1.10.09

SPM Dah Dekat..

Peperiksaan Percubaan SPM sudah pun diduduki dan diketahui keputusannya oleh pelajar tingkatan 5. Berbagai -bagai perasaan dan harapan telah dilalui semasa membuat persiapan untuk menghadapi peperiksaan tersebut. Kini giliran untuk menghadapi peperikasaan SPM sebenar yang akan menjelang tidak lama lagi. Oleh yang demikian, pelajar masih sempat untuk memperbaiki dan menambahbaikan dalam usaha menuju kejayaan ini. Kejayaan yang diperolehi tidak akan dikecapi tanpa sokongan dan dorongan ibu bapa tersayang, guru-guru yang berdedikasi dan teman-teman yang sentiasa memberikan semangat. Nilai sebuah kejayaan adalah sangat berharga kerana ia memberi makna kepada semua guru-guru yang telah mengajar dan orang yang sentiasa memberikan dorongan dan semangat kepada anda untuk belajar.

Jalan menuju kejayaan dan kebahagiaan itu tidak ditaburi dengan bunga mawar yang mewangi melainkan onak dan duri. Sebenarnya tiada resepi khusus untuk berjaya kecuali kerja keras. Ia juga bergantung kepada keinginan murid untuk berjaya. Harus diingatkan bahawa seseorang itu perlu mempunyai disiplin dan motivasi diri untuk berjaya. Sikap malas harus dikikis dari jiwa murid-murid. Jangan sesekali menyalahkan orang lain atas kegagalan kita sendiri dan jangan putus asa apabila kita gagal. Semua murid harus cuba dan cuba lagi kerana menurut pujangga barat William A Ward, “kegagalan yang terbesar ialah kegagalan untuk mencuba”. Oleh itu saya ingin menasihati semua murid, supaya sedar akan kepentingan pelajaran sebelum terlambat. Anda masih mempunyai masa untuk merubah nasib. Janganlah, anda mensia-siakannya begitu sahaja.

Sesungguhnya masa itu amat berharga. Usahlah di sia-siakan peluang yang ada dengan melakukan perkara-perkara yang merugikan anda. Jika bijak menguruskannya, semuanya akan berjalan dengan lancar. Ini akan membantu mengatasi pelbagai tekanan dalam menghadapi peperiksaan. Mengulang kaji pelajaran setiap hari dan secara berterusan adalah amalan yang cukup berkesan. Waktu di dalam kelas juga, anda harus menumpukan sepenuh perhatian pada apa yang diajar oleh guru. Usahlah leka atau bersikap sambil lewa kerana masa itu adalah emas. Guru-guru ibarat ibu bapa di sekolah. Guru juga ingin melihat anda berjaya. Usahlah malu meminta bantuan guru jika menghadapi masalah dalam sesuatu pelajaran. Bak kata pepatah malu bertanya, sesat jalan. Bertanyalah pada guru-guru atau rakan-rakan yang lebih mahir .

Zaman remaja penuh pergolakan dan cabaran. Namun, atas dasar kesedaran tentang peri pentingnya pelajaran itu dan demi kejayaan masa hadapan, anda harus bijak memilih antara kaca atau permata. Setiap langkah harus diatur agar tidak kecundang. Jika pada saat ini anda dalam dilema atau masalah, janganlah jadikannya sebagai satu hambatan untuk anda berjaya. Lontarkanlah segalanya ke tepi buat seketika. Lihatlah di hadapan , masa hadapan yang bagaimana yang inginkan dipilih. Tepuk dada tanya selera. Segala-galanya terletak di tangan para pelajar.Tanamkanlah kesedaran dalam jiwa bahawa kamu juga boleh berjaya. Saya percaya dengan usaha yang gigih, sikap yakin dan disiplin serta doa insya Allah semua pelajar SMTK akan memperolehi keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan SPM nanti. Insyaallah.

No comments:

Post a Comment