14.9.09

WANITA SALIHAH

Bercakap tentang kaum wanita memang merupakan soal yang terlalu menarik. Kaum wanita adalah makluk Allah yang memiliki keistimewaan dan kelemahan tersendiri. Selain ada kelemahan yang agak ketara, mereka juga mempunyai kelebihan yang sukar ditandingi oleh kaum lelaki.


Di dalam Islam ada beberapa unsur yang mesti ada pada wanita ideal. Apabila seorang wanita memenuhi unsur-unsur ini maka beruntunglah wanita itu di dunia dan di akhirat, kerana itu beruntunglah sesiapa pun lelaki yang mempersuntingnya serta anak-anak yang lahir dari rahimnya.

  • Wanita yang kuat agamanya.
    Firman Allah s.w.t yang bermaksud :" Dan katalah (wahai Muhammad) kepada wanita-wanita yang beriman : "Dan janganlah mereka (kaum wanita) menunjukkan perhiasan kecuali yang (biasa) nampak daripadanya." (Surah al_Nur : 31)
  • Wanita Yang Mulia Akhlaknya. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud : " Harta yang paling baik lidah yang bersyukur, hati yang bersyukur, dan isteri yang salih, kerana dia dapat membantu seseorang untuk (menguatkan) keimanan." (Riwayat Tirmizi)

Wahai kaum wanita, belajarlah dari Khadijah binti Khuwailid yang mulia ini. Seorang janda yang kaya raya. Khadijah rela membantu suaminya sekalipun harus mengorbankan seluruh yang dimilikinya. Khadijah memang patut menjadi contoh sepanjang masa buat kaum wanita, kerana beliau bukan hanya memberi bantuan material tetapi lebih dari itu. Beliau mampu memberi ketenteraman kepada suaminya ketika suaminya dalam ketakutan dan kegelisahan sehingga kehilangannya (meninggal dunia) benar-benar menyebabkan Rasulullah s.a.w berasa sangat sedih dan terasa kehilangan isteri yang sangat setia dalam menghadapi cabaran dan dugaan menyebarkan ajaran Islam.

Wahai kaum wanita, anda boleh lihat kepada Asiyah binti Muzahim (isteri Fir'aun). Walaupun beliau hidup sebumbung dan sekatil dengan lelaki yang zalim, namun beliau tetap menjaga kehormatan diri dan keimanan yang teguh. Walaupun beliau hidup dikelilingi kemewahan, tetapi hidupnya tidak terpengaruh dengan kemewahan tersebut.

Wahai kaum wanita, cubalah anda perhatikan apa yang sudah dialami Maryam binti Imran (ibu Nabi Isa a.s).Tentu anda akan melihat ketabahan seorang wanita menghadapi cemuhan dunia sekeliling. Bukan main-main tuduhan serta fitnah yang dilontarkan kepada Maryam, namun semuanya dapat dilalui dengan tabah dan sabar.

Wahai kaum wanita, contohi Aisyah binti Abu Bakar. Beliau seorang wanita yang mengutamakan kasih sayang kepada keluarga. Disamping itu, beliau amat cerdik serta luas pengetahuan agamanya. Seorang isteri yang sangat disayangi dan dicintai oleh suaminya.


Wahai kaum wanita, berjaga-jaga dengan peringatan dari Rasul ini. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :" Wahai kaum wanita, banyak-banyaklah memberi sedekah kerana aku melihat kaum wanitalah yang paling ramai di neraka. "Lalu seorang wanita bertanya : "Mengapa begitu, ya Rasulullah ?" Rasulullah menjawab : " Kerana kaum wanita suka mengata-ngatai orang lain di belakangnya, dan menderhakai suaminya." (Riwayat Bukhari &Muslim)

No comments:

Post a Comment