4.10.09

Keperibadian Individu Islam

Sayyidina 'Umar Ibnu Al-Khattab r.a telah berpesan : " Jadilah kamu orang-orang yang lebih berwaspada terhadap pekerjaan-pekerjaan maksiat daripada kewaspadaan terhadap musuh. Sesungguhnya dosa-dosa tentera Islam lebih ku bimbangi ke atas mereka daripada musuh mereka. Dan sesungguhnya umat Islam itu mendapat pertolongan Allah kerana kemaksiatan dari musuh mereka. Ketahuilah bahawa kamu disepanjang perjalanan kamu. Oleh itu janganlah kamu mengerjakan perkara-perkara yang dimurkai Allah, sedang kamu berjihad pada jalan Allah."

Islam akan terus berkembang dan disegani selagi umat Islam sendiri berada dalam jiwa yang bersih iaitu bersih dari keaiban dan penyakit diri sendiri. Jika dilihat masa kini ramai manusia menganut agama Islam tetapi adakah mereka ini berkualiti (taat dan patuh perintah Allah)?

Jalan untuk menegakkan kebenaran agama suci ini bukanlah senang, tetapi sekiranya setiap dari kita mempunyai sahsiah muslimin sejati akan menghindarkan kita dari menempuh cabaran dan anasir-anasir yang boleh menyesatkan diri.

Ingatlah firman Allah yang bermaksud :" Wahai orang-orang beriman, kenapakah kamu mengatakan apa yang tidak kamu kerjakan? Sesungguhnya besar kemurkaan Allah lantaran kamu mengatakan apa yang kamu tidak kerjakan itu."

Setiap individu muslim harus menjadi contoh tauladan yang baik pada masyarakat. Keperibadian akan menarik orang bukan Islam untuk mendekati Islam. Di zaman Rasulullah s.a.w dan para sahabat, keperibadian mereka menjadi tarikan yang besar manusia memeluk agama Islam tetapi kini zaman yang cukup maju dan moden umat Islam dilabelkan dengan perkara-perkara yang tidak baik dan amat memalukan. Corak dan gambaran ini menyebabkan Islam dianggap agama yang sukakan keburukkan dan keganasan. Siapa yang perlu mengubah persepsi ini? Kita yang mengaku (mengucap dua kalimah syahadah) Tiada Tuhan Disembah Melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah yang wajib mengambil peranan dakwah ini. Corak dan gambaran prinsip yang perlu dibawa mestilah mengubah tanggapan buruk yang dibuat oleh orang bukan Islam tentang Islam itu sendiri. Setiap langkah dan perbuatan haruslah mengikut kehendak dan peraturan agama, agar ia dapat membentuk sikap dan pandangan yang sempurna tentang Islam Adeen.

" Di hari akhirat (qiamat) nanti akan diperlihatkan segolongan penghuni neraka kepada segolongan ahli syurga. Maka bertanya golongan ahli syurga itu kepada ahli neraka : Apakah sebabnya kamu dimasukkan ke dalam neraka, padahal kami telah dimasukkan ke dalam syurga lantaran tunjukajar kamu kepada kami? Jawab mereka : Adalah kami telah menyuruh orang berbuat baik sedangkan kami sendiri tidak melakukannya. Dan kami telah melarang orang daripada kejahatan tetapi kami sendiri telah membuatnya."

No comments:

Post a Comment