18.12.09

Jaga Mulut

Allah memberi tuntutan kepada kita (manusia), agar kita berbicara dengan perkataan yang baik dan membiasakan diri dengan ucapan-ucapan yang baik kerana ucapan yang baik merupakan sopan santun yang tinggi akhlaknya.

Ucapan-ucapan yang baik dapat menyuburkan kasih sayang sesama kita, mengeratkan persahabatan dan mencegah tipudaya syaitan yang berusaha merapuhkan tali perhubungan dan menimbulkan persengketaan.Oleh sebab itu dalam pergaulan harian banyak godaan yang kita akan tempuhi terutama diusia remaja.

Apakah yang menghalang kita menuju kearah kebaikan dan ketakwaan pada Allah? Terdapat dua musuh batin manusia yang menjadi penghalang kita mendekatkan diri dengan Allah iaitu :
i. Syaitan
ii Hawa nafsu

Firman Allah yang bermaksud :

" Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh kamu yang sangat nyata." (Surah Al-Araf :23)

Dalam ayat lain pula, Allah berfirman yang bermaksud :

" Sesungguhnya nafsu itu sangat mengajak kepada kejahatan." (Surah Yusuf :53)

Untuk menghindarinya, kita mesti memperbanyakkan amal ibadah dan ketaatan kepada Allah. Seboleh-bolehnya cuba elakkan dari pertengkaran kerana pada saat inilah syaitan berusaha keras agar keduan-duanya mempertahankan diri maka akan terkeluar ucapan-ucapan kotor yang dilontar di antara satu sama lain. Saya berpesan kepada diri sendiri dan rakan-rakan semua jagalah tutur kata ketika berucap, janganlah sampai lidah dan mulut kita mengeluarkan kata-kata yang tidak bermanfaat dan sia-sia. Syukurilah nikmat berbicara dan gunakannya dijalan kebaikan.

17.12.09

Doa Akhir dan Awal Tahun

Doa Akhir Tahun


Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad s.a.w dan keluarga baginda serta para sahabatnya.

Ya Allah, sesungguhnya pada tahun ini aku telah melakukan larangan-larangan-Mu tetapi aku belum bertaubat sedangkan Engkau tidak redha dan tidak melupai perkara itu Engkau telah menangguhkan azab-Mu yang telah ditetapkan kepadaku. Engkau telah memerintahkan supaya aku bertaubat daripada kesalahan-kesalahan itu. Sesungguhnya pada hari ini, aku memohon keampuanan dari-Mu, ampunilah aku. Dan apa yang aku lakukan pada tahun ini yang Engkau redha dan janjikan pahala, maka aku memohonnya daripada-Mu Ya Allah Ya Karim YazalJalaliWalIkram. Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad s.a.w serta keluarga baginda dan juga para sahabatnya. Dengan segala puji tertentu bagi Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam


Doa Awal Tahun


Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang dan Allah berselawat dan mengurniakan kesejahteraan ke atas penghulu kami Muhammad s.a.w dan ke atas keluarganya sera para sahabatnya. Ya Allah yang Kekal Abadi, Yang Qadim, Yang Awal dan ke atas kelebihan-Mu yang besar dan kemurahan-Mu yang melimpah dan ini adalah tahun baru yang telah muncul dihadapan kami. Kami memohon pemeliharaan dari-Mu disepanjang tahun ini dari syaitan dan pembantu-pembantunya dan tentera-tenteranya dan juga pertolongan terhadap diri yang diperintahkan melakukan kejahatan dan usaha yang mendekatkan diri kepada-Mu, Ya Allah Yang Maha Agung dan Maha Mulia. Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad s.a.w serta keluarga baginda dan juga para sahabatnya dan mengurniakan kesejahteraan ke atas mereka.

14.12.09

PENYAKIT JIWA

DALAM tubuh manusia ada dua macam penyakit, iaitu penyakit jasmani dan penyakit rohani. Antara penyakit jasmani dan penyakit rohani terdapat perbezaan yang ketara kalau penyakit jasmani biasanya kalau mahu berubat pergi ke doktor untuk minta disuntik sesuai dengan penyakit yang dideritanya, apakah dia menghadapi penyakit panas, batuk, demam muntah-muntah, darah tinggi dan lain-lain penyakit yang biasa menyerang manusia.

Tetapi penyakit jiwa tidak akan sembuh kalau bukan ia sendiri berusaha menyembuhkannya, dan bila manusia terkena penyakit jiwa bukan perlu berjumpa doktor untuk minta disuntik agar penyakitnya sembuh, melainkan jiwanya sendiri yang boleh mengubati dengan minta hidayah dan petunjuk dari Allah. Bagi orang sufi, penyakit jiwa ini merupakan suatu hal yang seharusnya dibasmi dari jiwanya.

Diantara penyakit jiwa yang boleh menghalangi kita untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t adalah :
1. Khianat
2. Bakhil
3. Dengki
4. Sombong
5. Menganiayai orang
6. Pemarah
7. Pendusta

10.12.09

Mencari Bekalan Akhirat

DUNIA adalah jambatan kita menuju keredaan Allah. Dunia sifatnya hanya sementara, ibarat musafir yang berteduh sebentar di pohon rendang yang akan meneruskan perjalanan ke destinasi.Bersiap-siaplah dengan bekalan takwa kerana takwa adalah sebaik-baik bekalan.

Era zaman globalisasi ini, setiap kita perlu ada ketahanan diri dengan mempunyai iman yang kuat. Iman yang tidak mampu digugat oleh apa jua suasana sekeliling yang cuba menghancurkan kita.

Zaman remaja adalah merupakan rebung-rebung baru yang tumbuh subur di taman. Waktu inilah banyak dari kita leka dengan hiburan dan keasyikan memburu dunia sehingga menyebabkan terjebak dengan kemaksiatan. Sekiranya kita adalah remaja Islam sejati, keyakinan dan amalan yang diwarisi daripada Rasulullah s.a.w akan menjadi benteng dari melakukan dosa pada Allah s.w.t.

Pada sahabatku semua, beriman dan bertakwalah kepada kepada Allah selagi kita diberi peluang oleh Allah untuk mencari bekalan di dunia untuk dibawa ke akhirat. Ingatlah janji-janji Allah, moga kita termasuk tujuh golongan yang mendapat naungan Arasy di akhirat kelak.
Sabda Rasulullah s.a.w :

" Ada tujuh golongan orang yang dikurniakan Allah naungan di Padang Mahsyar iaitu pemimpin yang adil, pemuda yang hatinya sentiasa terpaut pada masjid, dua orang yang cinta mencintai kerana Allah, orang yang mengingati Allah di tempat yang sunyi sehingga mengalir air matanya kerana takutkan Allah, seorang lelaki yang menolak ajakan seorang wanita cantik dengan berkata : aku takutkan Allah dan orang yang bersedekah yang dapat menyembunyikan sedekahnya hingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberikan oleh tangan kanannya."

9.12.09

Kenali Diri

MENGENAL diri bukanlah sekadar menilai kecantikan, tinggi rendah, warna kulit, keturunan dan bangsa tetapi manusia sebenarnya terdiri dari dua jasad yang dipadu erat menjadi satu iaitu jasad lahir dan jasad batin (roh).
Jasad lahir hanyalah menjadi sangkar kepada jasad batin yang mana jasad batin ini yang akan membentuk keperibadian manusia yang sebenar. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud : " Siapa kenal diri, maka dia kenal Allah."

Kita boleh mengenal diri sendiri dengan cara mengenal :
1. iman kita.
2. nafsu kita
3. sifat-sifat hati kita
4. kekuatan yang ada pada kita iaitu jiwa kita, perasaan kita dan fikiran kita.
5. kebolehan kita
6. kecenderungan kita
7. watak kita

Penting kita mengenal diri supaya kita tahu kelebihan dan kekurangan yang ada pada diri kita. Sifat-sifat yang baik dimiliki hendklah kita suburkan dan sifat-sifat buruk yang ada kita tinggalkan. Semoga dengan mengetahui sifat-sifat diri kita ini akan dapat melatih dan meletakkan kita sebagai hamba yang taat pada perintah Allah s.w.t.

6.12.09

Milikilah Akhlak Terpuji

Ibadah asas dan Fadhailul a'mal kalau dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh akan membuahkan akhlak yang mulia. Allah menilai ibadah seseorang itu pada akhlaknya. Jadi kalau banyak beribadah kepada Allah s.w.t maka bertambah baiklah akhlaknya.
Seorang sahabat bertanya Rasulullah s.a.w tentang seorang wanita yang sangat kuat beribadah, berpuasa di siang hari dan bertahajud di malamnya tetapi dia selalu menyakiti jirannya dengan lidahnya. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :

"Tidak ada kebaikan lagi pada wanita itu, bahkan dia menjadi penghuni Neraka."

Inilah tauladan yang perlu kita lihat, bahawa sekiranya kita ada mempunyai sifat-sifat yang dicela oleh Allah maka semua amal ibadah kita lakukan tidak akan diterima Allah. Dan disebut cerita bagaimana Rasulullah menyebut sebanyak tiga kali nama seorang pemuda yang bakal menjadi ahli Syurga.

Lalu, seorang sahabat pergi ke rumah pemuda itu untuk mengetahui apakah amalan yang dilakunya sehingga ia disebut oleh Rasulullah sebagai ahli Syurga. Dilihatnya pemuda itu tidaklah banyak ibadahnya kepada Allah tetapi hanya sedikit sahaja ibadah sunat disamping melaksanakan segala ibadah asas yang diwajibkan oleh Allah.

Setelah diselidiki barulah sahabat tahu bahawa pemuda itu tidak pernah berhasad dengki dengan orang lain, bahkan tidak terlintas olehnya untuk berburuk sangka pada orang lain. Inilah yang dikatakan akhlak yang mulia. Ibadahnya walaupun sedikit tetapi membuahkan akhlak yang mulia. Oleh itu pada pembaca yang budiman, jadikan setiap amal ibadah kita pada Allah adalah ikhlas dan sentiasa percaya bahawa setiap amalan kita di dunia akan mendapat pembalasan Allah s.w.t di akhirat kelak.

3.12.09

Matlamat hidup..

Manusia perlu ada matlamat hidup. Ibarat kapal, perlu ada arah tujuan. Hidup tanpa matlamat ibarat kapal tanpa kemudi, dibawa angin kemana-mana. Apatah lagi bagi seorang Islam yang menyakini ada kehidupan sesudah mati. Matlamat hidup inilah akan mencorak kehidupan, cara berfikir dan bertindak.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :" Di dalam diri anak Adam, ada seketul daging, jika baik daging itu baik manusia itu. Jika jahat maka jahatlah dia. Ketahuilah itulah hati." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Peluang hidup ini hendaklah direbut dengan memperbanyakkan amalan takwa kepada Allah. Kata-kata "muda hanya sekali" tidak patut menjadi pegangan sebagai alasan melepaskan diri dari tanggungjawab sebagai hamba Allah s.w.t.

Hidup ini adalah medan untuk meningkatkan ketakwaan kepada Allah s.w.t dengan seikhlas hati. Ketahuilah, kemahuan diri bukan menjadi matlamat hidup. Sebaliknya hendakalah kita menyerahkan diri kita kepada Allah s.w.t