Showing posts with label renungan. Show all posts
Showing posts with label renungan. Show all posts

19.10.09

Aku mahu tinggalkan dunia dalam sujud ku

SUATU malam ketika aku sedang nyenyak tidur tiba-tiba aku melihat seolah-olah ayahanda menjelma di hadapanku. Perasaan kasih pada ayahanda tidak dapat ditahan-tahankan lagi, lalu aku berteriak: "Ayah... sudah lama tiada berita dari langit sejak ayahanda tiada!"Waktu itu aku terlalu rindu setelah beberapa hari ayahanda wafat. Ketika aku sedang memanggil-manggil ayahanda, muncul pula para malaikat bersaf-saf lantas menarik tanganku, membawa aku naik ke langit.Apabila aku mendongak temampaklah istana-istana indah yang dikelilingi taman-taman pawana serta anak-anak sungai mengalir saujana mata memandang.
Keindahan istana demi istana dan taman demi taman berjajaran di hadapan mata begitu mengasyikkan. Dari celahan pintu-pintu istana tersebut menjelmalah para bidadari seolah-olah patung bernyawa yang sangat jelita, sentiasa tersenyum dan bergelak ketawa. Bidadari itu berkata kepadaku: "Selamat datang wahai makhluk yang diciptakan syurga untuknya, dan kerana ayahanda kamu, kami diciptakan..."Malaikat itu terus membawa aku naik ke langit seterusnya sehingga memasuki sebuah tempat yang dipenuhi istana-istana yang lebih indah daripada sebelumnya. Cahayanya bergemerlapan.
Dalam setiap istana itu terdapat rumah-rumah berisi pelbagai perhiasan indah yang belum pernah dilihat mata, tidak terdengar di telinga dan tidak pernah tersirat di hati. Penghuni istana-istana ini sentiasa bergembira, bergelak ketawa dan ceria. Di istana itu terdapat pelbagai kain sutera nipis dan tebal. Juga terdapat selimut-selimut daripada sutera dengan pelbagai warna dan corak.Di atas rak-rak kelihatan pelbagai jenis gelas diperbuat daripada emas dan perak yang sungguh menawan.
Pelbagai jenis hidangan makanan, buah-buahan serta air minuman yang lazat dan enak tersedia untuk dimakan. Pemandangan di taman-taman pula sungguh memukau dengan aliran sungai yang warnanya lebih putih daripada susu, rasanya lebih manis daripada madu dan baunya lebih semerbak daripada kesturi.Aku yang kehairanan dan takjub lantas bertanya: "Untuk siapakah tempat-tempat indah sebegini dicipta? Apa nama sungai-sungai yang harum mewangi ini?"Malaikat-malaikat itu menjawab:"Tempat ini adalah Firdaus, tempat paling tinggi dan tiada lagi syurga di atasnya. Syurga Firdaus ini khas untuk singgahsana ayahandamu, semua rasul, nabi, para syuhada dan syiddiqun yang dicintai Allah. Sungai ini bernama al-Kautsar yang telah Allah janjikan kepada ayahandamu."Aku bertanya lagi: "Di mana ayahandaku?"Malaikat-malaikat menjawab: "Sebentar lagi ayahandamu akan datang menjemputmu!"Tidak lama kemudian aku ternampak istana-istana yang sangat putih dan permaidani yang tersangat indah.
Tiba-tiba aku sudah berada di atas permaidani yang terbentang di atas singgahsana. Aku ternampak ayahandaku sedang berehat di atas singgahsana tersebut dikelilingi sekelompok orang yang tidak dikenali. Ayahanda menarik tanganku dan mencium dahiku berkali-kali.Ayahanda berkata: "Selamat datang wahai puteriku!"Lalu ayahanda meletakkan aku di atas pangkuannya dan berkata lagi:"Wahai puteriku, tidakkah engkau lihat apa yang telah dijanjikan Allah kepadamu dan yang akan engkau perolehi?"Ayahanda menunjukkan istana-istana yang disaluti bermacam-macam hiasan yang indah menawan serta berkilau-kilauan, saujana mata memandang. Ayahanda berkata: "Inilah tempat tinggalmu, kediaman suamimu, kedua-dua anakmu serta orang-orang yang mencintaimu dan mencintai mereka. Bergembiralah... engkau akan mengikut ayahanda datang ke sini beberapa hari lagi..."Aku berkata: "Kalau begitu senanglah hatiku dan bertambah rindu pada ayahanda."Selepas berjumpa beberapa ketika dengan ayahanda, aku terjaga. Tubuhku menggigil dan terasa takut yang amat sangat. Aku masih teringat-ingat bisikan ayahanda. Aku akan mengikut langkah ayahanda beberapa hari lagi. Aku masih ingat ayahanda berkata perkara yang sama sebelum wafat. Ayahanda pernah membisikkan bahawa akulah orang pertama yang menyahut panggilan Ilahi selepasnya.
Sejak hari ayahanda wafat lagi aku selalu menangis dan bersedih. Perasaan sedih makin terasa selepas bermimpi bertemu ayahanda. Aku tahu tidak lamalagi aku akan meninggalkan dunia fana ini untuk bersama ayahanda tercinta di akhirat yang kekal, aman dan sentosa.Aku menceritakan mimpi tersebut pada suamiku dan juga pembantuku Asma binti Umays. Aku beritahu saat ajal hampir tiba. Asma menunjukkan pelepah kurma basah untuk membuat usungan seperti yang dilihat dibuat di Habshah.Aku tersenyum apabila melihat keranda itu. Aku berwasiat supaya jenazahku nanti dikebumikan pada malam hari agar tiada seorang pun yang marah apabila melihat jenazahku. Aku juga meminta suamiku supaya menikahi Umamah, saudara perempuanku. Umamah menyayangi anakku seperti aku menyayangi mereka.Setelah merasa saat ajal hampir tiba aku membawa dua orang anakku menziarah makam ayahanda. Tubuhku terasa sangat lemah untuk memijak. Tapi aku gagahi juga untuk bersembahyang dua rakaat antara mimbar dan makam ayahanda.Tidak lama lagi jasadku akan berpisah dengan roh. Aku akan meninggalkan dua puteraku. Lalu aku peluk dan cium kedua-duanya bertubi-tubi. Sayang, ibumu terpaksa pergi dulu...Selamat tinggal sayangku, puteraku dan suami tercinta. Biarlah aku menghadap Ilahi tanpa tangisan sesiapa. Aku tidak sanggup melihat tangisan puteraku dan suamiku. Biarlah mereka berada di sisi makam ayahanda dan suamiku bersembahyang. Kalau boleh aku mahu tinggalkan dunia ini dalam bersujud pada Ilahi.
Aku terus meninggalkan dua puteraku dan membiarkan suamiku bersembahyang di masjid. Aku mengambil ramuan hanuth, sejenis pengawet mayat yang ayahandaku biasa gunakan. Aku siramkan air ramuan itu ke seluruh tubuhku. Kemudian aku memakai kain sisa kapan ayahandaku. Selepas itu sekali lagi aku memanggil Asma binti Umays yang sentiasa mengurus dan merawatku.Pada Asma aku berpesan, "Wahai Asma, perhatikanlah aku. Sekarang aku hendak masuk ke rumah membaringkan tubuhku sekejap. Jika aku tidak keluar, panggillah aku tiga kali dan aku akan menjawab panggilanmu. Tetapi jika aku tidak menjawab, ketahuilah aku telah mengikut jejak langkah ayahandaku!"Setelah sejam berlalu, Asma memanggil-manggil nama wanita itu tetapi tiada sebarang jawapan. Ketika penjaga itu masuk, dia terkejut apabila melihat wanita kurus cengkung itu meninggal dunia dalam sujudnya. Inna lillahi wa inna ilaihi rajiun...
***********
Aku dalam cerita di atas ialah Fatimah az-Zahra, anak Rasulullah dengan isteri pertamanya Siti Khadijah. Fatimah meninggal dunia dalam usia 28 tahun setelah 40 hari Rasulullah s.a.w. wafat dan jenazahnya dimakamkan di perkuburan Baqi' di Madinah. Masih adakah wanita solehah seperti Fatimah di zaman moden ini?

Sumber: Mastika, Mei 2006

14.10.09

Dibenci tanpa sebab

Maaf seandainya apa yang saya perkatakan nanti tidak membantu..hanya sekadar muzakarah dan muhasabah diri antara kita.....Jangan bertanya bagaimana rasanya sakit hati. Jangan pula bertanya siapa yang membuat hati terasa pedih, sedih dan pilu. Sulit diungkapkan,tapi sangat jelas menyayat dada bahagian dalam. Sakit hati adalah sakit dari segala sakit. Mungkin kita semua pernah mengalaminya.

Kenapa orang suka menyakiti hati rakan mereka tanpa sebab... adakah pertanyaan dan soalan yang amat pedih untuk didengari atau perkataan kesat yang dilemparkan menyebabkan kita membenci orang...Saya tidak layak untuk meletakkan hukum pada mereka yang suka menyakiti hati rakan tetapi percayalah Islam tidak pernah membenarkan perkara ini berlaku. Saya amat sedih dengan sikap dan perbuatan orang seperti ini kerana mereka tidak pernah rasa bersalah dan menyesal menyakiti hati orang lain. Tahukah mereka bagaimana sakitnya perasaan orang yang mereka sakiti?

“ Ya Allah, sebelum ini aku suka bercakap perkara yang menyakitkan hati kawan, sekarang aku sudah meninggalkan kata-kata yang tidak baik itu keranaMu, Ya Allah!Ya Allah, aku lakukan ini semua kerana mengharapkan belas kasihan dan redaMu.Ya Allah, ampunkanlah dosa-dosaku selama ini. Lembutkanlah hati kawan-kawanku agar mereka dapat menerimaku.Wahai Tuhan yang memiliki hati-hati manusia dan berkuasa membolak-balikkan hati-hati manusia, tetapkanlah hatiku dan kawan-kawanku di atas agamaMu dan mentaatiMu.Wahai Tuhan yang Maha Mendengar rayuan hamba-hambaNya, Engkaulah yang Maha Memahami diriku dan usaha-usahaku selama ini untuk memperbaiki diri.Sekiranya perkara yang menyakiti hati dari kawan-kawanku itu boleh mengkaffarah dosa-dosaku, maka aku reda Ya Allah dengan apa jua ketentuanMu.Ya Allah, adakah Engkau redha dengan apa yang kulakukan? Sekiranya Engkau memandangku dengan redha dan penuh kasih sayang serta sudi mengampunkan dosa-dosaku yang lalu, maka cukuplah Engkau bagiku.Ya Allah, sekiranya Engkau tidak murka atasku atas perbuatan mereka yang menyakitiku, maka aku tidak peduli lagi apa sahaja tindakan mereka.Ya Allah, cukuplah Engkau sebagai sebaik-baik temanku.”

Dalam hal pergaulan dengan kawan-kawan, Islam telah menggariskan adab berkomunikasi dan berinteraksi yang cukup sempurna sesama manusia. Setiap tutur kata yang diluahkan biarlah ia mencerminkan akhlak kita sebagai seorang Islam. Kenapa perlu kita bercakap menyendir dan memperlekeh orang lain, bukankah itu akan menyebabkan saudara kita tersinggung dan berkecil hati.

Berusahalah menjadi insan yang baik, sopan, bijak, berbudi pekerti dan boleh dipercayai. Berkomunikasi secara efektif adalah sangat penting. Ungkapkan sesuatu yang benar, meskipun ianya pahit untuk didengari atau diterima orang lain, tetapi biarlah ungkapan itu manis, lembut dan berhikmah. Hal itu sangat membantu orang lain mengerti dan berusaha untuk tidak melakukan tindakan yang mungkin boleh menyakiti hati orang lain.

Hal paling utama yang harus kita lakukan adalah belajar memaafkan kesalahan orang lain kerana memaafkan adalah hal paling baik dalam sebuah hubungan.

Lihatlah firman Allah tentang HATI ...

Firman Allah yang bermaksud: "Beruntunglah orang yang membersihkan hatinya dan rugilah siapa yang mengotorinya. " (Asy - Syams: 9)

"Sesungguhnya beruntunglah orang yang membersih diri (dengan beriman ). Dan dia ingat nama tuhannya lalu dia sembahyang." (Al - A'la: 14 - 15)

"Pada hari itu, tidak berguna lagi harta anak-anak. Kecuali mereka yang pergi menghadap Allah membawa hati yang selamat." (Asy - Syuara: 88-89)

Pada saudara-saudara ku yang mengalami nasib ini, bersabarlah dengan ujian dan dugaan ini dengan hati yang terbuka. " Sesungguhnya Allah berserta dengan orang-orang yang bersabar" (surah Al-Baqarah :153 )

wallahu'alam.....

14.9.09

WANITA SALIHAH

Bercakap tentang kaum wanita memang merupakan soal yang terlalu menarik. Kaum wanita adalah makluk Allah yang memiliki keistimewaan dan kelemahan tersendiri. Selain ada kelemahan yang agak ketara, mereka juga mempunyai kelebihan yang sukar ditandingi oleh kaum lelaki.


Di dalam Islam ada beberapa unsur yang mesti ada pada wanita ideal. Apabila seorang wanita memenuhi unsur-unsur ini maka beruntunglah wanita itu di dunia dan di akhirat, kerana itu beruntunglah sesiapa pun lelaki yang mempersuntingnya serta anak-anak yang lahir dari rahimnya.

  • Wanita yang kuat agamanya.
    Firman Allah s.w.t yang bermaksud :" Dan katalah (wahai Muhammad) kepada wanita-wanita yang beriman : "Dan janganlah mereka (kaum wanita) menunjukkan perhiasan kecuali yang (biasa) nampak daripadanya." (Surah al_Nur : 31)
  • Wanita Yang Mulia Akhlaknya. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud : " Harta yang paling baik lidah yang bersyukur, hati yang bersyukur, dan isteri yang salih, kerana dia dapat membantu seseorang untuk (menguatkan) keimanan." (Riwayat Tirmizi)

Wahai kaum wanita, belajarlah dari Khadijah binti Khuwailid yang mulia ini. Seorang janda yang kaya raya. Khadijah rela membantu suaminya sekalipun harus mengorbankan seluruh yang dimilikinya. Khadijah memang patut menjadi contoh sepanjang masa buat kaum wanita, kerana beliau bukan hanya memberi bantuan material tetapi lebih dari itu. Beliau mampu memberi ketenteraman kepada suaminya ketika suaminya dalam ketakutan dan kegelisahan sehingga kehilangannya (meninggal dunia) benar-benar menyebabkan Rasulullah s.a.w berasa sangat sedih dan terasa kehilangan isteri yang sangat setia dalam menghadapi cabaran dan dugaan menyebarkan ajaran Islam.

Wahai kaum wanita, anda boleh lihat kepada Asiyah binti Muzahim (isteri Fir'aun). Walaupun beliau hidup sebumbung dan sekatil dengan lelaki yang zalim, namun beliau tetap menjaga kehormatan diri dan keimanan yang teguh. Walaupun beliau hidup dikelilingi kemewahan, tetapi hidupnya tidak terpengaruh dengan kemewahan tersebut.

Wahai kaum wanita, cubalah anda perhatikan apa yang sudah dialami Maryam binti Imran (ibu Nabi Isa a.s).Tentu anda akan melihat ketabahan seorang wanita menghadapi cemuhan dunia sekeliling. Bukan main-main tuduhan serta fitnah yang dilontarkan kepada Maryam, namun semuanya dapat dilalui dengan tabah dan sabar.

Wahai kaum wanita, contohi Aisyah binti Abu Bakar. Beliau seorang wanita yang mengutamakan kasih sayang kepada keluarga. Disamping itu, beliau amat cerdik serta luas pengetahuan agamanya. Seorang isteri yang sangat disayangi dan dicintai oleh suaminya.


Wahai kaum wanita, berjaga-jaga dengan peringatan dari Rasul ini. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :" Wahai kaum wanita, banyak-banyaklah memberi sedekah kerana aku melihat kaum wanitalah yang paling ramai di neraka. "Lalu seorang wanita bertanya : "Mengapa begitu, ya Rasulullah ?" Rasulullah menjawab : " Kerana kaum wanita suka mengata-ngatai orang lain di belakangnya, dan menderhakai suaminya." (Riwayat Bukhari &Muslim)

13.9.09

TUJUAN HIDUP


Tujuan manusia dicipta untuk mengabdi kepada Allah. Rasa cinta yang terpecik di dalam hati manusia, baik di permulaan ataupun selama perjalanan rohani seseorang, bertujuan meniadakan keterikatan kepada sesuatu selain dari Allah s.w.t.

Rasa cinta Allah, sebenarnya bukanlah merupakan tujuan yang hendak dicapai, tetapi hanyalah sebagai cara mewujudkan kehambaan. Seseorang akan mampu menjadi hamba Allah yang sejati, apabila yang bersangkutan telah mampu membebaskan diri dari kecintaan dan keterikannya pada kesenangan dunia. Cinta itu tidak hanyalah cara untuk penyerahan yang khusus hanya kepada Allah s.w.t dengan cinta sebenar-benarnya, maka akan melahirkan sifat-sifat utama dan benci kepada hal-hal yang dibenci oleh Allah.

Menurut Imam Al-Ghazali : " Ketahuilah bahawa tajalli (memperoleh kenyataan) keagungan Allah membawa manusia kepada khauf (takut kepada Allah), tajalli kecantikan dan keindahan Allah yang membawa manusia kepada rindu, tajalli sifat Allah membawa manusia kepada cinta, tajalli zat Allah membawa manusia kepada tauhid."

Sesungguhnya, barangsiapa cinta kepada Allah s.w.t, dia hidup tetapi barangsiapa cinta kepada selain Allah s..w.t , dia mati.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :" Apabila Allah mencintai hamba-Nya, maka Ia berikan padanya percubaan-percubaan. Apabila ia dapat memikul percubaan itu dengan penuh kesabaran, maka dianugerahi-Nya dan apabila ia menghadapi percubaan itu dengan gembira, maka Allah akan memilihnya sebagai pilihan-Nya."

12.9.09

Pejuangan Yang Belum Selesai


Islam menjadi bahan perbincangan yang hangat pada masa kini. Michael Jackon dikatakan memeluk Islam sebelum kematiannya yang masih dalam siasatan. Begitu juga gambaran orang bukan Islam tentang agama Islam berbeza-beza mengikut tempat dan keadaan, misalnya Amerika Syarikat, Islam dianggap sebagai agama 'terrorism'. Manakala di Eropah, mereka amat kagum dengan semangat dan keberanian yang ada pada pejuang-pejuang Islam seperti Afghanistan dan Iraq.

Siapa yang perlu disalahkan sekiranya Islam lebih banyak mendapat gambaran buruk di kalangan orang bukan Islam?Inilah peranan kita yang beragama Islam untuk menyebar dan memperjuangkan kehebatan agama Islam yang sebenar. Setiap orang Islam perlu ingat dan berpegang teguh dengan Islam kerana agama inilah sahaja yang diredhai oleh Allah s.w.t, firman Allah yang bermaksud :" Sesungguhnya agama (yang diredhai) di sisi Allah hanyalah Islam." ( Surah Al-Imran : 19)

Pejuangan kita belum selesai selagi syariat Islam tidak laksanakan dengan sepenuhnya di negara yang tercinta ini. Syariat Islam amat penting kerana Allah turunkan peraturan-peraturan kehidupan di mukabumi ini untuk mengadili dan mengatur masyarakat manusia serta mengajar mereka cara-cara hidup beragama dalam soal keduniaan dan alam akhirat.

Jadi sekarang jelaslah kepada kita bahawa pejuangan ini belum selesai kerana satu sistem kehidupan yang menyeluruh belum dilaksanakan. Di dalam usaha-usaha yang dilakukan, kita juga haruslah sentiasa tidak lupa untuk berdoa kepada Allah dan menaruh segala harapan atas apa yang kita usahakan itu kepada Allah s.w.t.

11.9.09

Semarakkan Ibadah Pada 10 Akhir Ramadhan

Diriwayatkan daripada A'isyah r.a yang bermaksud : " Adalah Rasulullah apabila tiba sepuluh terakhir (Ramadhan), Baginda akan menghidupkan malamnya dan mengejutkan isteri-isterinya dan mengikat tali pinggangnya (tidak bersama isteri)." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

10 Akhir Ramadhan digalakkan umat Islam memperbanyakkan ibadah seperti:
  • Menghidupkan malam-malam tersebut dengan ibadah.
  • Mandi antara magrib dan isyak serta menghiaskan diri dengan pakaian yang indah dan wangi-wangian, terutama pada malam-malam ganjil.
  • Berusaha bersungguh-sungguh agar dikurniakan Lailatul Qadar. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya : Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya : " Sesiapa yang mendirikan sembahyang pada malam Lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah, maka akan diampunkan dosa yang dilakukannya sebelum itu."
  • Melakukan iktikaf di masjid. Diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a katanya : " Biasanya Nabi s.a.w beriktikaf pada sepuluh hari terakhir dalam bulan Ramadhan."
  • Membayar zakat fitrah, zakat harta dan zakat pendapatan.
  • Memperbanyakkan sedekah.

Janganlah lepas peluang ini kerana Ramadhan hanya datang setahun sekali. Belum tentu Ramadhan akan datang kita dapat bersua dengannya lagi. Ambillah sedikit masa untuk kita beribadat dan mendekatkan diri dengan Allah pada malam akhir Ramadhan ini.

10.9.09

Apa Yang Kita Makan?


Di zaman yang serba moden ini, banyak bahan makanan yang diproses mengandungi berbagai jenis bahan-bahan kimia yang mana kebanyakkannya tidak selamat untuk dimakan. Kesan sesetengah dari bahan-bahan ini terhadap manusia masih belum dikaji dengan mendalam untuk memastikan bahawa ianya tidak mendatangkan mudharat. Oleh itu seelok-eloknya kita berhati-hati dalam memilih hanya bahan makanan yang berkhasiat dan selamat untuk diri kita dan keluarga.

Perkara ini perlu diambil perhatian terutama dalam menyediakan beraneka jenis kuih pada Hari Raya Aidil Fitri nanti. Selama sebulan berpuasa kita di didik memelihara kesihatan, kenapa tidak diteruskan amalan baik itu dalam kehidupan seharian. Makanan yang baik adalah merupakan jaminan bagi kita melahirkan insan yang sihat dan kuat. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :" Pemuda yang kuat adalah lebih baik daripada pemuda yang lemah. "

Firman Allah s.w.t yang bermaksud : " Hai orang yang beriman, makanlah di antara kamu rezeki yang baik-baik yang Kami berikan kepada kamu..."

Oleh itu, berhati-hatilah dalam menjamu selera dan penggunaan bahan dalam masakan. Agar kita sentiasa memberi perhatian dalam makanan dan minuman seharian agar kita dapat melahirkan insan yang sihat dan bertaqwa.

5.9.09

Fadhilat Ramadhan


Daripada Abu Hurairah daripada Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuninya segala dosanya yang lalu. - Diriwayat oleh Imam Nasai'e, Ibn Majah, Ibn Ibn Habban dan Baihaqi.


Diriwayatkan daripada Sahl bin Saad r.a katanya : Rasulullah s.a.w bersabda :

"Sesungguhnya di dalam Syurga itu terdapat pintu yang dinamakan Ar-Rayyan. Orang yang berpuasa akan masuk melalui pintu tersebut pada Hari Kiamat kelak. Tidak boleh masuk bersama mereka seorangpun selain mereka. Kelak akan ada pengumuman : Di manakah orang yang berpuasa? Mereka lalu berduyun-duyun masuk melalui pintu tersebut.Setelah orang terakhir dari mereka telah masuk, pintu tadi akan ditutup kembali.Tiada lagi orang lain yang akan memasukinya." (H.R Bukhari & Muslim).


Diriwayatkan daripada Abu Said al-Khudri r.a katanya : Rasulullah s.a.w bersabda :

"Setiap hamba yang berpuasa di jalan Allah, Allah akan menjauhkannya dari api Neraka sejauh perjalanan tujuh puluh tahun. (H.R Bukhari & Muslim).

4.9.09

Cerita Orang Lama Tentang Makan

Berikut adalah beberapa pantang larang yang berkaitan dengan makan:

1. Makan mencangkung payah dapat rezeki.
2. Makan dalam belanga dapat anak rupa hodoh.
3. Makan beras mentah dapat penyakit kuning.
4. Makan telur tembelang dapat penyakit barah.
5. Makan kepala ayam nanti mengantuk semasa bersanding.
6. Makan sisa anak nanti anak menjadi degil.
7. Makan dalam pinggan sumbing dapat anak bibir sumbing.
8. Makan tak basuh pinggan nanti lambat dapat menantu.
9. Makan pisang kembar nanti dapat anak kembar.
10. Makan piggan bertindih nanti beristeri dua.
11. Makan sambil berjalan akan dapat penyakit perut.
12. Makan buah berangan songsang, nanti lambat dapat jodoh.
13. Makan nasi di senduk nanti payah dapat rezeki.
14. Tidur selepas makan nanti perut jadi buncit.

Pantang larang ini diadakan bukan sahaja sebagai pengajaran tetapi bertujuan untuk menjaga tatasusila supaya kita tidak melakukan perkara yang kurang sopan. Orang Melayu memang terkenal dengan sopan santun mereka sejak zaman dahulu lagi.Maka itu diadakan beberapa pantang larang supaya ia dapat dikekalkan hingga ke generasi yang akan datang. Ini hanya petua Orang Melayu lama, bagi kita yang beragama Islam janganlah kita mempercayai benda-benda karut atau tidak masuk akal ini yang boleh menjerumus kita pada syirik. Na'uzubillah

" Sesungguhnya ibu bapa kamilah yang melakukan syirik dahulu sedang kami ialah keturunan (mereka) yang datang kemudian daripada mereka. Oleh itu patutkan Engkau (wahai Tuhan kami) hendak membinasakan kami disebabkan perbuatan orang-orang yang sesat itu?" Dan demikianlah Kami menjelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu (supaya nyata segala kebenaran) dan supaya mereka kembali (kepada kebenaran). (Surah Al-A'raaf : 173-174)

2.9.09

AKU CINTA PADAMU

السلام عليكم و رحمة الله

Cinta adalah tautan hati yang berlaku walaupun tidak pernah memerlukan untuk berjumpa. Hati sedih kalau orang yang dicintai ditimpa kesusahan. Merasa senang kalau orang yang dicintai itu berada dalam kesenangan. Sanggup berkorban dan menyusahkan diri sendiri untuk menyenangkan orang yang dicintai.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: " Tidak dapat di antara kamu dikatakan beriman, apabila belum mencintai Allah dan Rasul-Nya lebih daripada mencintai barang-barang lain." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam suatu hadis diriwayat bahawa ada seorang lelaki datang menghadap kepada Rasulullah s.a.w ia berkata : " Aku cinta kepada mu, ya Rasulullah !"

"Bersedia-sedialah untuk menghadapi kemiskinan," jawab Rasulullah. Kemudian seorang yang lain berkata pula : "Akupun mencintai Allah." Rasulullah berkata : " Bersedia-sedialah untuk menghadapi kesengsaraan." (Riwayat Tarmizi)

Saidina Umar meriwayatkan bahawa , pada suatu hari Rasulullah s.a.w melihat Mus'ab (anak Umar) datang menghadap Rasulullah sambil membawa kulit kambing yang diikat pada pinggangnya. Rasulullah berkata kepada para sahabat yang ada di sekelilingnya : "Lihatlah, betapa Allah menghiasi hatinya. Aku telah melihat ia hidup dalam kemudahan dan dipelihara baik-baik oleh orang tuanya. Akan tetapi kini dengan cintanya pada Allah dan Rasul-Nya ia telah dihiasi dengan suatu kebaikan baginya."


Ya Rasulullah
Kehadiranmu membawa rahmat pada manusia
Keperitan terpaksa kau tempuhi
Untuk membimbing manusia dalam kegelapan

Ya Rasulullah,
sungguh mulia engkau
Engkau adalah cahaya daripada segala cahaya
Engkau adalah rahsia daripada segala rahsia
Engkau adalah penawar segala penyakit lahir dan batin
Engkau juga anak kunci segala kemudahan

Allahummasalliala Saiyidina Muhammad

Ya Rasulullah,
Engkau adalah Rasul pilihan
Pilihan Rasul yang awal dan akhir
Engkau adalah penyelamat umat
Engkau membawa rahmat dan berkat

Ya Rasulullah,
Akhlakmu membayangkan kebersihan hatimu
Pemurahmu membayangkan dunia tidak ada di dalam hatimu
Sabarmu membayangkan ketahanan jiwamu
Keberanianmu membayangkan tawakalmu dengan Allah
Orang yang menentangmu engkau doakan hidayah

Ya Rasulullah
Engkaulah umpama bintang menyinari hidupku
Engkaulah umpama bulan yang menerangi hidup ini
Akan ku pejuangkan sunnahmu
Akan ku selami dan amal ajaranmu
Moga taufik dan hidayahku perolehi dari Illahi

Allahummasalliala Saiyidina Muhamad

1.9.09

KALIMAH AKHIRAT

السلام عليكم و رحمة الله



Alhamdullilah dengan Allah swt kita dapat berpuasa dan mengerjakan amal ibadat di dalam bulan yang mulia ini. Dengan izin-Nya jua kita dapat bersua kembali diruang blog ini, semoga Allah swt memberkati segala usaha ini sebagai amal soleh.

Sahabat dan sahibah yang dimuliakan

Sebenarnya musuh sentiasa merancang untuk mengambil alih kekuasaan dan mengubah ketetapan Allah swt dalam berbagai bentuk. Seorang lelaki bertanya kepada Hassan Basri " Wahai Abu Said : Adakah syaitan itu tidur ? "sambil tersenyum beliau menjawab : " Kalau syaitan itu tidur nescaya kita semua boleh berehat."

Dari perancangan musuh yang sulit ini, mari pula kita melihat musuh di alam nyata, yang terdiri daripada Yahudi, penjajah, mubaligh Kristian, fahaman sekular dan sebagainya, yang sentiasa bekerja untuk memusnahkan masyarakat Islam.

Apabila Karl Mark disoal: Apakah pilihan bagi menjauhkan masyarakat daripada aqidah Uluhiyah (ketuhanan)?

"Pilihannya ialah sibukkan mereka dengan hiburan dan pementasan daripada mendekati aqidah Uluhiyah."

Di dalam protokol Zionos (Yahudi) pula:

Kita hendaklah bekerja untuk merosakkan akhlak segenap tempat supaya menyenangkan perluasan kita. Jika kita Freud bersama-sama kita dan terus mengalakkan perlakuan hubungan jenis secara bebas di bawah sinaran matahari sehingga mereka menganggapnya satu perkara lumrah atau biasa. Di tahap ini, akhlak mereka runtuh, hidup mereka berubah, semata-mata untuk memenuhi kehendak hawa nafsu.

Duhai hati, dalam keadaan yang gawat ini, apakah masih ada ruang untuk menagih kebebasan kehidupan dunia yang tiada ternilainya. Apakah pasir di pantai masih disangka permata, keadilan disangka kekejaman, ketegasan disangka kekerasan dan kesungguhan langsung tidak diingini.

Adakah hati masih kepada kemewahan, kecantikan, kepandaian (bermuslihat), kerehatan dan lupa segala tugas terhadap Allah swt.

31.8.09

Ke-Agungan Allah

السلام عليكم و رحمة الله


Saya ingin menampilkan penemuan-penemuan kalimah Allah yang menunjukkan betapa Agungnya Allah SWT melalui kejadian-kejadian pelik dan ajaib tetapi benar belaka (yang dizahirkan oleh-Nya). Tiada yang benar, melainkan semuanya benar belaka.




Pemandangan Masjidil Haram, Makkah di Arab Saudi kelihatan bercahaya diambil dari satelit di angkasa raya. Cahaya masjid suci ini amat menakjubkan dan menunjukkan kehebatan Allah Rabul Jalil.



" Tidakkah kamu ketahui, bahawasanya Allah memiliki seluruh kerajaan langit dan bumi. Dia yang menyeksa sesiapa yang Dia kehendaki dan mengampuni sesiapa yang Dia kehendaki. Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu." (Suran Al-Ma'idah : 40)

30.8.09

MERDEKA! MERDEKA!


Kemerdekaan yang sebenar menurut Islam terkandung di dalam kata-kata Rub'ie bin A'mir ketika bertemu panglima tentera rom yang bernama Rustum:


الله ابتعثنا لنخرج من شاء من عبادة العباد إلى عبادة الله, ومن جور الأديان إلى عدل الإسلام ومن ضيق الدنيا إلى سعة الدنيا والآخرة:


Maksudnya: Allah mengutuskan kami (orang-orang Islam), untuk kami merdekakan manusia, daripada mengabdikan diri sesama manusia kepada mengabdikan diri kepada Allah, daripada kezaliman agama kepada keadilan Islam dan daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat.Rub'ie bin Amir menyimpulkan kefahaman Islam yang diperolehinya daripada pentarbiyahan Nabi SAW bahawa penjajahan bukan sahaja boleh berlaku melalui penguasaan bangsa asing terhadap sesuatu kaum, tetapi ia juga boleh berlaku melalui penguasaan bangsa sendiri.


Jika kemerdekaan bererti kebebasan daripada penguasaan bangsa asing, kenapa Rasulullah saw berjuang membebaskan diri dan manusia daripada kekuasaan musyrikin Makkah yang sebangsa dan seketurunan dengan nabi?


Ini bermakna: kemerdekaan yang sebenar ialah:


Memerdekakan manusia daripada perhambaan sesama manusia sama ada:
Bebas bersuara, pemilikan, bertindak, bermuamalah dan seumpamanya.
Kebebasan tadi mestilah dibatasi oleh hukum Allah swt bagi memastikan tiada ruang untuk penjajahan melalui sistem dan undang-undang ciptaan manusia.


Memerdekakan manusia daripada ikatan agama yang direka oleh manusia samada:


1. Agama yang dicipta oleh manusia yang dijadikan sembahan, fahaman dan anutan.
2. Agama yang diturunkan oleh Allah tetapi ditafsirkan mengikut akal tanpa kaedah yang dibenarkan oleh Syariat.


Membebaskan manusia daripada dibelenggu oleh matlamat dunia yang sempit melalui:


1. Menyedarkan manusia bahawa dunia adalah sementara yang menjadi tempat persinggahan.
2. Menjadikan manusia bekerja di dunia untuk akhirat yang merupakan kehidupan yang sebenar.


Justeru itu: Kemerdekaan yang sebenar ialah :
Membebaskan jasad dan material daripada penjajahan manusia.
Membebaskan akal fikiran serta mentaliti daripada dibelenggu oleh doktrin-dokrin yang bercanggah dengan Islam.


28.8.09

Aku Mesti Hidup Dalam Islam

Penggabungan diri dalam Islam mewajibkan supaya semua tindakan dalam kehidupan berlandaskan cara Islam. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
" Sesungguhnya ilmu itu hanya didapati dengan belajar dan kefahaman itu didapati dengan mendalami sesuatu, barang siapa yang dikehendaki Allah (mendapat) kebaikan, Allah akan memberikannya kefahaman tentang deen". Diriwayatkan oleh Imam Tabarani

Siapa kata cara Islam menyusahkan penganutnya? Cuba kita fikirkan, Islam telah mengubah kehidupan zaman masyarakat jahiliah dahulu. Hidup berlandaskan akal dan hawa nafsu, tiada peraturan dan panduan untuk hidup. Manusia menjadi keliru dan menyusahkan kehidupan masa itu.

Kini Islam telah berkembang diseluruh pelusuk dunia. Marilah kita sama-sama hidup dengan cara Islam yang sebenar. Kita mesti berpegang teguh dengan Islam kerana untuk mendapat kelazatan beragama mestilah beriman. Iman itu bukannya angan-angan tetapi iman adalah sesuatu yang termatri di dalam hati dan dibuktikan kebenarannya oleh amalan. Kita wajib berusaha membina diri sebagai individu muslim, rumahtangga muslim, masyarakat muslim dan negara Islam.

Untuk hidup dalam Islam, kita mestilah beriltizam dengan bersungguh-sungguh mempelajari agama dan menegakan amar ma'ruf nahi mungkar.Kita mestilah rela menyerahkan segala keupayaan dan kemampuan kita demi untuk keagungan dan keutuhan Islam.

"Dan siapakah yang lebih baik perkataannya dari orang yang menyeru kepada Allah dan beramal soleh dan berkata , sesungguhnya aku adalah dari golongan muslimin." (Surah Fusilat :33)

Kita patut bersyukur kerana menerima Islam cara mudah (keturunan). Jika kita lihat pengorbanan Rasulullah s.a.w dan para sahabat dalam menyebar dan menegakan agama Allah ini amat pahit dan sengsara. Semua ini telah berjaya dicapai, merekalah merupakan model terbaik untuk kita jadikan panduan dan ikutan. Sama-samalah kita berusaha untuk memastikan jalan hidup menepati ikrar janji kita pada Allah s.w.t.

"Sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku hanya untuk Allah, Tuhan semesta alam." (Surah Al-An'aam : 162)

27.8.09

Apa Yang Kita Cari

Dalam hidup ini kita sentiasa mencari perkara yang terbaik untuk diri dan keluarga. Bagi kakitangan kerajaan minggu inilah sibuk membaca buku, apa tidaknya periksa PTK. Setiap perkara yang dilakukan semuanya bermatlamat. Lulus PTK ada kenaikan gaji. Bagi kakitangan swasta begitu juga, ada imbuhan-imbuhan yang diperolehi hasil dari keringan bekerja selama beberapa tahun dengan syarikat atau industri.

Sebenarnya apa yang kita cari dalam hidup ini? Adakah harta, pangkat atau lain-lain anugerah yang boleh kita banggakan. Adakah ini akan menjadi hakiki? Apakah dengan memperolehinya kita akan merasa cukup bahagia atau selesa untuk hidup di atas muka bumi ini?

Atas dasar fikiran yang lemah ini, marilah kita mencari keredhaan Allah swt. Kalau kita mencari dan memilki duniawi ini yang datang dari manusia, ianya tidak abadi dan tidak hakiki. Burulah keredhaan Allah nescaya kita akan perolehi kesenangan dunia dan akhirat.

Firman Allah yang bermaksud :
" Dia yang menjadikan untuk kamu bumi sebagai hamparan dan langit bagaikan binaan, dan diturunkan daripada langit itu air (hujan) maka darinya dikeluarkan buah-buahan sebagai rezeki untuk kamu. Maka dengan sebab itu janganlah kamu mencipta sekutu bagi Allah sedangakan kamu mengetahuinya." (Surah Al-Baqarah : 22)

Sebenarnya, inilah sumber kebahagiaan dan ketenangan sebenar bagi manusia. Bukan setakat di dunia sahaja bahkan di akhirat, negara yang kekal abadi. Janganlah kita terlalu mengejar perkara-perkara yang palsu iaitu anugerah manusia. Tetapi kejarlah keredhaan Allah swt.

26.8.09

Memelihara Hukum Allah

Ada golongan yang berjuang untuk melaksanakan perintah Allah kepada diri dan masyarakatnya. Perintah Allah tidak mungkin dilaksanakan dalam bentuk yang sempurna tanpa kekuasaan dan pemerintahan Islam (Daulah Islamiah), maka usaha dan perjuangan dan memelihara hukum-hukum Allah menjadi satu perkara yang wajib.

Pertama menegakkan hukum-hukum Allah swt di dalam diri dan masyarakat adalah tanggungjawab semua individu baik lelaki atau perempuan.
" Sesungguhnya jawapan orang-orang mukmin bila mereka dipanggil kepada Allah dan RasulNya agar Rasul menghukum (mengadili) di antara mereka ialah ucapan : kami mendengar dan kami patuh.' Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung." (Surah Al-Nur :51)

Kedua, bekerja dan mempunyai matlamat untuk menegakkkan hukum-hukum Allah serta memeliharanya secara keseluruhan. Ini adalah wajip dilaksanakan kerana hanya orang-orang mukmin sahaja yang dapat mendukung dan melaksanakan hukum-hukum Allah swt.
"Maka demi Tuhanmu, mereka (pada hakikatnya) tidak beriman sehingga mereka menjadikan engkau (wahai Muhammad) hakim terhadap perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka merasa dalam hati mereka sesuatu keberatan terhadap keputusan yang engkau berikan dan mereka menerima dengan sepenuhnya." (Surah Al-Nisa':65)

Marilah kita sama-sama berdoa kepada Allah swt agar menjadikan kita sebagai orang-orang yang sentiasa memelihara hukum-hukumNya, baik di dalam diri kita sendiri, mahupun di dalam masyarakat secara keseluruhannya, Insya Allah

Allahu Akbar!

22.8.09

Hakikat Cinta

Jatuh yang tidak ada orang simpati ialah jatuh cinta. Tidak ada seorang manusia pun yang dapat melarikan diri daripada menvintai dan dicintai. Sebagai seorang hamba yang beragama Islam cinta yang terpenting adalah mencintai Allah dan Rasul.

"Siapa yang tidak cinta pada Allah, nescaya hidupnya kosong, hati mesti diisi dengan cinta. Sedangkan dunia yang dicintai sering lari meninggalkan kita"

Cinta yang bagaimana boleh membawa seseorang ke syurga dan kenapa ada yang masuk neraka kerana cinta? Cinta adalah suatu rasa yang berada di dalam hati yang tidak boleh disukat. Hati yang merasainya, sehingga boleh terhibur atau terseksa kerananya. Cinta ini datang dari dua sumber iaitu nafsu dan juga dari Allah.

Cinta yang diilhamkan oleh nafsu berlaku bila hati telah dikotori, yakni manusia sering melakukan dosa dan tidak bertaubat. Sifat-sifat buruk seperti sombong, ego, pemarah, hasad dengki dan sebagainya yang telah bersarang di lubuk hati itu. Hati-hati ini pula tidak pernah dibersihkan dengan taubat atau ibadat pada Allah menyebabkan nafsu menjadi Tuhan dalam diri sehingga apa sahaja yang dilakukan mengikut arahan nafsu.

Apabila nafsu telah mempengaruhi manusia maka manusia akan menjadi rosak dan gara-gara cinta nafsu ini akan menyusahkan manusia di dunia ini. Oleh itu marilah kita mencintai Allah kerana ini cinta sebenar. Mencintai Allah adalah cinta sebenar, suci lagi murni kerana cinta ini bukan diukur mengikut pandangan mata manusia.

Ia bersebab kerana Allah. Cinta diberipun untuk mendapat keredhaan Allah. Cinta ini tiada batasannya. Tidak pula kenal jantina aatau kedudukan. Cinta lahir hasil dari sama-sama cinta kepada Allah. Kasih sayang terjalin adalah kerana Allah semata-mata, tidak lebih dari itu.

Firman Allah yang bermaksud :

" Hai orang-orang beriman! Barang siapa yang murtad (kembali daripada agamanya Islam) nanti Allah mendatangkan satu kaum, Allah kasih (cinta) kepada mereka dan mereka kasih kepada Allah. Mereka berkasih sayang sama-sama orang beriman dan keras kepada orang-orang kafir. Mereka berjuang pada jalan Allah dengan tidak takut akan cercaan orang. Demikian itu kurnia Allah, diberikannya kepada orang yang dikehendaki-Nya. Allah luas kurnia-Nya, lagi Mengetahui." (Surah Al-Maidah : 54)

14.8.09

PERMATA YANG TIDAK TERNILAI



Anak adalah penyambung zuriat dan amanah yang perlu dipikul oleh stiap ibubapa. Ibubapa mestilah sedar bahawa anak-anak itu adalah di bawah tanggungjawab mereka untuk menghasilkan kualiti seorang mukmin yang sejati. Jika ibubapa tahu mendidik dan mengasuh mereka dengan pengetahuan dan akhlak yang baik, mereka akan hidup bahagia apabila besar nanti. Ibubapa akan mendapat pahala melalui amalan-amalan baik yang dilakukan oleh anak-anak. Sebaliknya kalau anak-anak dibiarkan melakukan kemungkaran dan tidak diberikan didikan yang sempurna, mereka akan rugi . Sengsaralah hidup mereka akibat daripada perbuatan mereka itu, ibubapa akan menanggung dosanya sama.


Oleh sebab itu, tanggungjawab ibubapa dalam mendidik anak-anak amat penting kerana mereka adalah aset yang sangat bernilai untuk ibubapa disisi Allah s.w.t sebagaimana Rasulullah s.a.w bersabda :


"Apabila meninggal seseorang manusia maka terputuslah segala amalannya melainkan tiga perkara ; sedekah jariah, ilmu yang memberi manafaat dan anak yang soleh yang mendoakan kedua ibubapanya"


Peliharalah anak-anak dengan memberi didikan agama yang mencukupi kerana melalui pendidikan dapat membentuk dan mendidik anak-anak menjadi insan yang taat dan patuh pada perintah Allah.

13.8.09

Nasihat seorang rakan

Bersyukur kita kehadrat Allah s.w.t kerana menemukan kita diruang penulisan saya ini. Marilah kita sama-sama menganggap pertemuan ini satu pertemuan yang tidak mahu dipisahkan lagi kerana kita mempunyai matlamat hidup yang sama iaitu mencari keredhaan Allah s.w.t.

Sahabat......sebenarnya manusia itu lemah dan tidak berdaya (lekeh), tetapi ramai manusia tidak sedar. Mereka jahil terhadap mereka sendiri dan akibatnya mereka berlagak sombong, cakap besar dan takabur. Buktinya nyata sekali, sakit kepala terkena hujan atau tersalah makan. Kadang-kadang demam dan ada kala menjadi lelah.Terantuk sedikit sudah binjul, tersepak sedikit sudah luka. Kadangkala tidak makan sedikitpun sudah letih, tak larat sehingga kaki tidak berdaya untuk melangkah. Otak tak berdaya hendak memikir dan belajar. Semuanya bersebab dan tidak pernah terfikir siapa yang menghadirkan musibah itu.

Manusia juga mudah merajuk, menangis dan susah hati apabila mendapat musibah atau berita yang tidak disenangi. Manusia mudah sasau, mereng, gila dan putus asa. Kadang kala membawa kepada bunuh diri (na'uzubillah). Masih menyalahkan itu dan ini , tanpa mampu mempercayai qada dan qadar Allah.

Wahai sahabatku, saya huraikan sedikit petikan dari Majmuk Rasail As-Syahid Al-Iman Hassan Al Banna. As-Syahid Hassan Al Banna berkata adakah orang-orang Islam telah melakukan atau mempraktik apa ada di dalam Al-Quran tentang aqidah dan faham akan matlamat Allah jadikan manusia di mukabumi ini? Apakah mereka itu mempraktik undang-undang Allah dalam kehidupan, bermasyarakat dan segala sesuatu pekerjaan mereka sehari-hari?

Tepuk dada tanya selera, adakah kita melaksanakan seperti yang disarankan. Kita manusia terlalu lemah dalam berbagai aspek maka sedarlah kerana manusia akan kembali kepada penciptanya juga.Oleh itu, apa persediaan atau bekalan yang akan kita bawa untuk perjalanan ke akhirat. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :"Beramallah kamu dengan ketaatan dan takutlah kamu perkara-perkara maksiat kepada Allah s.w.t dan jauhi larangan-Nya. Demikian itu adalah pemeliharaan diri mereka dari api neraka"

Dengan itu insaflah kita, sedarlah kita dan beringatlah kita. Jangan sombong.Jangan takbur. Berdoalah dan berzikirlah selalu.Moga-moga kita diizinkan sihat dan dipanjangkan umur untuk terus beribadat dengan ikhlas kepada Allah dan supaya kita menjadi hamba Allah yang benar-benar bahagia di dunia ini dan di akhirat, Insyaallah.

12.8.09

AQIDAH MUSLIM KIAN TERHAKIS

Setiap negara mempunyai peraturan dan perundangan sendiri. Apabila memasuki sesebuah negara kita mestilah bersedia patuh kepada semua peraturan dan perundangan negara tersebut.Biasanya orang akan patuh pada peraturan dan undang-undang sesebuah negara tetapi ada kalanya tidak.

Begitu juga dengan agama Islam, jika seseorang itu beragama Islam sama ada Islamnya keturunan dan baru memeluk Islam maka ia terikat atau tertakluk kepada undang-undang dan peraturan yang termaktub dalam al-Quran dan hadith.

Secara realitinya, kedudukan orang yang beragama Islam masa kini kian tergugat kerana pegangan terhadap Islam sendiri telah menjadi rapuh, lemah dan terhakis hasil daripada pengaruh unsur-unsur musuh Islam. Minda orang Islam mudah dijajah kerana kepentingan nafsu, kemewahan dunia, cita-cita peribadi dan mencampuradukkan pegangan bukan Islam di dalam kehidupan.

Allah berfirman bermaksud "Sesungguhnya agama (yang diredhai) di sisi Allah hanyalah Islam" (Surah Ali 'Imran - 3:19).

Kekuatan muslim kian terhakis dan lemah apabila perjuangan agama telah berpindah kepada perjuangan kebangsaan dan menjadi alat untuk mendapat sokongan.Oleh kerana kelemahan orang Islam itu sendiri maka kemelut aqidah muslim kian terhakisdan kini kebanyakannya menjadi Islam kulit atau Islam adat sahaja.

Nyata sekali, semakin ramai orang Islam mengenepikan tuntutan Islam dan dengan mudah menerima unsur-unsur yang menghancurkan pegangan aqidah orang Islam itu sendiri.

Semoga Allah s.w.t melindungi kita semua daripada gejala yang sedang melanda umat Islam kini. Amiin.