16.11.09

Penantian UPSR


Tinggal beberapa hari lagi keputusan UPSR akan diumumkan. Debaran ibubapa dan guru kian terasa. Semua orang yang tersayang tidak sabar lagi menunggu keputusan ini. Ada ibubapa yang bertanya dan menghantar sms untuk memastikan tarikh bilakah keputusan ini diumumkan. Sama ada anak-anak yang menduduki peperiksaan ini berjaya atau tidak... berilah mereka peransang dan kata-kata yang boleh memberi mereka motivasi untuk meneruskan pengajian ke peringkat menengah.

Kalau anak kita berjaya berilah peransang untuk mereka terus berjaya kerana kejayaaan ini baru permulaan bagi mereka dan masih banyak lagi peperiksaan yang perlu mereka duduki nanti. Bagi anak yang kurang mendapat keputusan yang baik, ini bukan bermakna mereka akan terus gagal. Berilah peluang kepada mereka untuk berjaya dalam pelajaran. Ibubapa memainkan peranan penting dalam membimbing anak-anak untuk berjaya. Jangan sekali-kali menunding jari menyalahkan anak-anak, mereka masih muda dan belum mengerti apa-apa matlamat untuk hidup. Ada setengah anak tahun 6, cita-cita seperti lirik lagu... bila ditanya besar nanti nak jadi apa... mereka menjawab saja-saja kerja itu yang dia tahu.

Setiap orang berkehendakkan kejayaan yang cemerlang tetapi perlu diingatkan keupayaan anak-anak tidak sama. Jangan cuba bandingkan anak kita dengan anak orang lain yang berjaya kerana itu boleh menyebabkan anak kita terguris hati dan menjadikan mereka orang yang cepat putus asa.

Percayalah kepada takdir Allah swt, kita hanya merancang tetapi Allah yang menentukan. Allah swt tidak pernah menghampakan hambanya yang berusaha dan berkeyakinan (bertawakkal)kepadaNya untuk berjaya. Doa adalah senjata orang mukmin, maka gunalah senjata ini setelah kita berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mencapai impian kita. Pada rakan-rakan yang mempunyai anak-anak yang menduduki UPSR tahun ini, iringilah doa kejayaan anak-anak kita. Apa juga keputusan yang akan diperolehi oleh anak-anak nanti, kita terimalah dengan redha. Pada anakku, baba sentiasa doakan kejayaan kamu. Moga berjaya....

No comments:

Post a Comment