13.8.09

Nasihat seorang rakan

Bersyukur kita kehadrat Allah s.w.t kerana menemukan kita diruang penulisan saya ini. Marilah kita sama-sama menganggap pertemuan ini satu pertemuan yang tidak mahu dipisahkan lagi kerana kita mempunyai matlamat hidup yang sama iaitu mencari keredhaan Allah s.w.t.

Sahabat......sebenarnya manusia itu lemah dan tidak berdaya (lekeh), tetapi ramai manusia tidak sedar. Mereka jahil terhadap mereka sendiri dan akibatnya mereka berlagak sombong, cakap besar dan takabur. Buktinya nyata sekali, sakit kepala terkena hujan atau tersalah makan. Kadang-kadang demam dan ada kala menjadi lelah.Terantuk sedikit sudah binjul, tersepak sedikit sudah luka. Kadangkala tidak makan sedikitpun sudah letih, tak larat sehingga kaki tidak berdaya untuk melangkah. Otak tak berdaya hendak memikir dan belajar. Semuanya bersebab dan tidak pernah terfikir siapa yang menghadirkan musibah itu.

Manusia juga mudah merajuk, menangis dan susah hati apabila mendapat musibah atau berita yang tidak disenangi. Manusia mudah sasau, mereng, gila dan putus asa. Kadang kala membawa kepada bunuh diri (na'uzubillah). Masih menyalahkan itu dan ini , tanpa mampu mempercayai qada dan qadar Allah.

Wahai sahabatku, saya huraikan sedikit petikan dari Majmuk Rasail As-Syahid Al-Iman Hassan Al Banna. As-Syahid Hassan Al Banna berkata adakah orang-orang Islam telah melakukan atau mempraktik apa ada di dalam Al-Quran tentang aqidah dan faham akan matlamat Allah jadikan manusia di mukabumi ini? Apakah mereka itu mempraktik undang-undang Allah dalam kehidupan, bermasyarakat dan segala sesuatu pekerjaan mereka sehari-hari?

Tepuk dada tanya selera, adakah kita melaksanakan seperti yang disarankan. Kita manusia terlalu lemah dalam berbagai aspek maka sedarlah kerana manusia akan kembali kepada penciptanya juga.Oleh itu, apa persediaan atau bekalan yang akan kita bawa untuk perjalanan ke akhirat. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :"Beramallah kamu dengan ketaatan dan takutlah kamu perkara-perkara maksiat kepada Allah s.w.t dan jauhi larangan-Nya. Demikian itu adalah pemeliharaan diri mereka dari api neraka"

Dengan itu insaflah kita, sedarlah kita dan beringatlah kita. Jangan sombong.Jangan takbur. Berdoalah dan berzikirlah selalu.Moga-moga kita diizinkan sihat dan dipanjangkan umur untuk terus beribadat dengan ikhlas kepada Allah dan supaya kita menjadi hamba Allah yang benar-benar bahagia di dunia ini dan di akhirat, Insyaallah.

No comments:

Post a Comment