10.8.09

Derhaka Kepada Ibu Bapa

Pada suatu ketika dahulu, ada seorang anak bersama ibunya hidup dalam serba kekurangan. Mereka hidup dengan pencarian yang hanya sekadar cukup untuk dimakan sehari. Saban hari si anak akan membawa barangan untuk di niagakan. Pada suatu hari si anak ingin merantau bagi menambah pendapatan keluarganya. Dengan takdir Allah, pemuda itu berjaya di dalam peniagaannya dan menjadi kaya-raya. Si anak ini hidup dalam kesenangan yang tidak pernah dirasainya sebelum ini, tetapi malang dia lupa akan ibunya yang ditinggalkan di kampung. Dia lupa matlamatnya untuk membahagiakan ibunya yang miskin.

Si anak ini ingin mendirikan rumahtangga dan dia bertemu jodoh dengan pilihan hatinya yang merupakan seorang anak orang hartawan. Pada suatu masa, si anak kebetulan datang beniaga di tempat tumpah darahnya sendiri. Dia datang bersama isterinya yang tersayang dengan menaiki kapal. Maka tersiarlah berita kedatangan seorang peniaga yang kaya-raya di kawasan tersebut. Akhirnya khabar itu sampai kepada ibunya yang menyatakan peniaga yang kaya-raya itu adalah anaknya yang lama tidak pulang kepangkuannya. Menitis air mata ibu kegembiraan dan kerinduan pada anaknya yang tersayang. Bagi mengubat kerinduan pada anak yang tersayang si ibu bergegas menemui anaknya. Apa yang menyedihkan, si anak tidak mengaku kewujudan si tua di hadapannya itu adalah ibunya. Bahkan kata-kata kesat dan penghinaan dilemparkan kepada si ibu yang malang itu.

Sedih hati ibu, menangis ia mengenangkan perbuatan anak yang pernah dikandungnya itu sudah lupa akan asal usulnya. Nabi s.a.w ada menyatakan bahawa dosa-dosa yang lain memang dita'khirkan pembalasannya kepada seseorang, kecuali derhaka kepada ibu bapa :
"Semua dosa-dosa dilambatkan Allah (pembalasannya) sesuka-Nya sehingga Hari Kiamat, melainkan derhaka kepada ibu bapa, maka sesungguhnya Allah menyegerakan (balasan seksanya) bagi yang bersangkutan sewaktu hayatnya di dunia ini sebelum matinya." (Riwayat At-Thabaranii)

Diringkaskan cerita, si anak ini akhirnya diturunkan bala oleh Allah sehingga semua kekayaan dan keluarganya dihapuskan dalam keadaan dia tidak sempat untuk bertaubat dan memohon kemaafan kepada ibunya.

Di antara hadis Nabi mengenai penderhakaan kepada ibu bapa, Rasulullah s.a.w bersabda :"Tiada perbezaan antara orang derhaka kepada ibu bapanya dengan iblis di dalam neraka, melainkan satu darjat jua. Dan tiada bezanya juga antara orang yang berbuat bakti kepada kedua orang tuanya dengan manusia yang berada di syurga melainkan satu darjat pula, dan sekedudukan dengan para Nabi dalam syurga."

No comments:

Post a Comment