18.9.09

Ramadhan akan meninggalkan kita.

Tinggal satu hari lagi, Ramadhan akan meninggalkan kita.Pada bulan inilah ibadah puasa yang istimewa bagi umat Nabi Muhammad s.a.w dilaksanakan selama sebulan, dan jika ianya dikerjakan dengan penuh keimanan dan ikhlas kerana Allah s.w.t , Allah s.w.t akan mengampunkan dosa-dosa yang lalu. Segala amal kebajikan yang dilakukan dalam bulan ini akan dilipat-gandakan ganjarannya oleh Allah s.w.t kepada diri bagi setiap individu Muslim yang mengerjakan ibadat dan berbagai kelebihan lagi yang menyebabkan kedatangan bulan mulia ini sentiasa dirindui oleh para salihin dan pemergiannya ditangisi oleh mereka...

Ramadhan akan meninggalkan kita, adakah dibulan mulia tahun ini kita sudah cukup banyak melakukan ibadat kepada Allah s.w.t? Adakah kita pasti Ramadhan akan datang dapat kita bersua dengannya lagi? Alangkah rugi kiranya Ramadhan yang akan meninggalkan kita tahun ini, tidak diambil sepenuhnya dengan mendekatkan diri dengan Allah s.w.t.


Sedangkan bulan ini adalah bulan ibadah dan kebajikan, bulan di mana setiap orang Islam berlumba-lumba melakukan berbagai amal kebajikan demi mendekatkan diri kepada Allah s.w.t dan sememangnya dalam waktu-waktu begini Allah s.w.t sentiasa dekat dengan hamba-hambaNya. Dalam ayat 186 surah Al Baqarah, Allah swt berfirman yang maksudnya: "Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu darihal Aku, maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan doa orang yang memohon apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu dan hendaklah mereka beriman kepadaKu agar sentiasa berada dalam kebenaran."

Sesungguhnya mukmin yang merasa kemanisan iman dalam Ramadhan akan merasa sedih untuk membiarkan ianya berlalu tanpa memenuhi bekalan sebanyak-banyaknya. Berbahagialah mereka yang dapat menunaikan tuntutan Ramadhan sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah s.w.t agar dapat mengecapi darjat orang yang bertaqwa. Sebaliknya amat rugi dan kecewalah mereka yang tidak dapat menepati tuntutan dan semangat Ramadhan sebagai bulan tarbiah langsung kerana tidak memberi apa-apa makna pada kita.

Moga dibulan mulia ini Allah menerima taubat dan segala amalan ibadah serta kebajikan yang telah kita lakukan. Inilah masanya untuk kita merebut ganjaran pahala yang besar dan berpeluang mengambil manfaat daripadanya Ramadhan Al Kareem ini kerana bulan ini dibukakan pintu rahmat seluas-luasnya untuk kita beribadah kepada Allah s.w.t.

MAAF ZAHIR DAN BATIN

No comments:

Post a Comment