30.9.09

Dunia Oh Dunia

Zaman sekarang ini memang merupakan zaman yangg penuh dengan ujian dan cubaan. Terutama bagi siapa sahaja yang telah mengikrarkan kalimat syahadah kepada Allah sebagai Tiada Tuhan Yang Disembah Melainkan Allah dan Muhammad saw sebagai rasul dan nabinya dan redha dengan Islam sebagai tuntunan hidup di dunia yang fana ini.
Dahulu ketika zaman tabi’in kaum muslimin mengimpikan kehidupan seperti zaman Nabi saw dan para sahabatnya. Mereka mengharapkan kehidupan yang damai bersama Rasulullah dan para sahabatnya ra. Begitu juga setelah para tabi’in wafat maka pengikut tabi’in juga meneruskan kehidupan zaman Nabi saw dengan para sahabatnya r.a .

Keinginan dan impian para solehin pada zaman Nabi s.a.w adalah kerana faktor keimanan dan ketakwaan mereka sehingga kehidupan pada zaman ini yang penuh dengan fitnah dan perpecahan menjadikan mereka rindu dengan kehidupan pada zaman Rasulullah s.a.w dan sahabat-sahabatnya . Hal ini memang telah dinyatakan oleh Nabi saw dalam salah satu hadis yang diriwayatkan dari Imran bin Husain r.a katanya Rasulullah saw bersabda “Sesungguhnya yg terbaik dari kalangan kamu ialah yg sezaman denganku kemudian orang yg hidup setelahku setelah itu orang yg hidup setelah mereka. Imran berkata ‘Aku tidak mengetahui mengapa Rasulullah saw menyebut setelah kurunnya sebanyak dua atau tiga kali. Setelah itu datang satu kaum yang di minta memberi penyaksiaan tetapi tidak diminta penyaksian yang berkhianat sehingga tidak boleh dipercayai yang suka bernazar tetapi tidak melaksanakannya dan suka akan kemewahaan.”

Subhanaallah...zaman kita hidup sekarang ini telah jauh beribu tahun dari zaman ketika Rasulullah s.a.w dan para sahabat r.a. Rasulullah s.a.w telah menggambarkan ciri-ciri manusianya watak dan kebanyakan mereka sebagaimana yg dinyatakan dalam hadis di atas.

Suka kemewahan sehingga sanggup mengadai maruah dan agama. Jika kita lihat fenomena masa kini, kes mahkamah pengadilan yang menghadirkan saksi-saksi palsu sehingga menyeret orang tidak bersalah ke penjara kerana permintaan atau kehendak orang tertentu. Kita tidak perlu menyebut kes satu per satu tetapi kalau kita perhatikan dalam media dan berita-berita dari beribu-ribu kes yang ada baik di negeri kita mahupun di beberapa negara, menunjukkan betapa banyaknya saksi-saksi bayaran atau saksi palsu untuk menyeret orang tertentu ke dalam penjara. Khianat dan Tidak Boleh Dipercayai adalah menjadi budaya. Perkara ini sudah menjadi suatu trend sekarang ini dan ini telah melanda di seluruh lapisan masyarakat.

“Hai orang-orang beriman janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul dan juga janganlah kamu mengkhianati amanat-amanat yang dipercayakan kepadamu sedang kamu mengetahui.” .

Marilah kita sama-sama menanam satu nekad dalam hati supaya kita sentiasa terus menerus mengingati Allah dan meninggalkan segala perkara yang dilarang oleh agama. Alangkah baiknya sekiranya setiap langkah-langkah kita lalui mendapat hidayah dan keredhaan dari Allah s.w.t.

Waallah hu'alam

29.9.09

I love Islam

Kita sering menangis atau sedih bila kehilangan sesuatu yang sangat disukai atau dicintai. Itulah yang dikatakan hubungan sementara yang tidak kekal, bahkan kadangkala ia membawa kepada kemudharatan diri sendiri.
Firman Allah s.w.t yang bermaksud : "Ketahuilah, bahawa sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan sesuatu yang melalaikan... Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu." (Q.S. Al-Hadiid [57]:20)

Dunia adalah segala sesuatu yang membuat kita lalai kepada Allah s.w.t. Misalnya, solat atau sedekah jariah yang diberikan kepada seseorang, tetap dikatakan urusan dunia jika niatnya ingin dipuji oleh makhluk hingga hati lalai terhadap Allah.

Sebaliknya, orang yang sibuk siang malam mencari wang untuk keluarga dan membantu mereka yang memerlukan adalah lebih baik dari mereka yang inginkan sesuatu pujian atau berhajat kepada sesuatu kedudukan dalam masyarakat. Dengan kata lain, segala sesuatu yang membuat kita taat kepada Allah, maka hal itu bukanlah urusan dunia.

Bagaimana ciri orang yang cinta dunia? Jika seseorang mencintai sesuatu, maka dia akan diperbodohkan oleh apa yang dicintainya. Jika orang sudah cinta dunia, maka akan datang berbagai penyakit hati. Ada yang menjadi sombong, dengki atau berburuk sangka memikirkan sesuatu yang tiada. Semakin cinta pada dunia, maka bertambahlah sifat-sifat yang keji dilakukan. Bahkan, perbuatan keji ini adalah semata-mata untuk mendapatkan dunia yang diinginkannya. Fikirannya selalu memikirkan kepada dunia, siang malam mengejar dunia untuk kepentingan diri sendiri.

Ciri lainnya adalah takut kehilangan. Seperti orang yang duduk di kerusi sedangkan tempat duduk terlalu terhad, maka akan takut kerusinya diambil. Orang yang bersandar ke pangkat atau kedudukan, maka ia akan takut pangkat atau kedudukannya diambil. Oleh sebab itu, pencinta dunia itu tidak pernah merasa senagn atau bahagia.

Semua yang ada di langit dan di bumi adalah milik Allah s.w.t. Kita tidak mempunyai apa-apa. Hidup di dunia hanyalah sementara. Sejak lahir sebagai bayi, membesar (remaja), semakin tua, dan akhirnya mati. Kemudian terlahir manusia berikutnya, begitu seterusnya.
Bagi orang-orang yang telah sampai pada keyakinan bahawa semuanya hak milik Allah s.w.t, ia tidak akan menjadi sombong, irihati ataupun dengki. Sebaliknya, ia akan selalu bersiap sedia untuk diambil oleh Pemiliknya, kerana segala sesuatu dalam kehidupan dunia ini adalah sementara dan tidak ada ertinya. Yang hidup akan mati. Harta, pangkat, kedudukan dan populariti seseorang manusia tidak akan ada ertinya jika tidak digunakan di jalan Allah.

Kita harus yakin bahawa jika seseorang tidak pernah berusaha melepaskan dirinya dari kecintaan terhadap dunia, maka dia akan sengsara dalam hidupnya. Mengapa? Sumber segala fitnah dan kesalahan adalah ketika seseorang begitu mencintai dunia. Semoga Allah mengurniakan pada kita nikmat-Nya untuk kita hidup dalam suasana yang tidak dibelenggu oleh cintakan dunia.

Wallahu a'alam

28.9.09

ISTIGHFAR

ISTIGHFAR sering diertikan dengan permohonan ampun kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala atas dosa atau kesalahan yang dilakukan. Lazimnya jika seseorang melakukan kesalahan dan kemudian menyesal akan perbuatannya itu, maka istighfar yang disertai dengan niat taubat yang ikhlas akan dilafazkan dengan harapan agar dosa atau kesalahan yang dilakukan akan diampunkan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala.

Antara kelebihan beristighfar dan bertaubat yang dinyatakan oleh Dr Yusuf al-Qardhawi dalam bukunya at-Taubat Ilallah adalah:
· Disayangi Allah
· Didoakan oleh para Malaikat
· Diampunkan oleh Allah
· Diberikan pelepasan daripada segala masalah
· Dimurahkan rezekinya
· Ditinggikan kedudukannya di sisi Allah
· Bertaubat adalah ciri orang beriman‘ala.

Allah Subhanahu wa Ta‘ala memerintahkan hamba-hambaNya supaya beristighfar sebagaimana firmanNya di dalam al-Qur’an:

“Dan hendaklah engkau memohon ampun kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah adalah amat Pengampun, lagi amat Mengasihi”
(Surah an-Nisaa:106)


Dalam ayat yang lain pula, Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:

“Dan pohonlah ampun bagi dosamu, serta bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu pada waktu pagi dan petang.”
(Surah al-Mu’min:55)


Oleh itu adalah menjadi kewajipan bagi umat Islam untuk sentiasa beristighfar bukan saja sebagai tuntutan yang perlu dipenuhi malahan untuk merebut fadhilat istighfar sebagaimana yang disebut dalam al-Qur’an dan hadis-hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wassalam.

27.9.09

Titisan Airmata Hassan Al-Basri

Hassan Al-Basri berkata : " Wahai bani Adam! Demi Allah, jika kamu membaca Al-Quran dan percaya kepadanya, sudah tentu engkau akan sentiasa sedih, takut dan banyak menangis di dunia ini."


Suatu hari Hassan Al-Basri berselisih jalan dengan seorang pemuda yang sedang tertawa terbahak-bahak, maka ia bertanya : "Hai pemuda, sudahkah engkau lalui shirath (jambatan)?"

Pemuda itu menjawab :"Belum!"

Hassan bertanya lagi :"Tahukah kamu, apakah dirimu termasuk ahli syurga atau neraka?"

Pemuda itu pun menjawab: "Tidak, aku tidak tahu!"

Hassan Al-Basri bertanya lagi :"Lalu kenapa engkau tertawa begitu rupa?"

Pemuda itu terdiam, sejak dari peristiwa itu dia tidak suka lagi tertawa secara berlebihan.

Dikatakan oleh Hassan Al-Basri:"Orang yang tahu bahawa dia pasti menemui mati, dan bahawa hari Kiamat adalah saat yang dijanjikan kepadanya serta sedar bahawa dirinya pasti akan berhadapan dengan Allah s.w.t kelak untuk mempertanggungjawabkan amal ibadat selama dia hidup di dunia ini, maka sudah tentu ia akan selalu gelisah dan bersedih."

26.9.09

Berjaga-jaga Dalam Empat Perkara

Telah Bersabda Nabi s.a.w : Yang bermaksud:"Ada empat perkara yang berharga dalam diri manusia dan dia boleh hilang dengan empat perkara juga. Adapun yang berharga itu ialah Akal, Agama, Malu dan Amal soleh. Maka...
1-Akal boleh hilang disebabkan marah.
2-Agama boleh hilang disebabkan dengki.
3-Malu boleh hilang disebabkan tamak.
4-Amal soleh boleh hilang dan terhapus disebabkan suka menceritakan keburukan orang lain.
Manusia akan menghadapi 4 penarikan:
1-Malaikat pencabut nyawa akan menarik rohnya.
2-Para ahli waris akan menarik hartanya.
3-Ulat akan menarik tubuhnya.
4-Orang yang dimusuhi @ dianiayai akan menarik barang kepunyaannya di hari kiamat iaitu AMALNYA.
Dari Ali r.a yang bermaksud:Sesungguhnya amalan yang paling sulit adalah empat macam:
1-Memberi maaf pada waktu marah.
2-Suka memberi pada waktu susah.
3-Menjauhi yang haram pada waktu sunyi.
4-Mengatakan yang hak kepada orang yang ditakuti atau kepada orang yang diharapkan sesuatu darinya.
Dari Hatim Al-Asom yang bermaksud:Empat perkara yang hanya diketahui oleh empat jenis orang akan nilainya iaitu:
1-Nilai masa muda hanya diketahui oleh orang tua-tua
2-Nilai kedamaian hanya diketahui oleh orang yang pernah di timpa bencana.
3-Nilai kesihatan hanya diketahui oleh orang-orang sakit.
4-Nilai kehidupan hanya diketahui oleh orang-orang yang telah mati.

25.9.09

Satu hari dalam seminggu

Sudah 6 Syawal, bermakna sudah enam hari Ramadhan berlalu. Pada subuh hari Jumaat, maka setiap muslim digalakkan mandi, kemudian memakai pakaian yang bersih. Pakailah minyak wangi yang diharuskan dan berhiaslah dengan memotong rambut, mencukur kumis, memotong kuku dan menggosok gigi. Sesudah itu pergilah ke masjid awal sedikit, jangan tertinggal khutbah yang disampai oleh khatib.

Sabda Rasulullah SAW: " Sesiapa yang masuk dahulu ke dalam masjid pada hari Jumaat untuk sembahyang Jumaat, maka seolah-olah dia sudah berkorban dengan seekor unta dan orang yang masuk pada waktu yang kedua berkorban dengan seekor lembu dan yang masuk pada waktu ketiga maka seolah-olah dia berkorban dengan seekor kambing dan siapa yang masuk ke masjid pada waktu keempat maka seolah-olah ia berkorban dengan seekor ayam, dan orang yang masuk waktu kelima maka seolah-olah dia berkorban dengan sebutir telur. Maka apabila naik imam ke atas mimbar ditutupnya buku catatan dan diletakanlah pena oleh malaikat dan mereka berkumpul dekat mimbar mendengar khutbah"

Sesungguhnya Jumaat ialah hari kebesaran Islam bagi setiap minggu. Jumaat adalah hari yang mulia dan diwajibkan ke atas orang-orang lelaki bagi mengerjakannya di masjid. Setiap muslim dikehendaki mempersiapkan diri untuk mengerjakan sembahyang Jumaat dan digalakan mulai dari hari Khamis dengan membersihkan pakaian dan memperbanyakkan tasbih serta memohon keampunan kepada Allah s.w.t pada malam Jumaat.

Bersegeralah mengerjakan sembahyang Jumaat dan tinggalkan segala aktiviti sementara. Sesudah mengerjakannya, beredarlah menyambung urusan yang ditinggalkan tadi. Semoga mendapat rahmat dari Allah s.w.t.

24.9.09

Hati-hati ya

Hari ni raya kelima, masih ada yang datang berkunjung. Ini kelebihan orang kita bila puasa sebulan, raya pun mesti sebulan juga. Walau apapun kita jangan lari dari konsep sebenar sambutan hari raya ini kerana hari raya Aidilfitri adalah ibadah bukan sesuatu yang boleh kita buat sesuka hati sehingga ia melanggar hukum syarak.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :“Ini hari raya untuk kalian. Hari kembali kepada fitrah. Barang siapa mengagungkan Aidilfitri dengan menyebut nama Allah akan termasuk orang-orang yang menang.”

Bagi yang bakal pulang ke tempat kerja, hati-hati memandu dan sentiasa ingat orang tersayang kerana kemalangan tidak berbau. Waspada selalu, pandu cermat jiwa selamat.

AIDILFITRI bukan hari raya BUDAYA, AIDILFITRI adalah hari raya AGAMA oleh itu cukuplah ianya diraikan hanya kadar yang sederhana tetapi memberi seribu makna dan keinsafan.

22.9.09

Salam Aidilfitri


Ya Allah Ya Tuhan Yang Maha Esa
Ku pohon doa restu di malam yang syahdu
Menitis air mata tanda kesyukuranku
Kepada-Mu pencipta alam semesta

Pemergian Ramadhan Ditangisi
Bulan Penuh Berkah Lagi Dirahmati
Semoga Ramadhan Jumpa Lagi
Kerana Usia Di Tangan Ilahi

Datangnya Syawal Tanda Kemenangan
Sebulan Berpuasa Menahan Cubaan
Sambut Raya Dengan Kemaafan
Moga Bergembira di Hari Lebaran

Maaf di atas segala tutur kata mahupun perbuatan
Sama ada sengaja atau tidak
Antara kita tiada yang sempurna
Salah dan silap adat manusia
Maaf diminta mengerat siraturrahim .

21.9.09

Mai Pakat Posa 6 pula.

Selepas beraya pada 1 Syawal, kita digalakan mengerjakan ibadah puasa enam. Sunat bagi setiap muslim untuk mengerjakan puasa 6 hari dalam bulan Syawal. Besar ganjarannya ibadah puasa enam ni.

Nabi Muhammad saw. bersabda : "Barangsiapa berpuasa Ramadhan kemudian diikuti dengan puasa 6 hari dalam bulan Syawal, maka orang itu seolah-olah berpuasa setahun penuh."

Bermula pada 2 Syawal hingga akhir Syawal masa yang dilakukan untuk ibadah sunat ini. Puasa 6 boleh dilakukan mulai 2 Syawal hingga 7 Syawal secara berterusan tapi boleh juga dilakukan pada mana-mana 6 hari dalam bulan tersebut. Bagi mereka yang baru mula berjinak-jinak dengannya, disunatkan memulakan puasa pada hari Isnin kerana Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wassalam dilahirkan pada hari Isnin.Sama-sama kita ambil peluang ini untuk berpuasa 6 hari di bulan Syawal.

Sebagaimana yang kita ketahui, setiap amalan sunat merupakan 'agen penampal' bagi mana-mana kekurangan dalam amalan fardhu kita.Rebutlah peluang selagi kita bernyawa, selain dapat pahala puasa setahun, kita juga dapat perbaiki kekurangan dalam ibadah puasa bulan Ramadhan. Walaupun madrasah Ramadhan pergi meninggalkan kita tanpa menjanjikan pertemuan semula, harapnya setiap latihan ibadah yang kita sepanjang Ramadhan seperti puasa, solat sunat, sedekah, tadarus al-Quran, qiamullail dapat diteruskan dalam bulan-bulan lain.

19.9.09

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI




“Allah Maha Besar, Allah Maha Besar,
Tidak ada tuhan melainkan Allah dan Allah Maha Besar,
Allah Masa Besar dan bagi Allah segala puji-pujian.”
“Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar,
Allah Maha Besar sebesar-besarnya, Alhamdulillah (segala puji bagi Allah) sebanyak-banyaknya,
Maha Suci Allah pagi dan petang.”“Tiada tuhan melainkan Allah, kami tidak menyembah kecuali kepada-Nya, dengan ikhlas untuk agama (Islam), walaupun dibenci oleh golongan kafir.”“Tiada tuhan melainkan Allah yang Esa yang benar janji-Nya, yang menolong hamba-Nya,
yang memuliakan tentera-tentera-Nya (tentera Muslimin) dengan mengalahkan tentera Ahzab dengan keesaan-Nya.”“Tiada tuhan melainkan Allah yang Maha Besar, Allah yang Maha Besar dan milik Allah-lah segala puji-pujian.”


Firman Allah:"Dan sempurnakanlah ibadah puasa kamu mengikut bilangan hari dalam bulan Ramadhan (29 atau 30 hari), dan bertakbirlah (membesarkan Allah) atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur." (AlBaqarah : 185)

Allah SWT telah berfirman memuji mereka:“Sungguh beruntunglah orang-orang yang membersihkan diri (dengan zakat fitrah). Dan yang menyebut nama Tuhannya (takbir), maka mereka sembahyang.”

Nabi juga telah berkata:“Ini hari raya untuk kalian. Hari kembali kepada fitrah. Barang siapa mengagungkan Aidilfitri dengan menyebut nama Allah akan termasuk orang-orang yang menang.”

“Setiap umat ada hari raya, tetapi hari raya kamu adalah hari raya terbaik di sisi Allah!,” kata Nabi lagi.“Hiasilah hari raya kamu dengan takbir, tahmid dan tasbih, sebab hari itu Allah mengampuni dosa-dosamu” (Kitab Durratun Waa’izhiin)



Ku menyusun sepuluh jari memohon kemaafan andai ada terkasar bahasa atau tindakan yang menyinggung perasaan dan terguris dihati. Semoga Allah menerima segala amal ibadah yang kita lakukan, moga ia menjadi bekalan untuk kita bawa bersama di akhirat nanti.
MAAF ZAHIR DAN BATIN