13.8.09

Sahabat

Kenangan ketika menuntut - 1990


Wahai sahabat-sahabatku,
Permata yang menyinari hidup adalah ilmu
tanpa sinarannya maka hanyutlah ia bagaikan dibawa arus
kita berkorban demi kebahagiaan
harapan tinggi menggunung seorang anak


Kini......
kita bakal merentas onak duri
meredah hutan-hutan kehidupan
yang pasti menjanjikan
pelbagai coretan

Namun aku tahu
ketabahan dan kesabaran
pasti membawa diri kita
ke mercu kejayaan

Sahabat....
pahit manis akan kita tempuhi
dalam mencari sebuah kejayaan
tunjuk ajar akan terus diberi
wang dan ringgit bukan taruhan

12.8.09

AQIDAH MUSLIM KIAN TERHAKIS

Setiap negara mempunyai peraturan dan perundangan sendiri. Apabila memasuki sesebuah negara kita mestilah bersedia patuh kepada semua peraturan dan perundangan negara tersebut.Biasanya orang akan patuh pada peraturan dan undang-undang sesebuah negara tetapi ada kalanya tidak.

Begitu juga dengan agama Islam, jika seseorang itu beragama Islam sama ada Islamnya keturunan dan baru memeluk Islam maka ia terikat atau tertakluk kepada undang-undang dan peraturan yang termaktub dalam al-Quran dan hadith.

Secara realitinya, kedudukan orang yang beragama Islam masa kini kian tergugat kerana pegangan terhadap Islam sendiri telah menjadi rapuh, lemah dan terhakis hasil daripada pengaruh unsur-unsur musuh Islam. Minda orang Islam mudah dijajah kerana kepentingan nafsu, kemewahan dunia, cita-cita peribadi dan mencampuradukkan pegangan bukan Islam di dalam kehidupan.

Allah berfirman bermaksud "Sesungguhnya agama (yang diredhai) di sisi Allah hanyalah Islam" (Surah Ali 'Imran - 3:19).

Kekuatan muslim kian terhakis dan lemah apabila perjuangan agama telah berpindah kepada perjuangan kebangsaan dan menjadi alat untuk mendapat sokongan.Oleh kerana kelemahan orang Islam itu sendiri maka kemelut aqidah muslim kian terhakisdan kini kebanyakannya menjadi Islam kulit atau Islam adat sahaja.

Nyata sekali, semakin ramai orang Islam mengenepikan tuntutan Islam dan dengan mudah menerima unsur-unsur yang menghancurkan pegangan aqidah orang Islam itu sendiri.

Semoga Allah s.w.t melindungi kita semua daripada gejala yang sedang melanda umat Islam kini. Amiin.

H1N1 - STIGMA MASYARAKAT

Sifat semulajadi manusia, apabila berlaku sesuatu wabak atau penyakit yang serius mereka menjadi kelam kabut. Sama ada disedari atau tidak, masyarakat kita sebenarnya jahil kenapa dan bagaimana penyakit itu boleh tersebar sehingga mereka ketakutan. Seperti penyakit selesema burung (JE) yang pernah melanda negara kita suatu masa dahulu, masyarakat hidup dalam ketakutan. Binatang yang disyaki pembawa wabak dibunuh dan dihapuskan. Itulah fitrah manusia, bila berlaku sesuatu barulah sedar dan memohon pertolongan Allah s.w.t.

Kenapa ini berlaku? Ini kerana banyaknya maksiat dan gejala tidak bermoral yang telah menjadi sebati dengan kehidupan sekarang ini. Tinggal dan menjauhi perintah Allah, syaitan menjadi sahabat karib.Manusia berlumba-lumba mencari harta dunia sehingga mengabaikan tanggunjawab dan suruhan Allah kepada mereka. Akibatnya, inilah yang kita hadapi sekarang. Firman Allah dalam surah AT-TAKAATSUR yang bermaksud :"Kamu (hai manusia) telah lalai dan alpa kepada Allah kerana kamu berlumba-lumba dari hal harta-benda dan anak-anak, pada hal kamu akhirnya meninggal dunia dan masuk ke dalam kubur dengan tiada membawa apa-apa. Nanti kamu bakal tahu dan melihat neraka serta dilemparkan kamu ke dalamnya. Di sana kamu diperiksa tentang nikmat Allah yang telah kamu peroleh dari-Nya".

Pada kedudukan sekarang H1N1 bukan sahaja menjadi isu kesihatan tetapi sudah menjadi isu nasional. Pemimpin negara mengistiharkan penyakit ini perlu diambil perhatian serius oleh kerajaan bagi mengurangkan kadar kematian yang membimbangkan.

Allah memberi masalah kepada kita untuk melihat bagaimana kita menangani masalah ini dengan baik. Adakah H1N1 ini dilihat hanya sebagai penyakit bermusim sahaja atau kita lihat inilah ujian dan peringatan Allah kepada manusia agar kembali kepada-Nya. Setiap musibah ada hikmahnya.

11.8.09

LIMA CARA PILIH SAHABAT

Pertama : pilihlah sahabat yang suka melindungi sahabatnya, dia adalah hiasan diri kita dan jika kita dalam kekurangan nafkah dia suka mencukupi keperluan.


Kedua : pilihlah seorang sahabat yang apabila engkau menghulurkan tangan untuk memberikan jasa baik atau bantuanmu, ia suka menerima dengan rasa terharu, jikalau ia melihat kebaikan yang ada pada dirimu, dia suka menghitung-hitungkan (menyebutnya)


Ketiga : pilihlah seorang sahabat yang apabila engkau menghulurkan tangan untuk memberi jasa baik atau bantuanmu, ia suka menerima dengan rasa terharu dan dianggap sangat berguna, dan jika ia mengetahui mengenai keburukan dirimu ia suka menutupinya.


Keempat : pilihlah sahabat yang jikalau engkau meminta sesuatu daripadanya, pasti ia memberi, jikalau engkau diam, dia menyapamu dulu dan jika ada sesuatu kesukaran dan kesedihan yang menimpa dirimu, dia suka membantu dan meringankanmu serta menghiburkanmu.


Kelima : sahabat yang jikalau engkau berkata, ia suka membenarkan ucapan dan bukan selalu mempercayainya sahaja. Jikalau engkau mengemukakan sesuatu persoalan yang berat dia suka mengusahakannya dan jika engkau berselisih dengannya, dia suka mengalah untuk kepentinganmu.


Dalam memilih sahabat kita hendaklah memilih sahabat yang baik agar segala matlamat dan hasrat untuk memperjuangkan Islam dapat dilaksanakan bersama-sama.

10.8.09

Derhaka Kepada Ibu Bapa

Pada suatu ketika dahulu, ada seorang anak bersama ibunya hidup dalam serba kekurangan. Mereka hidup dengan pencarian yang hanya sekadar cukup untuk dimakan sehari. Saban hari si anak akan membawa barangan untuk di niagakan. Pada suatu hari si anak ingin merantau bagi menambah pendapatan keluarganya. Dengan takdir Allah, pemuda itu berjaya di dalam peniagaannya dan menjadi kaya-raya. Si anak ini hidup dalam kesenangan yang tidak pernah dirasainya sebelum ini, tetapi malang dia lupa akan ibunya yang ditinggalkan di kampung. Dia lupa matlamatnya untuk membahagiakan ibunya yang miskin.

Si anak ini ingin mendirikan rumahtangga dan dia bertemu jodoh dengan pilihan hatinya yang merupakan seorang anak orang hartawan. Pada suatu masa, si anak kebetulan datang beniaga di tempat tumpah darahnya sendiri. Dia datang bersama isterinya yang tersayang dengan menaiki kapal. Maka tersiarlah berita kedatangan seorang peniaga yang kaya-raya di kawasan tersebut. Akhirnya khabar itu sampai kepada ibunya yang menyatakan peniaga yang kaya-raya itu adalah anaknya yang lama tidak pulang kepangkuannya. Menitis air mata ibu kegembiraan dan kerinduan pada anaknya yang tersayang. Bagi mengubat kerinduan pada anak yang tersayang si ibu bergegas menemui anaknya. Apa yang menyedihkan, si anak tidak mengaku kewujudan si tua di hadapannya itu adalah ibunya. Bahkan kata-kata kesat dan penghinaan dilemparkan kepada si ibu yang malang itu.

Sedih hati ibu, menangis ia mengenangkan perbuatan anak yang pernah dikandungnya itu sudah lupa akan asal usulnya. Nabi s.a.w ada menyatakan bahawa dosa-dosa yang lain memang dita'khirkan pembalasannya kepada seseorang, kecuali derhaka kepada ibu bapa :
"Semua dosa-dosa dilambatkan Allah (pembalasannya) sesuka-Nya sehingga Hari Kiamat, melainkan derhaka kepada ibu bapa, maka sesungguhnya Allah menyegerakan (balasan seksanya) bagi yang bersangkutan sewaktu hayatnya di dunia ini sebelum matinya." (Riwayat At-Thabaranii)

Diringkaskan cerita, si anak ini akhirnya diturunkan bala oleh Allah sehingga semua kekayaan dan keluarganya dihapuskan dalam keadaan dia tidak sempat untuk bertaubat dan memohon kemaafan kepada ibunya.

Di antara hadis Nabi mengenai penderhakaan kepada ibu bapa, Rasulullah s.a.w bersabda :"Tiada perbezaan antara orang derhaka kepada ibu bapanya dengan iblis di dalam neraka, melainkan satu darjat jua. Dan tiada bezanya juga antara orang yang berbuat bakti kepada kedua orang tuanya dengan manusia yang berada di syurga melainkan satu darjat pula, dan sekedudukan dengan para Nabi dalam syurga."

Kemuliaan Orang Yang Berilmu

Pada tanggal 6 hb Ogos baru-baru AJK Masjid telah mengadakan mesyuarat bulanan. Satu perkara yang menarik yang disentuh adalah mengenai satu keluarga yang sekian tahun menghadapi krisis rumahtangga sehingga membawa kepada lafaz perceraian talak tiga. Pada ketika itu saksinya adalah imam dan beberapa orang lagi yang masih hidup ketika ini.Selepas peristiwa itu, keluarga ini telah berhijrah di satu kawasan yang agak jauh dari kampung ini. Selang beberapa tahun mereka muncul semula dan tinggal serumah seperti tidak ada apa yang berlaku sebelum ini sehingga melahirkan anak.

Kini timbul kembali, apabila saksi mempertikai tentang status keluarga tersebut yang tinggal serumah. Apabila pengurusan masjid memaklumkan kepada pihak agama maka keluarga tersebut perlu dipisahkan kerana kejahilan dalam ilmu agama. Inilah akibatnya mereka yang tidak pernah langsung untuk memikirkan atau memantapkan ilmu ke jalan Allah s.w.t.

Sesungguhnya ilmu dalam Islam berada di tahap tertinggi mengatasi segala-galanya. Dengan ilmu lahirlah aqidah keimanan dalam diri yang merupakan asas penting dalam membina kehidupan seharian.

Imam al Ghazali dalam kitabnya Ihya Ulunuddin menyebut :"Seorang yang berilmu dan kemudian bekerja dengan ilmunya itu ibarat minyak kasturi yang baunya dinikmati orang lain dan ia sendiri pun harum.

Mudah-mudahan dapat sekiranya membawa keinsafan kepada diri kita supaya bergiat dalam mencari jalan keredhaan Allah s.w.t serta menjauhi perkara yang dilarang-Nya.

Insya Allah

5.8.09

TEGURAN KE JALAN ALLAH

Mengajak masyarakat untuk melaksanakan perintah Allah dan meninggalkan perkara yang dilarang adalah satu tugas yang perlu dilakukan oleh setiap orang beragama Islam. Kita yang berada sebahagaian dari lingkungan arena Islam, seharusnya turut serta dalam memikul tugas dan amanah ini. Firman Allah s.w.t yang bermaksud :

"Dan hendaklah ada di antara kamu suatu golongan yang mengajak orang berbuat baik, menyuruh mereka mengerjakan kebaikan dan melarang mereka dari berbuat yang tidak baik dan hanya mereka itulah orang-orang yang betul-betul beruntung" (Surah Al-Imran :104)

"Dan tidak ada orang yang lebih baik kata-katanya dari seorang yang mengajak manusia ke jalan Allah dan beramal soleh, dan berkata : Sesungguhnya aku termasuk golongan kaum Muslimin" ( Q.S Fusshilat :33)

"Oleh sebab itu, ajaklah mereka itu ke jalan Allah, dan tetaplah pendirianmu sebagaimana yang diperintahkan kepadamu, dan janganlah engkau mengikuti kemahuan mereka" (Surah As-Syuuraa : 15)

"Dan ajaklah manusia ke jalan Tuhanmu, sesungguhnya engkau benar-benar berada di atas petunjuk yang lurus." ( Surah Al-Hajj : 67)

Itulah sekelumit ayat yang mendorong kita untuk berdakwah. Persoalannya sejauh mana kita telah melakukannya dan berusaha melaksanakan pembangunan masyarakat Islam yang sebenar-benarnya...! Adakah peranan dan tugas ini perlu dipikul oleh orang lain?

Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud:

"Barang siapa di antara kamu melihat suatu kemungkaran, maka hendaklah ia melarang dan tegur dengan tangannya, kalau tidak sanggup maka hendaklah ia melarangnya dengan lidah dan kalau tidak sanggup maka dengan hatinya dan itulah selemah-lemah iman. Dan tidak ada lagi keimanan di belakangnya, walaupun hanya sebesar biji bayam." (Riwayat Muslim)

Cubalah muhasabah diri dan renungilah tugas dan tanggungjawab ini. Setiap amalan dan perbuatan kebaikan yang dilakukan akan dibalas dengan kebaikan oleh Allah s.w.t. Dalam hal ini, sama-samalah kita saling nasihat menasihati dalam menegak kebenaran dan bersabar dalam mengajak sahabat-sahabat kita ke jalan Allah s.w.t. Ini adalah amanah Allah kepada kita dan kita harus melaksanakannya meskipun ianya amat sukar dilakukan.

30.7.09

HATI SEORANG IBU


Islam amat memuliakan ibu. Justeru , Allah s.w.t telah mewajibkan anak-anak memuliakan dan menghormati ibu sekalipun berlainan pegangan agama. Allah s.w.t secara tegas mengharamkan segala bentuk penderhakaan kepada kedua-dua orang tua selagi ibu bapa berada atas landasan syarak. Ini ditegaskan oleh Allah s.w.t dalam firman-Nya yang bermaksud :

"Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada keduanya sekalipun perkataan 'ah' dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi katalah kepada mereka perkataan mulia." (Surah al-Israa' :23)

Fahamilah ibu bapa adalah perantara yang menyebabkan kita berada di dunia ini. Mereka terlalu berkorban tenaga, masa dan harta demi kebahagiaan anak-anak. Sedarilah bahawa jasa ibu bapa tidak boleh ditukar ganti dengan kemewahan atau kebendaan. Gembirakanlah mereka kerana sesungguhnya jasa dan pengorbanan ibu bapa amat besar dan tidak mungkin dapat dibalas.

Imam Bukhari telah meriwayatkan sebuah kisah daripada Said bin Abi Burdah tentang seorang lelaki Yaman yang bertawaf sambil mendukung ibunya dengan penuh cermat. Sesudah selesai tawaf, beliau bertanya kepada Ibnu Umar : Apakah dengan khidmat dan pengorbananku ini telah dapat membalas jasa bakti ibuku?. Jawab Ibnu Umar : Tidak, apa yang telah kamu lakukan tadi tidak akan dapat menebus jasa ibumu sekalipun sekadar hembusan nafas ketika kesakitan melahirkan kamu.

Janganlah kita sesekali menderhaka kepada ibu bapa kerana perbuatan seperti itu akan mendatangkan kecelakaan di dunia dan di akhirat. Hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud :
"Amat malanglah! Dan amat malanglah. Maka Rasulullah ditanya : Siapakah orang yang amat malang itu wahai Rasulullah ? Baginda menjawab : Seseorang yang mendapati kedua ibu bapanya atau salah seorang daripada keduanya telah tua namun dia masih gagal memasuki syurga ( lantaran gagal berkhidmat kepada mereka )."

29.7.09

RINDU AKAN KEBENARAN

Dalam mengharungi liku-liku kehidupan ini, aku terlalu rindukan kepastian dalam menghadapi berbagai masalah terutama mengenai hukum dan bentuk amal ibadat yang sebenar. Mungkin kita tertanya-tanya mengapa orang turut mengambil bahagian dalam masaalah khilafiyah dalam masyarakat? Padahal Islam diturunkan oleh Allah bukan untuk menyusahkan hamba-Nya, tidak untuk diperdebatkan sehingga membawa bencana. Kita tahu bahawa Islam adalah agama yang membawa kepada kedamian dan ketenteraman jiwa. Mengapa kini kita sering mendengar dan melihat percanggahan pendapat dikalangan ulama sehingga mengelirukan masyarakat Islam.

Dalam hal ini, kita jangan bertaklid membuta tuli sahaja, yakni menerima apa sahaja yang disampaikan oleh ulama-ulama tanpa memeriksa sumber dan alasan-alasannya dari Al-Quran dan Sunnah.

Perhatikanlah peringatan dari Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Abu Daud dari Irbaadl Bin Saariyah iaitu sabda Rasulullah s.a.w :"Sesungguhnya siapa yang akan hidup daripada kamu dibelakangku, maka dia akan melihat pendapat yang berlain-lainan di antara ahli agama maka diwaktu itu hendaklah kamu memperhatikan Sunnahku dan Sunnah para sahabatku yang benar-benar dapat petunjuk dan hendaklah kamu berpegang teguh kepada Sunnah itu dan jangan dilepaskannya".

Dalam Surah An-Nisa' : ayat 59

"Jika kamu berselisih, berlain pendapat maka kembalilah kepada Allah dan Rasul-Nya, iaitu kepada al-Quran dan Sunnah" Kepada ilmuan agama yang bijak pandai cuba perhatikan firman Allah SWT yang bermaksud :
"Allah menghendaki kelonggaran bagimu dan tidak menghendaki kesempitan bagimu"

Selanjutnya Rasulullah s.a.w bersabda :

"Permudahkan dan jangan kamu sukarkan dan Allah menyukai keringanan dan kemudahan bagi manusia"

Marilah kita sama-sama mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan iklas dan bersungguh-sungguh, semoga amal ibadat yang kita lakukan akan diterima oleh Allah. Alangkah baiknya kita membicarakan perkara-perkara yang boleh menambah dan menguatkan keimanan kita kepada Allah dari membicarakan pemasalahan furu' (cabang) bukan masaalah pokok.

RAMADHAN KU TUNGGU KETIBAANMU




Firman Allah bermaksud :

“Bulan Ramadhan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi pertunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan pertunjuk, dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah”
(S.al-Baqarah :185)


Ramadhan kini kau tiba lagi bagi mentarbiah diriku menjadi penyabar, kuat beribadat, penyayang, dermawan hatta bertaqwa kepada-Mu ya Allah. Kesempatan bersua denganmu Ramadhan aku memperhambakan diriku kepada-Mu ya Allah, Yang Maha Esa dengan melaksanakan segala perintah dan meninggalkan larangan-Mu.

Kesempatan bersua denganmu Ramadhan, inginku singkapkan peristiwa bersejarah dan bermakna bagi seluruh umat manusia, iaitu peristiwa nuzul al-Quran pada malam Jumaat, 17 Ramadhan tahun ke-41. Turunnya al-Quran telah mengubah manusia dari zaman jahiliah yang dipenuhi kegelapan kini disinari cahaya, dari kesesatan kepada kebenaran, hidup bertuhankan hawa nafsu kepada hidup bertuhankan Allah SWT.

“Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah dan Tuhanmulah Yang Maha Mulia yang mengajarkan (manusia) dengan perantaraan qalam. Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya”.
(S.al_Alaq :1-5)


Ya Allah, sesungguhnya ada masanya hatiku tergoda dengan keduniaan, aku memohon keampunan-Mu Ya Allah kiranya dosa-dosa itu menghindarkan aku dari berada di bawah naungan dan rahmat-Mu.Sabda Rasulullah s.a.w : "Tatkala Allah mencipta makluk-Nya sewaktu berada di Arsy, Dia mencatit di dalam kitab-Nya : Sesungguhnya RahmatKu mendahului Kemurkaanku"
Riwayat Muslim


Wahai sahabatku, adakah kita tidak memikirkan atau sama sekali telah lupa dosa yang kita telah lakukan? Lupakah kita tentang kebenaran Hari Pembalasan dan adakah sekali melakukan dosa maka selama-lamanya tercatat sebagai penghuni neraka?


Wahai sahabat, Ramadhan tahun inilah peluang kita untuk berubah untuk kembali kepada Allah yakni kembali kepada jalan hidup yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Jangan kita menyesali sesuatu perbuatan itu hanya setakat lafaz dimulut sahaja. Sebaliknya ia merupakan satu pertukaran sikap dan pendirian (hijrah) dalam hidup kita.


Oleh yang demikian, berubahlah untuk kebaikan dan kebahagian kita di dunia serta akhirat. Riwayat Imam Thabarani : Ikutilah keburukan dengan kebaikan maka kebaikan akan menebus keburukan tadi. Anas menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda : "Setiap cucu Adam melakukan dosa, dan orang berdosa yang paling baik ialah mereka yang selalu bertaubat". Bertaubatlah sebelum kita dijemput Allah buat selama-lamanya.Sesal dahulu pendapatan sesal kemudian tidak berguna.


Salam Ramadhan