Showing posts with label Pedoman. Show all posts
Showing posts with label Pedoman. Show all posts

18.12.09

Jaga Mulut

Allah memberi tuntutan kepada kita (manusia), agar kita berbicara dengan perkataan yang baik dan membiasakan diri dengan ucapan-ucapan yang baik kerana ucapan yang baik merupakan sopan santun yang tinggi akhlaknya.

Ucapan-ucapan yang baik dapat menyuburkan kasih sayang sesama kita, mengeratkan persahabatan dan mencegah tipudaya syaitan yang berusaha merapuhkan tali perhubungan dan menimbulkan persengketaan.Oleh sebab itu dalam pergaulan harian banyak godaan yang kita akan tempuhi terutama diusia remaja.

Apakah yang menghalang kita menuju kearah kebaikan dan ketakwaan pada Allah? Terdapat dua musuh batin manusia yang menjadi penghalang kita mendekatkan diri dengan Allah iaitu :
i. Syaitan
ii Hawa nafsu

Firman Allah yang bermaksud :

" Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh kamu yang sangat nyata." (Surah Al-Araf :23)

Dalam ayat lain pula, Allah berfirman yang bermaksud :

" Sesungguhnya nafsu itu sangat mengajak kepada kejahatan." (Surah Yusuf :53)

Untuk menghindarinya, kita mesti memperbanyakkan amal ibadah dan ketaatan kepada Allah. Seboleh-bolehnya cuba elakkan dari pertengkaran kerana pada saat inilah syaitan berusaha keras agar keduan-duanya mempertahankan diri maka akan terkeluar ucapan-ucapan kotor yang dilontar di antara satu sama lain. Saya berpesan kepada diri sendiri dan rakan-rakan semua jagalah tutur kata ketika berucap, janganlah sampai lidah dan mulut kita mengeluarkan kata-kata yang tidak bermanfaat dan sia-sia. Syukurilah nikmat berbicara dan gunakannya dijalan kebaikan.

14.12.09

PENYAKIT JIWA

DALAM tubuh manusia ada dua macam penyakit, iaitu penyakit jasmani dan penyakit rohani. Antara penyakit jasmani dan penyakit rohani terdapat perbezaan yang ketara kalau penyakit jasmani biasanya kalau mahu berubat pergi ke doktor untuk minta disuntik sesuai dengan penyakit yang dideritanya, apakah dia menghadapi penyakit panas, batuk, demam muntah-muntah, darah tinggi dan lain-lain penyakit yang biasa menyerang manusia.

Tetapi penyakit jiwa tidak akan sembuh kalau bukan ia sendiri berusaha menyembuhkannya, dan bila manusia terkena penyakit jiwa bukan perlu berjumpa doktor untuk minta disuntik agar penyakitnya sembuh, melainkan jiwanya sendiri yang boleh mengubati dengan minta hidayah dan petunjuk dari Allah. Bagi orang sufi, penyakit jiwa ini merupakan suatu hal yang seharusnya dibasmi dari jiwanya.

Diantara penyakit jiwa yang boleh menghalangi kita untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t adalah :
1. Khianat
2. Bakhil
3. Dengki
4. Sombong
5. Menganiayai orang
6. Pemarah
7. Pendusta

3.12.09

Matlamat hidup..

Manusia perlu ada matlamat hidup. Ibarat kapal, perlu ada arah tujuan. Hidup tanpa matlamat ibarat kapal tanpa kemudi, dibawa angin kemana-mana. Apatah lagi bagi seorang Islam yang menyakini ada kehidupan sesudah mati. Matlamat hidup inilah akan mencorak kehidupan, cara berfikir dan bertindak.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :" Di dalam diri anak Adam, ada seketul daging, jika baik daging itu baik manusia itu. Jika jahat maka jahatlah dia. Ketahuilah itulah hati." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Peluang hidup ini hendaklah direbut dengan memperbanyakkan amalan takwa kepada Allah. Kata-kata "muda hanya sekali" tidak patut menjadi pegangan sebagai alasan melepaskan diri dari tanggungjawab sebagai hamba Allah s.w.t.

Hidup ini adalah medan untuk meningkatkan ketakwaan kepada Allah s.w.t dengan seikhlas hati. Ketahuilah, kemahuan diri bukan menjadi matlamat hidup. Sebaliknya hendakalah kita menyerahkan diri kita kepada Allah s.w.t

12.11.09

Bekalan hidup

Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah swt kerana memilih kita untuk membicarakan soal bagaimana untuk kita kembali kepada Islam yang sebenar. Islam yang syamil, kamil dan mutawazin. Anugerah Allah swt ini perlu kita jaga dan pelihara dengan bersungguh-sungguh kerana mungkin ia adalah anugerah pertama dan terakhir dari Allah swt dalam kehidupan kita di atas mukabumi Allah ini.
Oleh itu segala peluang yang ada perlulah kita gunakan semaksima yang mungkin tanpa mensia-siakannya.Janganlah kita mengambil sikap tidak kesah, masih leka dan relax serta tidak serius dalam membuktikasn keikhlasan kita sebagai hamba Allah yang sebenar-benarnya. Oleh yang demikian, dalam rangka kita untuk menjadi hamba Allah yang sebenarnya, maka perlu jelas akan hakikat penglibatan atau iklasan kita pada Allah swt.

Sahabat/sohibah, dihadapan kita adalah akhirat. sama ada kita berjaya dengan sebenar-benarnya atau kita rugi ia bergantung kepada kehidupan kita di dunia.Jendela seerah memaparkan bagaimana pengorbanan Zainab al-Ghazali al-Jabaili. Kegigihan, ketegasan, sifat pengorbanan dan jihad beliau begitu ketara sekali sehingga beliau menerima seksaan melebihi seksaan seorang lelaki. Begitu sayangnya pada Islam beliau sanggup berkorban demi agama tercinta.

Oleh yang demikian, marilah kita bersama-sama membentuk dan mewujudkan suasana kehidupan Islam yang sebenar. Moga kita mendapat berkat dan pertolongan dari Allah swt dan meredhai kehidupan kita sehinggalah kita bertemu dengan akhirat.

9.10.09

Sahabat

Antara kemanisan hidup ini apabila seseorang memiliki sahabat yang setia tanpa sebarang kepentingan.Namun hal yang seperti ini amat sukar untuk diperolehi di dunia ini, sekalipun ramai yang selalu mendakwa dia adalah sahabat setia kita. Kita tidak tahu sejauh manakah dakwaan itu sebelum adanya ujian yang sebenar. Ramai yang pernah mendakwa sedemikian tetapi terbukti berbohong apabila ujian datang melanda.

Bahkan banyak persahabatan dalam dunia ini pun terjadi di atas kepentingan tertentu. Maka tidak hairan jika ia akan berakhir disebabkan kepentingan tertentu jua. Bahkan ada persahabatan yang diasaskan di atas kejujuran namun berakhir disebabkan kepentingan.

Memiliki persahabatan yang jujur dalam ertikata yang sebenar adalah nikmat kehidupan. Namun ia sebenarnya sukar untuk diperolehi secara meluas di alam maya ini melainkan dalam sejarah kehidupan golongan yang beriman dalam makna yang sebenar. Bahkan baginda Nabi s.a.w. menjamin bahawa sesiapa yang mempunyai sahabat tanpa kepentingan melainkan kerana Allah semata, maka dia akan mengecapi kemanisan iman.

Sabda baginda: “Tiga perkara sesiapa yang ada padanya maka dia mendapati kemanisan iman. (pertama) Hendaklah Allah dan rasulNya lebih dicintai mengatasi selain keduanya. (kedua) Hendaklah dia mencintai seseorang, tidak dia cintainya kecuali kerana Allah. (ketiga) Hendaklah dia benci untuk kembali kepada kekufuran sepertimana dia benci untuk dicampakkan ke dalam neraka” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Manisnya tebu tidak dapat digambarkan oleh perkataan buat sesiapa yang tidak pernah merasanya. Manisnya iman, hanya pemiliknya sahaja yang dapat mengecapi kenikmatan dan kekusyukannya. Dalam tiga ciri tersebut, baginda s.a.w nyatakan bahawa dengan mencintai seseorang hanya kerana Allah, akan terasalah manisnya iman. Indahnya kemanisan iman hanya pemiliknya yang faham.

Bagaimana mungkin kita dapat membina rasa cinta kepada seseorang kerana Allah semata? Pastilah dek kita tahu hubungan dan kasih sayang kita kepadanya mendapat keredhaan Allah. Mungkin kerana dia orang yang dekat kepada Allah, atau dia boleh menjadi faktor kita dapat mendekatkan diri kepada Allah. Apabila perasaan yang seperti itu terbina, kita akan dapat merasa nikmatnya perasaan cintakan seseorang kerana Allah. Hanya hubungan yang seperti itulah yang membuahkan kesetiaan dan kejujuran yang tidak mampu dibeli oleh pangkat, kedudukan dan harta.

Hubungan persahabatan seperti itu tidak ada di alam gelora manusia yang yang berkawan dengan seseorang kerana kepentingan atau kedudukan atau harta. Allah menyebut dalam al-Quran: (maksudnya)“Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, tidaklah engkau dapat menyatu-padukan di antara jantung hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan antara mereka. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa, lagi Maha Bijaksana” (Surah al-Anfal: 63).

Ia hanya wujud dalam alam kehidupan yang dibina atas nama Iman dan Islam. Maka kita akan lihat kesetiaan antara para pejuang Islam yang ikhlas sepanjang sejarah penuh dengan keajaiban. Mereka hapuskan dalam dairi hidup mereka perkataan khianat, kebencian dan permusuhan dari belakang, lalu digantikan dengan “aku kasihkan engkau kerana Allah”.

Kasih itu berkekalan semasa sahabatnya di puncak atau berada di bawah. Samada sahabatnya masih hidup, atau setelah meninggalkan dunia ini. Ini kerana tempat rujuk kasih mereka Maha Tinggi Lagi Tiada Kesudahan bagiNya, iaitu Allah s.w.t. Lihatlah sahabah Nabi s.a.w. Zaid bin al-Dathinah apabila dia ditangkap oleh pemimpin Quraish yang menentang Nabi s.a.w. lalu dibawa untuk dibunuh dan Abu Sufyan –ketika itu belum menganut Islam- bertanya kepadanya: “Wahai Zaid, aku bertanya engkau dengan nama Allah, tidakkah engkau suka Muhammad berada di tempat engkau sekarang, kami pancung kepalanya, dan engkau berada di samping keluargamu”.

Jawab Zaid: “Aku tidak suka Muhammad berada di mana dia berada sekarang, terkena duri sedangkan aku berada di samping keluargaku”. Kata Abu Sufyan: “Aku tidak pernah melihat seseorang mengasihi seseorang seperti kasihnya sahabat-sahabat Muhammad kepada Muhammad” (Ibn Kathir, Al-Bidayah wa al-Nihayah, 4/75 Beirut: Dar al-Kutub al-’Ilmiyyah). Ya! Kasih yang mengharapkan hanya ganjaran Allah. Inilah kasih para pejuang yang sebenar antara mereka.
Persahabatan kerana Allah, memberi tanpa minta diganti, menyokong tanpa minta disanjung, memuji tidak kerana budi, berkorban tanpa menuntut ganjaran. Namun semuanya hanya mengharapkan kurniaan Allah jua yang menjadi punca kecintaan dan kasih sayang itu mekar antara satu sama lain. Sudah pastilah persahabatan itu dibina atas kebenaran yang sentiasa tunduk dan patuh kepada titah Allah dan RasulNya. Alangkah indahnya suasana ini.

Justeru itu Allah memuji golongan Muhajirin dan Ansar lalu dirakam kasih sayang antara mereka dalam al-Quran: (maksudnya) ”Bagi golongan fakir yang berhijrah, yang mereka diusir dari kampung halaman dan harta benda mereka (kerana) mencari kurnia daripada Allah dan keredhaanNya. Mereka menolong (agama) Allah dan RasulNya. Mereka itulah orang-orang yang benar. Orang-orang yang telah mendiami kota (Madinah) dan telah beriman (Ansar) sebelum (kedatangan) mereka itu (Muhajirin), mereka mencintai orang berhijrah kepada mereka. Mereka tiada menaruh sebarang keinginan (balasan) dalam dada mereka terhadap apa-apa yang diberikan kepada Muhajirin. Mereka mengutamakan (orang-orang Muhajirin), atas diri mereka sendiri, sekalipun mereka juga memerlukan (apa yang mereka berikan itu). Dan siapa yang dipelihara dari kekikiran dirinya, mereka itulah orang-orang yang beruntung. Adapun orang-orang yang datang selepas mereka (Muhajirin dan Ansar), mereka berdoa: “Ya Tuhan kami, berilah keampunan kepada kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman lebih dahulu dari kami, dan janganlah Engkau membiarkan kedengkian dalam hati kami terhadap orang-orang yang beriman. Ya Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Maha Penyantun lagi Maha Penyayang” (Surah al-Hasyar 8-10).

Hanya insan-insan yang seperti ini sahaja yang akan merasa manisnya perjuangan yang mereka bawa. Ini kerana mereka jelas matlamat yang hendak dituju dan jalan yang hendaklah dilalui. Bebas dari kepentingan diri, yang tinggal hanya kepentingan cita-cita yang suci. Maka tidak ada cerita jatuh-menjatuh antara mereka kerana jawatan dan pangkat.

Sebaliknya, sering ingin memberi kerana matlamat mereka adalah keredhaan Allah. Ia tidak dicapai dengan tumpas menumpas sesama pejuang yang betul niat dan tujuannya. Sebaliknya keredhaan itu dicapai dengan sering tolong menolong kerana Allah. Jika itu tidak ada, perjuangan itu untuk dunia semata dan pasti dalamnya penuh kepahitan walaupun pada zahir ada harta dan kemewahan.

Dalam hadis Nabi s.a.w bersabda: “Sesungguhnya dari kalangan hamba-hamba Allah adanya golongan yang mereka bukan para nabi, atau para syahid. Namun para nabi dan para syahid cemburu kepada mereka pada Hari Kiamat disebabkan kedudukan mereka di sisi Allah”. Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah! Beritahulah kami siapakah mereka?”.

Jawab Nabi: “Mereka itu golongan yang cinta mencintai dengan ruh Allah, tanpa ada hubungan kekeluargaan dan bukan kerana harta yang diidamkan. Demi Allah, sesungguhnya wajah-wajah mereka adalah cahaya, mereka berada atas cahaya. Mereka tidak takut pada saat manusia ketakutan, mereka tidak berdukacita ketika manusia berdukacita”.

Lalu baginda membaca ayat al-Quran: (maksudnya) “Ketahuilah sesungguhnya wali-wali Allah tiada ketakutan untuk mereka dan tidak pula mereka berdukacita” (Hadis riwayat Abu Daud, dinilai sahih oleh al-Albani). Inilah golongan yang dilindungi Allah pada hari kiamat. Di dunia mereka mendapat kenikmatan persahabatan yang jujur dan ikhlas, di akhirat mereka dilindungi Allah.

Carilah iman dan persahabatan atas dasar iman. Carilah prinsip perjuangan yang Allah redha, kita akan bertemu di sana sahabat-sahabat yang setia kerana Allah. Jika anda pernah merasai kemanisan iman dan persahabatan atas nama iman, anda akan tahu bahawa persahabatan palsu itu rasanya amat pahit dan meloyakan.

Lebih mendukacitakan Allah berfirman: (maksudnya) “Sahabat handai pada hari tersebut (kiamat) bermusuhan antara satu sama lain, kecuali golongan yang bertakwa” (Surah al-Zukhruf: 67). Ya, seperti mana di dunia mereka melepaskan diri apabila hilang kepentingan yang dicari, di akhirat mereka bermusuhan apabila melihat azab Tuhan yang terhasil dari dosa persahabatan dan pakatan yang pernah mereka lakukan di dunia.

Hidup didunia ini akan menjadi cantik, jika sekiranya kita berkeinginan untuk merealisasikannya maka carilah perjuangan yang berprinsip dan diredhai Allah kerana kehidupan di dunia ini adalah perjalanan ke akhirat yang kekal abadi.

5.10.09

Zuriat Harapan Ummah

Sesungguhnya anak-anak merupakan anugerah dari Allah s.w.t. yang cukup berharga kepada ibubapa. Mereka juga merupakan amanah daripada Allah untuk dijaga dan dipelihara dengan sempurna dan memastikan keselamatan di dunia dan akhirat. Amanah ini akan ditanya oleh Allah diakhirat nanti, apakah kita telah menunaikannya dengan sebaik-baiknya ataupun kita mengkhianatinya.

Kita semua sebagai ibu bapa atau yang bakal menjadi bapa sudah pasti berharap supaya dikurniakan anak-anak yang baik dan soleh yang bakal menjadi penyejuk mata dan penawar hati. Anak-anak bukan sahaja dapat membantu kita sewaktu di dunia bahkan diharap dapat membantu kita sampai ke alam akhirat.

Sabda Rasulullah s.a.w :

" اِذَا مَاتَ ابْنِ آدَمَ اِنْقَطَعَ عَمَلُهُ اِلاَّ مِنْ ثَلاَثٍ : صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ، أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ، أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُوْلَهُ ".

Maksudnya : “ Apabila telah mati seorang anak Adam, maka putuslah amalnya kecuali tiga perkara, iaitu : Sedekah jariah, Ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang mendoakan kepadanya”.

Oleh itu, sekiranya kita berhasrat dan mengidamkan untuk mendapat zuriat yang terbaik dan soleh, maka kita mestilah memberikan pendidikan yang sempurna kepada mereka yang berkaitan dengan dengan fardhu ain dan fardhu kifayah.

Justeru itu, proses mendidik anak agar benar-benar menjadi anak yang soleh merupakan suatu tugas dan tanggungjawab yang besar serta mencabar kepada setiap ibu bapa, terutamanya dalam dunia hari ini yang serba canggih sedikit sebanyak telah mempengaruhi corak kehidupan masyarakat terutamanya golongan kanak-kanak. Maka dalam perkara ini, beberapa faktor penting perlu diberi perhatian oleh ibu bapa bagi memastikan anak-anak menjadi insan yang soleh dan terbaik serta mampu memberi manfaat kepada agama, bangsa dan negara.

Diantara perkara-perkara utama yang perlu diberi perhatian oleh ibu bapa dalam proses melahirkan zuriat yang soleh ialah :

Pertama : Sentiasa Berdoa Kepada Allah s.w.t.

Keinginan untuk memiliki zuriat yang soleh dan cemerlang hendaklah dengan cara berdoa kepada Allah s.w.t. kerana amalan ini merupakan amalan yang dilakukan oleh para nabi dan rasul. Firman Allah dalam surah Ali - Imran ayat: 38

Yang bermaksud : Wahai tuhan kami kurniakanlah kepadaku dari sisimu zuriat keturunan yang baik, seseungguhnya engkau sentiasa mendengar (menerima) doa permohonan.

Dalam ayat ini menjelaskan kepada kita para nabi dan rasul mengutamakan zuriat yang soleh dalam kehidupan mereka, walaupun zuriat itu belum dilahirkan lagi mereka berdoa kepada Allah s.w.t. agar dikurniakan zuriat keturunan yang baik. Ini memberi gambaran dan contoh kepada manusia untuk diamalkan. Di samping kita berdoa hendaklah kita memberi pelajaran yang sempurna dari segi fardhu Ain dan Fardhu Kifayah semoga mereka dapat membangunkan diri, masyarakat dan negara.

Kedua : Hendaklah Menanam Akidah Didalam Diri Anak-Anak

Akidah merupakan asas yang perlu diberi perhatian dan keutamaan, kerana akidah yang mantap sahaja mampu menjamin kebahagian dan kecemerlangan hidup manusia di dunia dan di akhirat. Selain itu, anak-anak yang mempunyai pegangan akidah yang mantap tidak akan mudah untuk menyeleweng atau diselewengkan. Lebih-lebih lagi dapat melahirkan insan yang sentiasa dapat menjaga iman mereka serta menjauhi perkara-perkara syirik yang boleh menyesatkan mereka.

Ketiga : Hendaklah Diberi Penekanan Terhadap Tuntutan Syariah Khususnya Dari Sudat Ibadah

Penekanan dari sudut ibadah yang sempurna melambangkan sifat kepatuhan dan ketaatan kepada Allah. Selain itu, sebagai tanda penyempurnaan jalinan hubungan dengan Allah s.w.t sepanjang masa dengan sentaisa menyerahkan segala jiwa dan raganya terhadap setiap suruhan dan meninggalkan segala larangannya pada setiap masa.

Selain itu, dengan melakukan ibadah kepada Allah dapat menyedarkan anak-anak tentang sifat-sifat manusia sebagai hamba disisi Allah s.w.t. Ini bersesuaian dengan firman Allah dalam surah al-Anam ayat 162 :

Yang bermaksud : “ Sesungguhnya solatku dan ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah tuhan yang memelihara dan mentadbir sekelian alam ”.

Keempat : Hendaklah Diberi Penekanan Dari Sudut Akhlak

Memiliki akhlak terpuji merupakan lambang kecemerlangan dan keindahan terhadap keperibadian seorang muslim sejati. Dengan memiliki akhlak yang terpuji menyebabkan seseorang itu dihormati dalam sesebuah masyarakat berbanding dengan orang yang memiliki akhlak yang tercela akan dibenci dan dikeji oleh masyarakat. Kerana itulah, junjungan besar nabi Muhammmad s.a.w. diutuskan untuk menyempurnakan akhlak manusia.

Selain itu, dengan memiliki akhlak yang mulia merupakan amalan yang paling berat dalam timbangan dihari akhirat berbanding dengan akhlak tercela yang akan melambatkan proses hisab dihadapan Allah s.w.t. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. :

مَا مِنْ شَىْءٍ أَثْقَلُ فِىْ مِيْزَانِ الْعَبْدِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ حُسْنِ الْخُلُقِ
( رواه أبو دأود والترمذي )
Maksudnya : “Tidak ada sesuatu yang lebih berat diatas neraca timbangan seseorang hamba di hari kiamat selain dari akhlak yang mulia ”.

Kelima : Memastikan Makanan Anak-Anak Dari Sumber Yang Halal

Setiap ibu bapa perlu memastikan setiap makanan yang diberikan kepada anak-anak merupakan makanan dari sumber yang halal serta menjauhi dari sumber-sumber yang subhah, apatah lagi dari sumber yang haram seperti rasuah, riba, penipuan dan sebagainya.

Kerana makanan yang bersumberkan dari rezeki yang halal bukan sahaja membawa keberkatan tetapi sebenarnya dapat melahirkan zuriat yang pintar dan sehat. Dan akhirnya mendorong seseorang kearah melakukan kebaikan di dunia dan mendapat rahmat Allah di akhirat. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 168 :

Yang bermaksud : “ Hai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu ”.

Marilah sama-sama kita memberikan pendidikan yang sempurna kepada anak-anak kita, demi melihat generasi yang terbaik dimasa hadapan. Korbanlah sedikit masa dan harta untuk mereka, berikan kasih sayang dan tunjukkanlah contoh yang terbaik kepada mereka serta mengambil tahu hal-hal yang berkaitan dengan kehidupan anak-anak seperti dengan siapa mereka berkawan, kemana mereka pergi, jam berapa mereka keluar rumah dan sebagainya. Ini semua membuktikan kita telah melaksanakan amanah Allah s.w.t. terhadap anak-anak dengan baik dan sempurna.

Kelima-lima perkara yang telah disebut tadi amat penting diberi perhatian untuk membina insan yang sempurna dan merupakan modal insan yang akan memainkan peranan untuk membangun ummah dan negara.

Maksudnya : “ Dan orang orang yang berkata: " wahai Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa”.

Dengan doa dan kesabaran mendidik, moga kita dapat melahirkan anak yang soleh yang menjadi impian dan harapan ummah. Anak merupakan permata yang tidak ternilai, maka hiasilah permata ini agar menjadi contoh dan tauladan sahsiah muslimin yang sejati.

2.10.09

Sujudku Pada-Mu Ya Rabbul Izzati

Ya Allah jangan kau ambil nafasku
Sebelum aku bersujud pada-Mu
Ya Allah panjangkan umurku
Agar dapatku beribadat pada-Mu

Ketika cinta bertasbih.. nadiku berdenyut merdu. Kembang kempis dadaku merangkai butir cinta. Garis tangan tergambar tak bisa aku menentang. Sujud syukur padamu atas segala cinta. Bisikkan doaku dalam butiran tasbih , walaupun aku sibuk dalam menguruskan urusan duniaku...jangan ditukar ganti dengan nilai yang amat berharga iaitu kasih sayang ibubapa dan kehadiran mereka dalam kehidupanku.

Fajar nanti tiba, aku akan mengucap syukur menjaga nyanyian atas nama-Mu. Penjahit boleh jadi kehabisan benang, tapi benang kerinduanku tidak akan habis untuk mengukap indahnya pesona dan zikir untuk-Mu. Bagaimana aku dapat memalingkan rasa rindu kepada-Mu, Ya Allah ampunkan aku, sesungguhnya terlalu banyak kesalahan dan dosa yang telah aku lakukan sehingga aku malu untuk berhadapan dengan-Mu. Engkau telah memberikan cinta kehidupan dunia kepadaku terlalu banyak sehingga kadang-kadang aku terlupa dari mana ia datang. Ya Allah... aku terlalu lemah dan alpa dalam setiap perbuatanku tetapi Engkau masih memberi nikmat dan kasih-Mu kepadaku.

Kening ini akan ku rapatkan di atas hamparan murni untuk bertemu dengan-Mu. Sujud dahi hamba mencecah ke bumi. Tanda syukur hamba akan kebesaran Ilahi. Ya Rabbul Izzati … Hamba-Mu juga mengharapkan pertemuan dengan-Mu mendapat keredhaan dan limpahan yang abadi. Diri hamba ini mohon hidayah dan petunjuk dari-Mu. Hamparan sejadah suci hamba buktikan padaMu. Sujud cinta hamba hanyalah untuk Tuhan yang berkuasa di atas segala sesuatu.
Ya Allah..Aku takut akan murkaMu

Ketika Cinta Bertasbih....luruhnya airmata taubat gentarnya janji azab seksa balasan dosa perbuatan hambaMu.Ketika Cinta Bertasbih....muhasabah dalam sujud terasa kerdil dihadapanMu, namun ku masih inginkan syurga firdaus-Mu. Ketika Cinta Bertasbih....buku amalan ku terima dari tangan kiri atau kanan, kelulusan atau kegagalan akan menjadi percaturan dan kegelisahan diri ini.

Ya Allah..Aku takut akan murkaMu

Ya Allah..aku takut...azabMu..aku tidak mampu dengan api neraka-Mu. Aku tidak mampu menanggung seksaan-Mu...Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang. Sesungguhnya Engkaulah sahaja yang dapat menolong hamba-Mu ini dari segala azab di akhirat. Terimalah taubatku dan segala amal kebajikanku.

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih dan lagi Maha Mengasihani.Segala pujian bagi Allah Tuhan pemerintah sekalian alam.

Ya Allah,ampunilah aku terhadap dosa yang terdahulu dan yang terkemudian, yang tersembunyi dan yang nyata, begitu juga dosa yang ku buat berlebih-lebihan, dan dosa yang mana Engkau amat mengetahui daripadaku.Engkaulah permulaan dan Engkaulah penyudahnya. Tidak ada Tuhan selain Engkau, wahai (Tuhan) yang membolak-balikkan sekalian hati, tetapkanlah hatiku atas (berpegang kepada) agama Engkau (Islam) dan atas menjunjung titah-Mu, Maha Suci Engkau.Sesungguhnya aku ini sebahagian daripada orang yang menzalimi diri. Ampunilah aku ya Allah, Tuhan Yang maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

1.10.09

SPM Dah Dekat..

Peperiksaan Percubaan SPM sudah pun diduduki dan diketahui keputusannya oleh pelajar tingkatan 5. Berbagai -bagai perasaan dan harapan telah dilalui semasa membuat persiapan untuk menghadapi peperiksaan tersebut. Kini giliran untuk menghadapi peperikasaan SPM sebenar yang akan menjelang tidak lama lagi. Oleh yang demikian, pelajar masih sempat untuk memperbaiki dan menambahbaikan dalam usaha menuju kejayaan ini. Kejayaan yang diperolehi tidak akan dikecapi tanpa sokongan dan dorongan ibu bapa tersayang, guru-guru yang berdedikasi dan teman-teman yang sentiasa memberikan semangat. Nilai sebuah kejayaan adalah sangat berharga kerana ia memberi makna kepada semua guru-guru yang telah mengajar dan orang yang sentiasa memberikan dorongan dan semangat kepada anda untuk belajar.

Jalan menuju kejayaan dan kebahagiaan itu tidak ditaburi dengan bunga mawar yang mewangi melainkan onak dan duri. Sebenarnya tiada resepi khusus untuk berjaya kecuali kerja keras. Ia juga bergantung kepada keinginan murid untuk berjaya. Harus diingatkan bahawa seseorang itu perlu mempunyai disiplin dan motivasi diri untuk berjaya. Sikap malas harus dikikis dari jiwa murid-murid. Jangan sesekali menyalahkan orang lain atas kegagalan kita sendiri dan jangan putus asa apabila kita gagal. Semua murid harus cuba dan cuba lagi kerana menurut pujangga barat William A Ward, “kegagalan yang terbesar ialah kegagalan untuk mencuba”. Oleh itu saya ingin menasihati semua murid, supaya sedar akan kepentingan pelajaran sebelum terlambat. Anda masih mempunyai masa untuk merubah nasib. Janganlah, anda mensia-siakannya begitu sahaja.

Sesungguhnya masa itu amat berharga. Usahlah di sia-siakan peluang yang ada dengan melakukan perkara-perkara yang merugikan anda. Jika bijak menguruskannya, semuanya akan berjalan dengan lancar. Ini akan membantu mengatasi pelbagai tekanan dalam menghadapi peperiksaan. Mengulang kaji pelajaran setiap hari dan secara berterusan adalah amalan yang cukup berkesan. Waktu di dalam kelas juga, anda harus menumpukan sepenuh perhatian pada apa yang diajar oleh guru. Usahlah leka atau bersikap sambil lewa kerana masa itu adalah emas. Guru-guru ibarat ibu bapa di sekolah. Guru juga ingin melihat anda berjaya. Usahlah malu meminta bantuan guru jika menghadapi masalah dalam sesuatu pelajaran. Bak kata pepatah malu bertanya, sesat jalan. Bertanyalah pada guru-guru atau rakan-rakan yang lebih mahir .

Zaman remaja penuh pergolakan dan cabaran. Namun, atas dasar kesedaran tentang peri pentingnya pelajaran itu dan demi kejayaan masa hadapan, anda harus bijak memilih antara kaca atau permata. Setiap langkah harus diatur agar tidak kecundang. Jika pada saat ini anda dalam dilema atau masalah, janganlah jadikannya sebagai satu hambatan untuk anda berjaya. Lontarkanlah segalanya ke tepi buat seketika. Lihatlah di hadapan , masa hadapan yang bagaimana yang inginkan dipilih. Tepuk dada tanya selera. Segala-galanya terletak di tangan para pelajar.Tanamkanlah kesedaran dalam jiwa bahawa kamu juga boleh berjaya. Saya percaya dengan usaha yang gigih, sikap yakin dan disiplin serta doa insya Allah semua pelajar SMTK akan memperolehi keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan SPM nanti. Insyaallah.

29.9.09

I love Islam

Kita sering menangis atau sedih bila kehilangan sesuatu yang sangat disukai atau dicintai. Itulah yang dikatakan hubungan sementara yang tidak kekal, bahkan kadangkala ia membawa kepada kemudharatan diri sendiri.
Firman Allah s.w.t yang bermaksud : "Ketahuilah, bahawa sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan sesuatu yang melalaikan... Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu." (Q.S. Al-Hadiid [57]:20)

Dunia adalah segala sesuatu yang membuat kita lalai kepada Allah s.w.t. Misalnya, solat atau sedekah jariah yang diberikan kepada seseorang, tetap dikatakan urusan dunia jika niatnya ingin dipuji oleh makhluk hingga hati lalai terhadap Allah.

Sebaliknya, orang yang sibuk siang malam mencari wang untuk keluarga dan membantu mereka yang memerlukan adalah lebih baik dari mereka yang inginkan sesuatu pujian atau berhajat kepada sesuatu kedudukan dalam masyarakat. Dengan kata lain, segala sesuatu yang membuat kita taat kepada Allah, maka hal itu bukanlah urusan dunia.

Bagaimana ciri orang yang cinta dunia? Jika seseorang mencintai sesuatu, maka dia akan diperbodohkan oleh apa yang dicintainya. Jika orang sudah cinta dunia, maka akan datang berbagai penyakit hati. Ada yang menjadi sombong, dengki atau berburuk sangka memikirkan sesuatu yang tiada. Semakin cinta pada dunia, maka bertambahlah sifat-sifat yang keji dilakukan. Bahkan, perbuatan keji ini adalah semata-mata untuk mendapatkan dunia yang diinginkannya. Fikirannya selalu memikirkan kepada dunia, siang malam mengejar dunia untuk kepentingan diri sendiri.

Ciri lainnya adalah takut kehilangan. Seperti orang yang duduk di kerusi sedangkan tempat duduk terlalu terhad, maka akan takut kerusinya diambil. Orang yang bersandar ke pangkat atau kedudukan, maka ia akan takut pangkat atau kedudukannya diambil. Oleh sebab itu, pencinta dunia itu tidak pernah merasa senagn atau bahagia.

Semua yang ada di langit dan di bumi adalah milik Allah s.w.t. Kita tidak mempunyai apa-apa. Hidup di dunia hanyalah sementara. Sejak lahir sebagai bayi, membesar (remaja), semakin tua, dan akhirnya mati. Kemudian terlahir manusia berikutnya, begitu seterusnya.
Bagi orang-orang yang telah sampai pada keyakinan bahawa semuanya hak milik Allah s.w.t, ia tidak akan menjadi sombong, irihati ataupun dengki. Sebaliknya, ia akan selalu bersiap sedia untuk diambil oleh Pemiliknya, kerana segala sesuatu dalam kehidupan dunia ini adalah sementara dan tidak ada ertinya. Yang hidup akan mati. Harta, pangkat, kedudukan dan populariti seseorang manusia tidak akan ada ertinya jika tidak digunakan di jalan Allah.

Kita harus yakin bahawa jika seseorang tidak pernah berusaha melepaskan dirinya dari kecintaan terhadap dunia, maka dia akan sengsara dalam hidupnya. Mengapa? Sumber segala fitnah dan kesalahan adalah ketika seseorang begitu mencintai dunia. Semoga Allah mengurniakan pada kita nikmat-Nya untuk kita hidup dalam suasana yang tidak dibelenggu oleh cintakan dunia.

Wallahu a'alam

26.9.09

Berjaga-jaga Dalam Empat Perkara

Telah Bersabda Nabi s.a.w : Yang bermaksud:"Ada empat perkara yang berharga dalam diri manusia dan dia boleh hilang dengan empat perkara juga. Adapun yang berharga itu ialah Akal, Agama, Malu dan Amal soleh. Maka...
1-Akal boleh hilang disebabkan marah.
2-Agama boleh hilang disebabkan dengki.
3-Malu boleh hilang disebabkan tamak.
4-Amal soleh boleh hilang dan terhapus disebabkan suka menceritakan keburukan orang lain.
Manusia akan menghadapi 4 penarikan:
1-Malaikat pencabut nyawa akan menarik rohnya.
2-Para ahli waris akan menarik hartanya.
3-Ulat akan menarik tubuhnya.
4-Orang yang dimusuhi @ dianiayai akan menarik barang kepunyaannya di hari kiamat iaitu AMALNYA.
Dari Ali r.a yang bermaksud:Sesungguhnya amalan yang paling sulit adalah empat macam:
1-Memberi maaf pada waktu marah.
2-Suka memberi pada waktu susah.
3-Menjauhi yang haram pada waktu sunyi.
4-Mengatakan yang hak kepada orang yang ditakuti atau kepada orang yang diharapkan sesuatu darinya.
Dari Hatim Al-Asom yang bermaksud:Empat perkara yang hanya diketahui oleh empat jenis orang akan nilainya iaitu:
1-Nilai masa muda hanya diketahui oleh orang tua-tua
2-Nilai kedamaian hanya diketahui oleh orang yang pernah di timpa bencana.
3-Nilai kesihatan hanya diketahui oleh orang-orang sakit.
4-Nilai kehidupan hanya diketahui oleh orang-orang yang telah mati.

25.9.09

Satu hari dalam seminggu

Sudah 6 Syawal, bermakna sudah enam hari Ramadhan berlalu. Pada subuh hari Jumaat, maka setiap muslim digalakkan mandi, kemudian memakai pakaian yang bersih. Pakailah minyak wangi yang diharuskan dan berhiaslah dengan memotong rambut, mencukur kumis, memotong kuku dan menggosok gigi. Sesudah itu pergilah ke masjid awal sedikit, jangan tertinggal khutbah yang disampai oleh khatib.

Sabda Rasulullah SAW: " Sesiapa yang masuk dahulu ke dalam masjid pada hari Jumaat untuk sembahyang Jumaat, maka seolah-olah dia sudah berkorban dengan seekor unta dan orang yang masuk pada waktu yang kedua berkorban dengan seekor lembu dan yang masuk pada waktu ketiga maka seolah-olah dia berkorban dengan seekor kambing dan siapa yang masuk ke masjid pada waktu keempat maka seolah-olah ia berkorban dengan seekor ayam, dan orang yang masuk waktu kelima maka seolah-olah dia berkorban dengan sebutir telur. Maka apabila naik imam ke atas mimbar ditutupnya buku catatan dan diletakanlah pena oleh malaikat dan mereka berkumpul dekat mimbar mendengar khutbah"

Sesungguhnya Jumaat ialah hari kebesaran Islam bagi setiap minggu. Jumaat adalah hari yang mulia dan diwajibkan ke atas orang-orang lelaki bagi mengerjakannya di masjid. Setiap muslim dikehendaki mempersiapkan diri untuk mengerjakan sembahyang Jumaat dan digalakan mulai dari hari Khamis dengan membersihkan pakaian dan memperbanyakkan tasbih serta memohon keampunan kepada Allah s.w.t pada malam Jumaat.

Bersegeralah mengerjakan sembahyang Jumaat dan tinggalkan segala aktiviti sementara. Sesudah mengerjakannya, beredarlah menyambung urusan yang ditinggalkan tadi. Semoga mendapat rahmat dari Allah s.w.t.

21.9.09

Mai Pakat Posa 6 pula.

Selepas beraya pada 1 Syawal, kita digalakan mengerjakan ibadah puasa enam. Sunat bagi setiap muslim untuk mengerjakan puasa 6 hari dalam bulan Syawal. Besar ganjarannya ibadah puasa enam ni.

Nabi Muhammad saw. bersabda : "Barangsiapa berpuasa Ramadhan kemudian diikuti dengan puasa 6 hari dalam bulan Syawal, maka orang itu seolah-olah berpuasa setahun penuh."

Bermula pada 2 Syawal hingga akhir Syawal masa yang dilakukan untuk ibadah sunat ini. Puasa 6 boleh dilakukan mulai 2 Syawal hingga 7 Syawal secara berterusan tapi boleh juga dilakukan pada mana-mana 6 hari dalam bulan tersebut. Bagi mereka yang baru mula berjinak-jinak dengannya, disunatkan memulakan puasa pada hari Isnin kerana Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wassalam dilahirkan pada hari Isnin.Sama-sama kita ambil peluang ini untuk berpuasa 6 hari di bulan Syawal.

Sebagaimana yang kita ketahui, setiap amalan sunat merupakan 'agen penampal' bagi mana-mana kekurangan dalam amalan fardhu kita.Rebutlah peluang selagi kita bernyawa, selain dapat pahala puasa setahun, kita juga dapat perbaiki kekurangan dalam ibadah puasa bulan Ramadhan. Walaupun madrasah Ramadhan pergi meninggalkan kita tanpa menjanjikan pertemuan semula, harapnya setiap latihan ibadah yang kita sepanjang Ramadhan seperti puasa, solat sunat, sedekah, tadarus al-Quran, qiamullail dapat diteruskan dalam bulan-bulan lain.

16.9.09

Pemuda Syurga


Saidina Ali k.w.h berkata (dipetik dari kitab Ihya Ulumiddin) : " Barang siapa mengumpulkan padanya enam perkara, nescaya ia akan mencari syurga dan lari dari neraka:


a. Ia mengenal Allah, lalu mentaati-Nya.
b. Ia mengenal syaitan, lalu menderhakainya.
c. Ia mengenal kebenaran, lalu mengikutinya.

d. Ia mengenal batil, lalu menjaga diri daripadanya.
e. Ia mengenal dunia, lalu menolaknya.

f. Ia mengenal akhirat, lalu mencarinya."

Andai kata kita hendak selamat dari tipuan dunia, kita masih ada masa untuk membetulkan kesilapan kita. Kejayaan kita yang sebenarnya bukan dinilai di dunia, tetapi di akhirat. Kalau kita berjaya mendapat keredhaan Allah s.w.t dan mendapat syurga di akhirat, itulah kejayaan yang sebenar.

Sisa umur yang masih ada ini, hendaklah kita gunakan bagi menyuluh diri dan menyelamatkannya. Semoga ilmu yang dipelajari dapat diamalkan dan menjadi penyuluh jalan agar kita tidak sesat dan melanggar apa yang diperintahkan oleh Allah s.w.t.

12.9.09

LAILATUL QADAR

Tanda-tanda Lailatul Qadar


Diterangkan dalam sebuah hadis, antara tanda-tandanya ialah :

  1. Udara pada malam itu amat nyaman, tidak panas dan tidak terlalu sejuk.

  2. Terbit matahari pada pagi esok harinya dalam keadaan putih bersih, bagaikan bulan purnama, sinarannya lembut dan terik terik.

  3. Tidak terasa kepanasan pada siang harinya, walaupun matahari sangat cerah dan terang benderang.

Hikmah disembunyikan Lailatul Qadar

  • Supaya kita berusaha untuk mendapatkannya.
  • Supaya kita berusaha meningkatkan ibadah pada sepuluh malam terakhir Ramadhan
  • Memperbanyakkan doa untuk memperolehinya.
  • Menghidupkan amalan seharian seperti membaca Al-Quran, berzikir dan sebagainya.

8.9.09

Kasih Seorang Suami

Menurut laporan “Chongqing Morning Post”, Wu Jiafang seorang suami berumur 45 tahun sangat beruntung kerana terselamat dalam gempa Shichuan pada 12 Mei 2008 tetapi isterinya meninggal dunia dalam kejadian tersebut.

Semasa berlakunya gempa bumi di Wenchuan, isterinya (Shi Huaqing) sedang bekerja.Dalam pencarian mangsa gempa di Wenchuan itu,Wu Jiafang menemui isterinya ( Shi Huaqing) di dalam runtuhan restoran tempat dia bekerja. Wu Jiafang menangis semalaman kerana kehilangan isterinya yang tersayang. Hari ke tiga Wu Jiafang menggunakan tali kain merah mengikat mayat isteri bersamanya. Di letakkan mayat itu di sepeda motor, dengan perlahan dia membonceng mayat isterinya ke rumahnya yang berjarak empat kilometer.

Wu Jiafang menguburkan isterinya bersebelahan rumah, dia kemudian membuat tanda di atas kubur tersebut. Semasa berkabung selama 100 hari , Wu Jiafang hanya makan sekali sehari.Dia tidak berselera dan menjadi kurus dan lesu. Bila ditanya kenapa jadi begitu, lalu dia menjawab :“Shi Huaqing tidak pernah tingglkan saya ketika saya sedang menderita. Ketika kami baru menikah, makanan di rumah juga jadi masalah. Dia tetap sabar dan berusaha masak untuk saya. Saya berhutang budi dengan dia terlalu banyak, saya berharap suatu hari nanti saya dapat memperbaiki kuburnya jadi lebih besar, agar dia selera ." Begitulah kisah cinta dan kasih seorang suami pada isteri sehingga menyebabkan si suami menderita dengan kematian isterinya yang tersayang.

Cinta antara manusia adalah palsu dan tidak boleh menyelamatkan seseorang. Cinta dan kasih kepada apa yang wujud di dunia ini, semuanya tidak kekal. Bagaimana kuat cinta dan kasih seseorang itu terhadap seseorang yang lain atau benda yang ada di dunia ini, itu semua tidak berpanjangan. Apabila mati manusia itu, apa yang dicintai akan ditinggalkan di dunia ini. Hanya kain kafan sahaja yang layak dibawa masuk ke dalam kubur. Selebihnya adalah amalan kepada Allah sahaja . Amal dan kebajikan yang dapat dijadikan bekalan untuk dihadapkan kepada Allah Yang Maha Esa.


12.3.09

Matlamat hidup..

Manusia perlu ada matlamat hidup. Ibarat kapal, perlu ada arah tujuan. Hidup tanpa matlamat ibarat kapal tanpa kemudi, dibawa angin ke mana-mana. Apatah lagi bagi seorang Islam yang menyakini ada kehidupan setelah mati. Dari matlamat hidup inilah akan mencorakkan kehidupan, cara berfikir dan bertindak.
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :" Di dalam diri anak Adam ada seketul daging, jika baik daging itu maka bailah manusia itu. Jika jahat, maka jahatlah dia. Ketahuilah itulah hati." (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Wahai sahabatku, rebutlah peluang hidup ini untuk amalan takwa kepada Allah s.w.t. Sesungguhnya mengerjakan ibadat itu mendatangkan kemanisan dalam hati, membuahkan akhlak yang baik dan menyelamatkan kita dari neraka Allah.