28.8.09

Aku Mesti Hidup Dalam Islam

Penggabungan diri dalam Islam mewajibkan supaya semua tindakan dalam kehidupan berlandaskan cara Islam. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
" Sesungguhnya ilmu itu hanya didapati dengan belajar dan kefahaman itu didapati dengan mendalami sesuatu, barang siapa yang dikehendaki Allah (mendapat) kebaikan, Allah akan memberikannya kefahaman tentang deen". Diriwayatkan oleh Imam Tabarani

Siapa kata cara Islam menyusahkan penganutnya? Cuba kita fikirkan, Islam telah mengubah kehidupan zaman masyarakat jahiliah dahulu. Hidup berlandaskan akal dan hawa nafsu, tiada peraturan dan panduan untuk hidup. Manusia menjadi keliru dan menyusahkan kehidupan masa itu.

Kini Islam telah berkembang diseluruh pelusuk dunia. Marilah kita sama-sama hidup dengan cara Islam yang sebenar. Kita mesti berpegang teguh dengan Islam kerana untuk mendapat kelazatan beragama mestilah beriman. Iman itu bukannya angan-angan tetapi iman adalah sesuatu yang termatri di dalam hati dan dibuktikan kebenarannya oleh amalan. Kita wajib berusaha membina diri sebagai individu muslim, rumahtangga muslim, masyarakat muslim dan negara Islam.

Untuk hidup dalam Islam, kita mestilah beriltizam dengan bersungguh-sungguh mempelajari agama dan menegakan amar ma'ruf nahi mungkar.Kita mestilah rela menyerahkan segala keupayaan dan kemampuan kita demi untuk keagungan dan keutuhan Islam.

"Dan siapakah yang lebih baik perkataannya dari orang yang menyeru kepada Allah dan beramal soleh dan berkata , sesungguhnya aku adalah dari golongan muslimin." (Surah Fusilat :33)

Kita patut bersyukur kerana menerima Islam cara mudah (keturunan). Jika kita lihat pengorbanan Rasulullah s.a.w dan para sahabat dalam menyebar dan menegakan agama Allah ini amat pahit dan sengsara. Semua ini telah berjaya dicapai, merekalah merupakan model terbaik untuk kita jadikan panduan dan ikutan. Sama-samalah kita berusaha untuk memastikan jalan hidup menepati ikrar janji kita pada Allah s.w.t.

"Sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku hanya untuk Allah, Tuhan semesta alam." (Surah Al-An'aam : 162)

No comments:

Post a Comment