22.8.09

Hakikat Cinta

Jatuh yang tidak ada orang simpati ialah jatuh cinta. Tidak ada seorang manusia pun yang dapat melarikan diri daripada menvintai dan dicintai. Sebagai seorang hamba yang beragama Islam cinta yang terpenting adalah mencintai Allah dan Rasul.

"Siapa yang tidak cinta pada Allah, nescaya hidupnya kosong, hati mesti diisi dengan cinta. Sedangkan dunia yang dicintai sering lari meninggalkan kita"

Cinta yang bagaimana boleh membawa seseorang ke syurga dan kenapa ada yang masuk neraka kerana cinta? Cinta adalah suatu rasa yang berada di dalam hati yang tidak boleh disukat. Hati yang merasainya, sehingga boleh terhibur atau terseksa kerananya. Cinta ini datang dari dua sumber iaitu nafsu dan juga dari Allah.

Cinta yang diilhamkan oleh nafsu berlaku bila hati telah dikotori, yakni manusia sering melakukan dosa dan tidak bertaubat. Sifat-sifat buruk seperti sombong, ego, pemarah, hasad dengki dan sebagainya yang telah bersarang di lubuk hati itu. Hati-hati ini pula tidak pernah dibersihkan dengan taubat atau ibadat pada Allah menyebabkan nafsu menjadi Tuhan dalam diri sehingga apa sahaja yang dilakukan mengikut arahan nafsu.

Apabila nafsu telah mempengaruhi manusia maka manusia akan menjadi rosak dan gara-gara cinta nafsu ini akan menyusahkan manusia di dunia ini. Oleh itu marilah kita mencintai Allah kerana ini cinta sebenar. Mencintai Allah adalah cinta sebenar, suci lagi murni kerana cinta ini bukan diukur mengikut pandangan mata manusia.

Ia bersebab kerana Allah. Cinta diberipun untuk mendapat keredhaan Allah. Cinta ini tiada batasannya. Tidak pula kenal jantina aatau kedudukan. Cinta lahir hasil dari sama-sama cinta kepada Allah. Kasih sayang terjalin adalah kerana Allah semata-mata, tidak lebih dari itu.

Firman Allah yang bermaksud :

" Hai orang-orang beriman! Barang siapa yang murtad (kembali daripada agamanya Islam) nanti Allah mendatangkan satu kaum, Allah kasih (cinta) kepada mereka dan mereka kasih kepada Allah. Mereka berkasih sayang sama-sama orang beriman dan keras kepada orang-orang kafir. Mereka berjuang pada jalan Allah dengan tidak takut akan cercaan orang. Demikian itu kurnia Allah, diberikannya kepada orang yang dikehendaki-Nya. Allah luas kurnia-Nya, lagi Mengetahui." (Surah Al-Maidah : 54)

No comments:

Post a Comment