15.8.09

LAMBAIAN RAMADHAN AL KARIM

Amalan berpuasa diperintah sejak tahun 2 H dan ia datang kembali 1430 H.Ramadahan akan datang dan pergi tetapi kita manusia adakah kita tahu 1431 H dapat kita bertemu lagi dengan Ramadhan. Rindunya dengan kedatangan Ramadhan kerana bulan ini bukanlah asing bagi umat Islam dan mereka yang cintakan bulan yang penuh kerahmatan dan keberkatan ini sememangnya menunggu-nunggu akan ketibaannya.Di dalam bulan Ramadhan, umat Islam diwajibkan menunaikan ibadah puasa, sejajar dengan firman Allah S.W.T di dalam Al Quran Surah Al-Baqarah, ayat 183-184 seperti berikut:


Maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman, kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu supaya kamu bertaqwa. Puasa itu diwajibkan dalam beberapa hari tertentu. Maka sesiapa di antara kamu yang sakit atau dalam musafir (bolehlah ia berbuka) maka hendaklah ia digantikan dengan hari-hari lain."Sabda Nabi Muhammad S.A.W. yang bermaksud:

"Bahawa bulan Ramadhan itu adalah bulan yang diberkati Allah. Bulan yang mengandungi Lailatulqadar, yang lebih baik daripada seribu bulan. Bulan yang diwajibkan Allah ke atas hamba-Nya supaya berpuasa supaya bangun di malam hari untuk melakukan ibadah sunat. Sesiapa yang mengerjakan ibadah sunat dalam bulan ini, maka pahalanya sama dengan mereka yang mengerjakan fardhu di bulan lain."

"Agama Islam itu terbina dengan lima asas iaitu, membuat pengakuan bahawa tiada Tuhan yang lain, melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu persuruh-Nya, mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, berpuasa di bulan Ramadhan dan mengerjakan haji di Baitullah."

"Semua amal kebajikan anak Adam itu untuk mereka sendiri kecuali puasa, kerana puasa itu dilaksanakan untuk Aku semata-mata dan Aku akan membalasnya. Sebenarnya puasa itu sebagai perisai. Apabila seseorang itu berpuasa maka janganlah ia bercakap kotor dan sekiranya ia dimaki maka hendaklah ia berkata: aku berpuasa, aku puasa sebanyak dua kali. Demi Allah sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa itu lebih harum di sisi Allah dari bau kasturi. Orang yang berpuasa itu akan mendapat dua kegembiraan iaitu ketika berbuka dan ketika bertemu dengan Allah (di akhirat)."

"Apabila tiba bulan pertama Ramadhan, syaitan dan jin yang jahat dibelenggu dan tertutup semua pintu neraka dan terbuka semua pintu syurga dan pada setiap malam ada seruan: Wahai orang-orang yang ingin baik, majulah; wahai orang yang ingin jahat, hentikanlah dan Allah memendekkan beberapa banyak daripada api neraka dan yang demikian itu pada setiap malam."

"Setiap manusia akan mendapat kebaikan selama mereka itu menyegerakan berbuka puasa dan melewatkan sahur."

"Ramadhan bulan yang diwajibkan Allah puasa-Nya dan aku mencontohkan kepada kamu agar bangun sembahyang malam; maka siapa yang berpuasa dan bersembahyang malam, benar-benar kerana iman dan mengharapkan pahala daripada Allah akan keluar daripada dosa-dosanya bagaikan keadaan ketika dilahirkan daripada perut ibu."

"Orang yang zikir (ingat) kepada Allah pada Ramadhan akan diampunkan baginya dan orang yang meminta daripada Allah di dalamnya (Ramadhan) tidak akan kecewa."

Ramadhan juga dikaitkan dengan bulan kesabaran kerana orang-orang yang berpuasa bukan sahaja dituntut meninggalkan makan dan minum tetapi juga menghindari daripada melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa termasuk menjauhi hubungan kelamin sesama suami isteri pada siang hari. Kerana itu, sifat-sifat sabar sahaja yang menjamin kesempurnaan orang-orang Islam menunaikan puasa sebulan Ramadhan.Sebagai ganjaran kepada kesabaran itu, Allah berfirman di dalam Surah An-Nahl ayat 96 iaitu:
Maksudnya, "Dan sesungguhnya Kami akan memberikan kepada orang-orang yang sabar dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan."

Yang Tersirat Di Sebalik Ramadhan dan Puasa*

  • Berdasarkan ayat-ayat al-Quran dan hadis, puasa Ramadhan mempunyai banyak kelebihan, hikmat atau fadhilat. Antaranya ialah:
  • Pintu neraka ditutup: Apabila seseorang itu benar-benar berpuasa, zahir dan batin serta puasanya itu menyekat dirinya daripada melakukan maksiat dan kejahatan.
  • Pintu syurga dibuka: Peluang yang besar bagi seseorang melakukan amalan kebajikan yang boleh membawa kejayaan akhirat, menambah ketaqwaan kepada Allah dan setiap amalan kebajikan diberi ganjaran yang banyak.
  • Syaitan dikurung: Apabila seseorang berpuasa, syaitan dan iblis tidak mempunyai peluang untuk menggoda dan menghasut manusia melalui hawa nafsu kerana puasa merupakan perisai yang dapat menangkis sebarang hasutan dari syaitan.
  • Malam Lailatulqadar: Salah satu kelebihan yang Allah berikan untuk umat Islam dalam bulan Ramadhan ialah malam Lailatulqadar. Ini bererti sesiapa yang beribadat pada malam-malam tersebut digandakan pahala dan ganjaran yang amat tinggi di sisi Allah.


Sementara itu dalam kegembiraan menyambut Ramadhan, fahamilah sejelas-jelasnya akan hakikat dan falsafah puasa yang tersirat. Kefahaman ini bukan sahaja membantu kita menjalani ibadah tetapi dapat menunaikan puasa dengan sempurna. Antaranya ialah:


1. Menjadikan seseorang muslim itu lebih bertaqwa kepada Allah berdasarkan firman Allah dalam Surah al-Baqarah, ayat 183 seperti di atas dan melalui ayat 13, Surah al-Hujarat yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah ialah orang-orang yang bertaqwa."
Melatih manusia supaya bersabar menghadapi kesusahan atau bencana, penderitaan dan juga cabaran-cabaran hidup. Kehidupan manusia memang sentiasa dirundung cabaran dan ujian-ujian Allah. Menegaskan mengenai cabaran di dunia, Allah s.w.t menegaskan di dalam ayat 155, Surah al-Baqarah:

Maksudnya, "Demi sesungguhnya kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut dan kelaparan, kekurangan harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar."

2. Melahirkan muslim yang amanah yang merupakan sifat yang tinggi nilainya. Puasa melatih manusia dengan sifat-sifat amanah kerana tanpanya puasa akan menjadi batal atau tidak sempurna. Jika begitu, sia-sia sahaja seseorang itu berpuasa dan tiada faedahnya menahan lapar dan dahaga.
Melahirkan perasaan insaf dan belas kasihan serta bertimbang rasa. Hanya orang yang berpuasa sahaja dapat memahami atau mengetahui kesengsaraan orang-orang miskin yang lapar dan dahaga. Melalui keinsafan, diharapkan seseorang Muslim itu tidak keberatan untuk memberi bantuan, sedekah atau sumbangan kepada golongan yang tidak berada. Amal jariah sememangnya dituntut di dalam Islam.


Sebagai senjata menahan manusia daripada melakukan maksiat dan kemungkaran. Tiada ertinya seseorang itu berpuasa tetapi pada masa yang sama melakukan perkara-perkara keji dan mungkar walaupun hanya melalui kata-kata. Sebab itu Rasulullah s.a.w berpesan: "Puasa itu sebagai perisai dan apabila seseorang itu berpuasa maka janganlah ia bercakap kotor, jangan menjerit-jerit serta jangan berlaku bodoh..."

Kesimpulannya, terdapat pelbagai falsafah yang tersirat di sebalik bulan Ramadhan yang hadirnya sekali setahun. Justeru itu, hayatilah pesanan Rasulullah s.a.w melalui sebuah hadisnya yang bermaksud:"Ramai di kalangan umatku yang berpuasa tetapi tiada mendapat apa-apa kecuali lapar dan dahaga."



SUMBER: http://sgpinang.masjid.net.my

NOTA: Segala khasiat yang diperturunkan oleh fadilat di atas tidak akan berlaku tanpa izin Allah. Oleh itu carilah keredaan Allah dengan melaksanakan perintahNya serta menjauhi segala laranganNya di samping berikhtiar dengan sesungguh hati.

"SELAMAT MENUNAIKAN IBADAH PUASA"

14.8.09

PERMATA YANG TIDAK TERNILAI



Anak adalah penyambung zuriat dan amanah yang perlu dipikul oleh stiap ibubapa. Ibubapa mestilah sedar bahawa anak-anak itu adalah di bawah tanggungjawab mereka untuk menghasilkan kualiti seorang mukmin yang sejati. Jika ibubapa tahu mendidik dan mengasuh mereka dengan pengetahuan dan akhlak yang baik, mereka akan hidup bahagia apabila besar nanti. Ibubapa akan mendapat pahala melalui amalan-amalan baik yang dilakukan oleh anak-anak. Sebaliknya kalau anak-anak dibiarkan melakukan kemungkaran dan tidak diberikan didikan yang sempurna, mereka akan rugi . Sengsaralah hidup mereka akibat daripada perbuatan mereka itu, ibubapa akan menanggung dosanya sama.


Oleh sebab itu, tanggungjawab ibubapa dalam mendidik anak-anak amat penting kerana mereka adalah aset yang sangat bernilai untuk ibubapa disisi Allah s.w.t sebagaimana Rasulullah s.a.w bersabda :


"Apabila meninggal seseorang manusia maka terputuslah segala amalannya melainkan tiga perkara ; sedekah jariah, ilmu yang memberi manafaat dan anak yang soleh yang mendoakan kedua ibubapanya"


Peliharalah anak-anak dengan memberi didikan agama yang mencukupi kerana melalui pendidikan dapat membentuk dan mendidik anak-anak menjadi insan yang taat dan patuh pada perintah Allah.

13.8.09

Nasihat seorang rakan

Bersyukur kita kehadrat Allah s.w.t kerana menemukan kita diruang penulisan saya ini. Marilah kita sama-sama menganggap pertemuan ini satu pertemuan yang tidak mahu dipisahkan lagi kerana kita mempunyai matlamat hidup yang sama iaitu mencari keredhaan Allah s.w.t.

Sahabat......sebenarnya manusia itu lemah dan tidak berdaya (lekeh), tetapi ramai manusia tidak sedar. Mereka jahil terhadap mereka sendiri dan akibatnya mereka berlagak sombong, cakap besar dan takabur. Buktinya nyata sekali, sakit kepala terkena hujan atau tersalah makan. Kadang-kadang demam dan ada kala menjadi lelah.Terantuk sedikit sudah binjul, tersepak sedikit sudah luka. Kadangkala tidak makan sedikitpun sudah letih, tak larat sehingga kaki tidak berdaya untuk melangkah. Otak tak berdaya hendak memikir dan belajar. Semuanya bersebab dan tidak pernah terfikir siapa yang menghadirkan musibah itu.

Manusia juga mudah merajuk, menangis dan susah hati apabila mendapat musibah atau berita yang tidak disenangi. Manusia mudah sasau, mereng, gila dan putus asa. Kadang kala membawa kepada bunuh diri (na'uzubillah). Masih menyalahkan itu dan ini , tanpa mampu mempercayai qada dan qadar Allah.

Wahai sahabatku, saya huraikan sedikit petikan dari Majmuk Rasail As-Syahid Al-Iman Hassan Al Banna. As-Syahid Hassan Al Banna berkata adakah orang-orang Islam telah melakukan atau mempraktik apa ada di dalam Al-Quran tentang aqidah dan faham akan matlamat Allah jadikan manusia di mukabumi ini? Apakah mereka itu mempraktik undang-undang Allah dalam kehidupan, bermasyarakat dan segala sesuatu pekerjaan mereka sehari-hari?

Tepuk dada tanya selera, adakah kita melaksanakan seperti yang disarankan. Kita manusia terlalu lemah dalam berbagai aspek maka sedarlah kerana manusia akan kembali kepada penciptanya juga.Oleh itu, apa persediaan atau bekalan yang akan kita bawa untuk perjalanan ke akhirat. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :"Beramallah kamu dengan ketaatan dan takutlah kamu perkara-perkara maksiat kepada Allah s.w.t dan jauhi larangan-Nya. Demikian itu adalah pemeliharaan diri mereka dari api neraka"

Dengan itu insaflah kita, sedarlah kita dan beringatlah kita. Jangan sombong.Jangan takbur. Berdoalah dan berzikirlah selalu.Moga-moga kita diizinkan sihat dan dipanjangkan umur untuk terus beribadat dengan ikhlas kepada Allah dan supaya kita menjadi hamba Allah yang benar-benar bahagia di dunia ini dan di akhirat, Insyaallah.

Sahabat

Kenangan ketika menuntut - 1990


Wahai sahabat-sahabatku,
Permata yang menyinari hidup adalah ilmu
tanpa sinarannya maka hanyutlah ia bagaikan dibawa arus
kita berkorban demi kebahagiaan
harapan tinggi menggunung seorang anak


Kini......
kita bakal merentas onak duri
meredah hutan-hutan kehidupan
yang pasti menjanjikan
pelbagai coretan

Namun aku tahu
ketabahan dan kesabaran
pasti membawa diri kita
ke mercu kejayaan

Sahabat....
pahit manis akan kita tempuhi
dalam mencari sebuah kejayaan
tunjuk ajar akan terus diberi
wang dan ringgit bukan taruhan

12.8.09

AQIDAH MUSLIM KIAN TERHAKIS

Setiap negara mempunyai peraturan dan perundangan sendiri. Apabila memasuki sesebuah negara kita mestilah bersedia patuh kepada semua peraturan dan perundangan negara tersebut.Biasanya orang akan patuh pada peraturan dan undang-undang sesebuah negara tetapi ada kalanya tidak.

Begitu juga dengan agama Islam, jika seseorang itu beragama Islam sama ada Islamnya keturunan dan baru memeluk Islam maka ia terikat atau tertakluk kepada undang-undang dan peraturan yang termaktub dalam al-Quran dan hadith.

Secara realitinya, kedudukan orang yang beragama Islam masa kini kian tergugat kerana pegangan terhadap Islam sendiri telah menjadi rapuh, lemah dan terhakis hasil daripada pengaruh unsur-unsur musuh Islam. Minda orang Islam mudah dijajah kerana kepentingan nafsu, kemewahan dunia, cita-cita peribadi dan mencampuradukkan pegangan bukan Islam di dalam kehidupan.

Allah berfirman bermaksud "Sesungguhnya agama (yang diredhai) di sisi Allah hanyalah Islam" (Surah Ali 'Imran - 3:19).

Kekuatan muslim kian terhakis dan lemah apabila perjuangan agama telah berpindah kepada perjuangan kebangsaan dan menjadi alat untuk mendapat sokongan.Oleh kerana kelemahan orang Islam itu sendiri maka kemelut aqidah muslim kian terhakisdan kini kebanyakannya menjadi Islam kulit atau Islam adat sahaja.

Nyata sekali, semakin ramai orang Islam mengenepikan tuntutan Islam dan dengan mudah menerima unsur-unsur yang menghancurkan pegangan aqidah orang Islam itu sendiri.

Semoga Allah s.w.t melindungi kita semua daripada gejala yang sedang melanda umat Islam kini. Amiin.

H1N1 - STIGMA MASYARAKAT

Sifat semulajadi manusia, apabila berlaku sesuatu wabak atau penyakit yang serius mereka menjadi kelam kabut. Sama ada disedari atau tidak, masyarakat kita sebenarnya jahil kenapa dan bagaimana penyakit itu boleh tersebar sehingga mereka ketakutan. Seperti penyakit selesema burung (JE) yang pernah melanda negara kita suatu masa dahulu, masyarakat hidup dalam ketakutan. Binatang yang disyaki pembawa wabak dibunuh dan dihapuskan. Itulah fitrah manusia, bila berlaku sesuatu barulah sedar dan memohon pertolongan Allah s.w.t.

Kenapa ini berlaku? Ini kerana banyaknya maksiat dan gejala tidak bermoral yang telah menjadi sebati dengan kehidupan sekarang ini. Tinggal dan menjauhi perintah Allah, syaitan menjadi sahabat karib.Manusia berlumba-lumba mencari harta dunia sehingga mengabaikan tanggunjawab dan suruhan Allah kepada mereka. Akibatnya, inilah yang kita hadapi sekarang. Firman Allah dalam surah AT-TAKAATSUR yang bermaksud :"Kamu (hai manusia) telah lalai dan alpa kepada Allah kerana kamu berlumba-lumba dari hal harta-benda dan anak-anak, pada hal kamu akhirnya meninggal dunia dan masuk ke dalam kubur dengan tiada membawa apa-apa. Nanti kamu bakal tahu dan melihat neraka serta dilemparkan kamu ke dalamnya. Di sana kamu diperiksa tentang nikmat Allah yang telah kamu peroleh dari-Nya".

Pada kedudukan sekarang H1N1 bukan sahaja menjadi isu kesihatan tetapi sudah menjadi isu nasional. Pemimpin negara mengistiharkan penyakit ini perlu diambil perhatian serius oleh kerajaan bagi mengurangkan kadar kematian yang membimbangkan.

Allah memberi masalah kepada kita untuk melihat bagaimana kita menangani masalah ini dengan baik. Adakah H1N1 ini dilihat hanya sebagai penyakit bermusim sahaja atau kita lihat inilah ujian dan peringatan Allah kepada manusia agar kembali kepada-Nya. Setiap musibah ada hikmahnya.

11.8.09

LIMA CARA PILIH SAHABAT

Pertama : pilihlah sahabat yang suka melindungi sahabatnya, dia adalah hiasan diri kita dan jika kita dalam kekurangan nafkah dia suka mencukupi keperluan.


Kedua : pilihlah seorang sahabat yang apabila engkau menghulurkan tangan untuk memberikan jasa baik atau bantuanmu, ia suka menerima dengan rasa terharu, jikalau ia melihat kebaikan yang ada pada dirimu, dia suka menghitung-hitungkan (menyebutnya)


Ketiga : pilihlah seorang sahabat yang apabila engkau menghulurkan tangan untuk memberi jasa baik atau bantuanmu, ia suka menerima dengan rasa terharu dan dianggap sangat berguna, dan jika ia mengetahui mengenai keburukan dirimu ia suka menutupinya.


Keempat : pilihlah sahabat yang jikalau engkau meminta sesuatu daripadanya, pasti ia memberi, jikalau engkau diam, dia menyapamu dulu dan jika ada sesuatu kesukaran dan kesedihan yang menimpa dirimu, dia suka membantu dan meringankanmu serta menghiburkanmu.


Kelima : sahabat yang jikalau engkau berkata, ia suka membenarkan ucapan dan bukan selalu mempercayainya sahaja. Jikalau engkau mengemukakan sesuatu persoalan yang berat dia suka mengusahakannya dan jika engkau berselisih dengannya, dia suka mengalah untuk kepentinganmu.


Dalam memilih sahabat kita hendaklah memilih sahabat yang baik agar segala matlamat dan hasrat untuk memperjuangkan Islam dapat dilaksanakan bersama-sama.

10.8.09

Derhaka Kepada Ibu Bapa

Pada suatu ketika dahulu, ada seorang anak bersama ibunya hidup dalam serba kekurangan. Mereka hidup dengan pencarian yang hanya sekadar cukup untuk dimakan sehari. Saban hari si anak akan membawa barangan untuk di niagakan. Pada suatu hari si anak ingin merantau bagi menambah pendapatan keluarganya. Dengan takdir Allah, pemuda itu berjaya di dalam peniagaannya dan menjadi kaya-raya. Si anak ini hidup dalam kesenangan yang tidak pernah dirasainya sebelum ini, tetapi malang dia lupa akan ibunya yang ditinggalkan di kampung. Dia lupa matlamatnya untuk membahagiakan ibunya yang miskin.

Si anak ini ingin mendirikan rumahtangga dan dia bertemu jodoh dengan pilihan hatinya yang merupakan seorang anak orang hartawan. Pada suatu masa, si anak kebetulan datang beniaga di tempat tumpah darahnya sendiri. Dia datang bersama isterinya yang tersayang dengan menaiki kapal. Maka tersiarlah berita kedatangan seorang peniaga yang kaya-raya di kawasan tersebut. Akhirnya khabar itu sampai kepada ibunya yang menyatakan peniaga yang kaya-raya itu adalah anaknya yang lama tidak pulang kepangkuannya. Menitis air mata ibu kegembiraan dan kerinduan pada anaknya yang tersayang. Bagi mengubat kerinduan pada anak yang tersayang si ibu bergegas menemui anaknya. Apa yang menyedihkan, si anak tidak mengaku kewujudan si tua di hadapannya itu adalah ibunya. Bahkan kata-kata kesat dan penghinaan dilemparkan kepada si ibu yang malang itu.

Sedih hati ibu, menangis ia mengenangkan perbuatan anak yang pernah dikandungnya itu sudah lupa akan asal usulnya. Nabi s.a.w ada menyatakan bahawa dosa-dosa yang lain memang dita'khirkan pembalasannya kepada seseorang, kecuali derhaka kepada ibu bapa :
"Semua dosa-dosa dilambatkan Allah (pembalasannya) sesuka-Nya sehingga Hari Kiamat, melainkan derhaka kepada ibu bapa, maka sesungguhnya Allah menyegerakan (balasan seksanya) bagi yang bersangkutan sewaktu hayatnya di dunia ini sebelum matinya." (Riwayat At-Thabaranii)

Diringkaskan cerita, si anak ini akhirnya diturunkan bala oleh Allah sehingga semua kekayaan dan keluarganya dihapuskan dalam keadaan dia tidak sempat untuk bertaubat dan memohon kemaafan kepada ibunya.

Di antara hadis Nabi mengenai penderhakaan kepada ibu bapa, Rasulullah s.a.w bersabda :"Tiada perbezaan antara orang derhaka kepada ibu bapanya dengan iblis di dalam neraka, melainkan satu darjat jua. Dan tiada bezanya juga antara orang yang berbuat bakti kepada kedua orang tuanya dengan manusia yang berada di syurga melainkan satu darjat pula, dan sekedudukan dengan para Nabi dalam syurga."

Kemuliaan Orang Yang Berilmu

Pada tanggal 6 hb Ogos baru-baru AJK Masjid telah mengadakan mesyuarat bulanan. Satu perkara yang menarik yang disentuh adalah mengenai satu keluarga yang sekian tahun menghadapi krisis rumahtangga sehingga membawa kepada lafaz perceraian talak tiga. Pada ketika itu saksinya adalah imam dan beberapa orang lagi yang masih hidup ketika ini.Selepas peristiwa itu, keluarga ini telah berhijrah di satu kawasan yang agak jauh dari kampung ini. Selang beberapa tahun mereka muncul semula dan tinggal serumah seperti tidak ada apa yang berlaku sebelum ini sehingga melahirkan anak.

Kini timbul kembali, apabila saksi mempertikai tentang status keluarga tersebut yang tinggal serumah. Apabila pengurusan masjid memaklumkan kepada pihak agama maka keluarga tersebut perlu dipisahkan kerana kejahilan dalam ilmu agama. Inilah akibatnya mereka yang tidak pernah langsung untuk memikirkan atau memantapkan ilmu ke jalan Allah s.w.t.

Sesungguhnya ilmu dalam Islam berada di tahap tertinggi mengatasi segala-galanya. Dengan ilmu lahirlah aqidah keimanan dalam diri yang merupakan asas penting dalam membina kehidupan seharian.

Imam al Ghazali dalam kitabnya Ihya Ulunuddin menyebut :"Seorang yang berilmu dan kemudian bekerja dengan ilmunya itu ibarat minyak kasturi yang baunya dinikmati orang lain dan ia sendiri pun harum.

Mudah-mudahan dapat sekiranya membawa keinsafan kepada diri kita supaya bergiat dalam mencari jalan keredhaan Allah s.w.t serta menjauhi perkara yang dilarang-Nya.

Insya Allah

5.8.09

TEGURAN KE JALAN ALLAH

Mengajak masyarakat untuk melaksanakan perintah Allah dan meninggalkan perkara yang dilarang adalah satu tugas yang perlu dilakukan oleh setiap orang beragama Islam. Kita yang berada sebahagaian dari lingkungan arena Islam, seharusnya turut serta dalam memikul tugas dan amanah ini. Firman Allah s.w.t yang bermaksud :

"Dan hendaklah ada di antara kamu suatu golongan yang mengajak orang berbuat baik, menyuruh mereka mengerjakan kebaikan dan melarang mereka dari berbuat yang tidak baik dan hanya mereka itulah orang-orang yang betul-betul beruntung" (Surah Al-Imran :104)

"Dan tidak ada orang yang lebih baik kata-katanya dari seorang yang mengajak manusia ke jalan Allah dan beramal soleh, dan berkata : Sesungguhnya aku termasuk golongan kaum Muslimin" ( Q.S Fusshilat :33)

"Oleh sebab itu, ajaklah mereka itu ke jalan Allah, dan tetaplah pendirianmu sebagaimana yang diperintahkan kepadamu, dan janganlah engkau mengikuti kemahuan mereka" (Surah As-Syuuraa : 15)

"Dan ajaklah manusia ke jalan Tuhanmu, sesungguhnya engkau benar-benar berada di atas petunjuk yang lurus." ( Surah Al-Hajj : 67)

Itulah sekelumit ayat yang mendorong kita untuk berdakwah. Persoalannya sejauh mana kita telah melakukannya dan berusaha melaksanakan pembangunan masyarakat Islam yang sebenar-benarnya...! Adakah peranan dan tugas ini perlu dipikul oleh orang lain?

Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud:

"Barang siapa di antara kamu melihat suatu kemungkaran, maka hendaklah ia melarang dan tegur dengan tangannya, kalau tidak sanggup maka hendaklah ia melarangnya dengan lidah dan kalau tidak sanggup maka dengan hatinya dan itulah selemah-lemah iman. Dan tidak ada lagi keimanan di belakangnya, walaupun hanya sebesar biji bayam." (Riwayat Muslim)

Cubalah muhasabah diri dan renungilah tugas dan tanggungjawab ini. Setiap amalan dan perbuatan kebaikan yang dilakukan akan dibalas dengan kebaikan oleh Allah s.w.t. Dalam hal ini, sama-samalah kita saling nasihat menasihati dalam menegak kebenaran dan bersabar dalam mengajak sahabat-sahabat kita ke jalan Allah s.w.t. Ini adalah amanah Allah kepada kita dan kita harus melaksanakannya meskipun ianya amat sukar dilakukan.