islam yang beriman kepada Allah s.w.t. Rahsia ini tercantum di dalam firman Allah dalam surah al-Kahfi ayat 13 yang bermaksud:


" Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Rabb mereka dan Kami (Allah) akan tambahkan kepada mereka petunjuk."


Oleh itu bersegeralah kita untuk menyelesaikan amanah dan tanggungjawab kita kepada Allah. Moga Allah mempermudahkan kita dalam menyelesaikan sebab-sebab yang memungkinkan kita untuk menyebar dan mendaulatkan agama Allah ini.

5.11.09

Kemuliaan Orang Berilmu

Daripada Anas bin Malik r.a telah bersabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud : " Menuntut ilmu fardhu di atas setiap orang Islam dan penuntut ilmu akan didoakan keampunan oleh setiap sesuatu termasuk ikan-ikan dilaut."
Hadis ini diriwayatkan oleh Ibn Abd al Bar dalam Jami'Bayan al llm wa Fadhlul, yang menerangkan tentang kelebihan ilmu pengetahuan sehingga setiap sesuatu akan memohonkan keampunan kepada penuntut ilmu tersebut. Sesungguhnya ilmu dalam Islam berada ditahap tertinggi mengatasi segala-galanya. Dengan ilmu lahirlah aqidah keimanan dalam diri muslim yang merupakan asas penting dalam binaan Islam.

Imam al Ghazali dalam kitabnya Ihya Ulumuddin menyebut :" Seorang yang berilmu dan kemudian bekerja dengan ilmunya itu ibarat minyak kasturi yang baunya dinikmati orang lain dan ia sendiri pun harum. Sesiapa yang bekerja dibidang pendidikan, maka sesungguhnya ia telah memilih pekerjaan yang terhormat dan sangat penting, maka ia hendaklah memelihara adab dalam tugasnya."

Bagi mereka yang menyampaikan ilmu, ia adalah merupakan satu sedekah. Semakin bertambah banyak ilmunya disebarkan maka ia akan berkembang dan dimanfaatkan oleh orang lain.Justeru itu janganlah kita meninggalkan kewajipan menyampaikan ilmu Allah ini. Dizaman yang serba canggih ini ada berbagai cara yang dapat kita kembang dan sebarkan ilmu untuk menuju kejalan kebaikan. Jangan kita gunakan kemudahan yang ada untuk menyesat dan memesong aqidah umat Islam yang lain. Ketahuilah bahawa sesungguhnya musuh-musuh Islam ini sentiasa mengambil peluang untuk menyesatkan umat Islam masa kini terutama melalui kemudahan seperti internet, hiburan dan sebagainya.

Oleh itu berwaspadalah selalu, kuatkanlah dengan ilmu agama. Sesungguhnya hanya orang yang menyuruh kepada kebaikan dan mencegah dari kemungkaran yang mengetahui mana yang baik dan mana yang buruk. Adalah menjadi satu kewajipan setiap orang Islam untuk mengajak orang lain untuk berbuat kebaikan dan mencegah dari melakukan kemungkaran.