30.7.09

HATI SEORANG IBU


Islam amat memuliakan ibu. Justeru , Allah s.w.t telah mewajibkan anak-anak memuliakan dan menghormati ibu sekalipun berlainan pegangan agama. Allah s.w.t secara tegas mengharamkan segala bentuk penderhakaan kepada kedua-dua orang tua selagi ibu bapa berada atas landasan syarak. Ini ditegaskan oleh Allah s.w.t dalam firman-Nya yang bermaksud :

"Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada keduanya sekalipun perkataan 'ah' dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi katalah kepada mereka perkataan mulia." (Surah al-Israa' :23)

Fahamilah ibu bapa adalah perantara yang menyebabkan kita berada di dunia ini. Mereka terlalu berkorban tenaga, masa dan harta demi kebahagiaan anak-anak. Sedarilah bahawa jasa ibu bapa tidak boleh ditukar ganti dengan kemewahan atau kebendaan. Gembirakanlah mereka kerana sesungguhnya jasa dan pengorbanan ibu bapa amat besar dan tidak mungkin dapat dibalas.

Imam Bukhari telah meriwayatkan sebuah kisah daripada Said bin Abi Burdah tentang seorang lelaki Yaman yang bertawaf sambil mendukung ibunya dengan penuh cermat. Sesudah selesai tawaf, beliau bertanya kepada Ibnu Umar : Apakah dengan khidmat dan pengorbananku ini telah dapat membalas jasa bakti ibuku?. Jawab Ibnu Umar : Tidak, apa yang telah kamu lakukan tadi tidak akan dapat menebus jasa ibumu sekalipun sekadar hembusan nafas ketika kesakitan melahirkan kamu.

Janganlah kita sesekali menderhaka kepada ibu bapa kerana perbuatan seperti itu akan mendatangkan kecelakaan di dunia dan di akhirat. Hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud :
"Amat malanglah! Dan amat malanglah. Maka Rasulullah ditanya : Siapakah orang yang amat malang itu wahai Rasulullah ? Baginda menjawab : Seseorang yang mendapati kedua ibu bapanya atau salah seorang daripada keduanya telah tua namun dia masih gagal memasuki syurga ( lantaran gagal berkhidmat kepada mereka )."

No comments:

Post a Comment