6.12.09

Milikilah Akhlak Terpuji

Ibadah asas dan Fadhailul a'mal kalau dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh akan membuahkan akhlak yang mulia. Allah menilai ibadah seseorang itu pada akhlaknya. Jadi kalau banyak beribadah kepada Allah s.w.t maka bertambah baiklah akhlaknya.
Seorang sahabat bertanya Rasulullah s.a.w tentang seorang wanita yang sangat kuat beribadah, berpuasa di siang hari dan bertahajud di malamnya tetapi dia selalu menyakiti jirannya dengan lidahnya. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :

"Tidak ada kebaikan lagi pada wanita itu, bahkan dia menjadi penghuni Neraka."

Inilah tauladan yang perlu kita lihat, bahawa sekiranya kita ada mempunyai sifat-sifat yang dicela oleh Allah maka semua amal ibadah kita lakukan tidak akan diterima Allah. Dan disebut cerita bagaimana Rasulullah menyebut sebanyak tiga kali nama seorang pemuda yang bakal menjadi ahli Syurga.

Lalu, seorang sahabat pergi ke rumah pemuda itu untuk mengetahui apakah amalan yang dilakunya sehingga ia disebut oleh Rasulullah sebagai ahli Syurga. Dilihatnya pemuda itu tidaklah banyak ibadahnya kepada Allah tetapi hanya sedikit sahaja ibadah sunat disamping melaksanakan segala ibadah asas yang diwajibkan oleh Allah.

Setelah diselidiki barulah sahabat tahu bahawa pemuda itu tidak pernah berhasad dengki dengan orang lain, bahkan tidak terlintas olehnya untuk berburuk sangka pada orang lain. Inilah yang dikatakan akhlak yang mulia. Ibadahnya walaupun sedikit tetapi membuahkan akhlak yang mulia. Oleh itu pada pembaca yang budiman, jadikan setiap amal ibadah kita pada Allah adalah ikhlas dan sentiasa percaya bahawa setiap amalan kita di dunia akan mendapat pembalasan Allah s.w.t di akhirat kelak.

No comments:

Post a Comment